Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

ARTIS SEBERANG

Jamal risau anak ikut jejak seni

Bintang legenda ingin Osama dan Zaki miliki ilmu muzik untuk langkah jauh, bertahan lama
Sep 06, 2022 | 05:30 AM



KEBIMBANGAN menyelubungi jiwa penghibur legenda Datuk Jamal Abdillah apabila awalnya mendapat tahu dua anaknya, Osama Yamani dan Ahmad Zaki Yamani, ingin membina kerjaya dalam bidang seni suara.



Selain enggan tumpuan mereka pada pelajaran terjejas, Jamal, 63 tahun, ingin mereka benar-benar memiliki ilmu seni secukupnya demi masa depan yang cerah dan jangka hayat yang panjang selaku penyanyi.



Sebagaimana yang ditekankan pelantun lagu Kekasih Awal Dan Akhir itu dalam wawancara bersama Berita Harian baru-baru ini:



"Saya sebenarnya tak tahu dan tak sangka mereka boleh dan ingin menyanyi. Macam Osama... dia boleh tiru suara saya dan main alat muzik.



"Saya dapat tahu pun ketika dia menyanyi pada acara sekolah dan ia dimuatnaik ke YouTube. Maka saya langsung bawa guru muzik untuk mengajarnya sampailah dia mengikuti pengajian di sekolah seni.



"Saya bukannya kecewa apabila mereka ingin ikut jejak saya. Saya lebih pada susah hati dan bimbang sebab tidak mahu pelajaran mereka terjejas. Ilmu jauh lebih penting daripada glamor.



"Seperkara lagi, ada beza antara penyanyi yang dikurniakan bakatnya dan memang dilahirkan untuk menyanyi dengan mereka yang dicorak atau dibentuk menjadi penyanyi.



"Bagi saya, Osama dan Zaki perlu dicorak menjadi penyanyi. Beza daripada M. Nasir, Ahmad Nawab dan saya sendiri yang memang dilahirkan untuk menjadi anak seni dengan bakat pemberian Allah. Saya risau tentang jangka hayat kerjaya mereka - sejauh mana kerjaya mereka boleh pergi."



Sungguhpun begitu, Jamal pastikan Osama, 20 tahun, peserta Big Stage, yang mengambil pengkhususan gitar moden di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) dilengkapi dengan ilmu seni untuk bina masa depan lebih cerah.



Zaki Yamani, 16 tahun, pula mempunyai 507,000 pengikut Instagram dan sudah merakam 'single' yang mendapat sambutan ramai, Percayaku.



Menurut Jamal, sebagai satu sumber galakan buat anak-anaknya, beliau telah bergabung suara dengan mereka bagi lagu ciptaan Ezra Kong, Tangan Yang Melambai.



"Lagu ini mengisahkan tentang ayah yang jarang ada dengan anak-anaknya. Dia seorang nelayan yang sering berada di laut manakala anaknya menanti kepulangannya ke darat," ujar Jamal dalam wawancara yang diselaraskan pusat seni Esplanade - Teater Di Persisiran sempena konsert Aku Jamal... Perjalananku di Dewan Konsert Esplanade pada 31 Disember dan 1 Januari.



Awalnya, persembahan dijadualkan untuk Tahun Baru sahaja tetapi kerana sambutan yang amat menggalakkan sehingga semua tiket laris, diadakan pula konsert pada 2 petang 31 Disember untuk memenuhi permintaan ramai.



Tiket masih lagi dijual bagi kategori tiga manakala tiket untuk kategori pertama dan kedua agak terbatas jumlahnya.



Mengulas mengenai sambutan hangat konsertnya di Singapura, Jamal terharu bahkan tidak menduga dapat membuat persembahan selama dua hari sekali gus.



"Setiap kali adakan persembahan di Singapura, sambutannya cukup menggalakkan. Kebiasaannya ramai datang kerana mengagumi suara dan penghayatan saya bagi setiap lagu.



"Saya akan buka kisah perjalanan seni saya selama lebih empat dekad menerusi lagu-lagu saya.



"Saya juga akan kongsi bagaimana saya yang tiada asas lakonan boleh dipilih untuk filem Azura sampai ia pecah panggung dan jadi satu fenomena. Penglibatan saya mengikut trend ramai penyanyi dilamar jadi pelakon," kongsi Jamal, juara Bintang RTM 1979.



Jamal rasa bertuah dapat bekerjasama dengan ramai penerbit tersohor daripada Datuk Seri Dr Ahmad Nawab, Adnan Abu Hassan, S. Atan, Manan Ngah dan Fauzi Marzuki.



"Kalau dengan Ahmad Nawab, memang ada ketikanya kami bertengkar juga di studio sebab beliau inginkan kesempurnaan. Dimintanya kita ulang berkali-kali sampai saya marah. Apabila marah itulah detik kita beri yang terbaik," jelasnya.



Disebabkan itu, Jamal sering berpesan kepada bakat muda agar memastikan rakaman dibuat sepenuh hati walau ia makan masa hanya dua jam sahaja.



Sebabnya, kesan daripada rakaman itu akan dikenang berpuluh-puluh tahun sampai hari ini.



"Kalau kita tak buat betul-betul, kita menyesal. Lihat lagu Azura... tak sampai berapa jam rakam, jangka hayatnya sampai 35 tahun kini," kata Jamal lagi.



Beliau tiada formula khusus untuk mengekalkan vokal yang baik kecuali beberapa sandaran hidup.



Katanya:



"Nak tahan lama dalam industri? Hati mesti baik, badan kena sihat. Suara nak jaga. Elak minum air batu sebab suara mudah parau. Saya rajin bikin senaman 'sit-up'. Sebab perut kita mesti bertenaga untuk nyanyi."



Bagi Jamal yang sudah bekerjasama dengan bintang generasi muda seperti Wany Hasrita, Luca Sickta dan Kmy Kmo, kesediaan agar kekal relevan dengan perkembangan muzik semasa sentiasa ada di lubuk hatinya.



"Kalau kita masuk bidang ini, kita harus tahu akan ada kejayaan dan akan ada kegagalan. Tapi kita jangan mudah berputus asa dan selalu cari cara untuk kerjasama agar kita sentiasa dalam lingkungan muzik semasa."




Keterangan lanjut mengenai konsert 'Aku Jamal... Perjalananku' boleh diperolehi di laman Sistic.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >