Di bawah Jambatan Galata yang lama di Istanbul, Turkey, terdapat hamparan konkrit yang menjorok ke perairan Golden Horn.
Mudah untuk terlepas pandang tempat ini pada siang hari.
Namun setiap senja, kawasan ini dicari-cari pasangan yang mendambakan suasana romantis.
Terletak di kawasan Eminonu, pasangan yang bakal berkahwin atau baru berkahwin akan menuju ke tempat ini untuk merakam saat indah berlatarbelakangkan matahari terbenam, terutama dari musim bunga hingga musim panas.
Lokasinya sangat popular sehinggakan belasan pasangan pengantin sering dilihat bergambar pada masa yang masa, setiap pasangan menikmati pancaran cahaya keemasan matahari terbenam.
Pada waktu sibuk, barisan panjang boleh dilihat di tangga menuju ke bahagian menghadap air sedang pasangan menunggu giliran masing-masing.
Matahari terbenam itu memancarkan cahayanya tepat pada masa yang dikenali sebagai ‘waktu emas’ atau ‘golden hour’ – masa yang diidamkan jurugambar dan juruvideo yang merakamkan gambar mereka berlatarbelakangan Menara Galata zaman pertengahan dan masjid empayar Uthmaniyyah, Suleymaniye, yang kedua terbesar di bandar itu.
Bagi ramai pasangan, gambar yang dipetik lebih daripada sekadar kenang-kenangan – ia melambangkan detik-detik ketika cinta, tradisi dan kemegahan abadi bandar berabad lama saling terkait.
“Saya telah ke London, saya telah ke Barcelona. Tiada tempat yang setanding Istanbul,” kata Encik Semih Aydin, yang merakam gambar pertunangan bersama bakal isterinya. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg