KETIKA aktivis teater, Encik Jasmin Samat Simon, meninggalkan Singapura pada tahun 2000 untuk mencari pengalaman baru di Indonesia, misi utamanya adalah berbakti kepada masyarakat gelandangan, terutama kanak-kanak, dengan berbekalkan kemahiran dan pengalamannya dalam bidang teater.
Ironinya, dalam dia mahu mendekati golongan susah, dia secara tidak dirancang telah dihantar ke merata dunia termasuk Denmark, Jerman dan Portugal untuk menimba ilmu oleh majikannya, syarikat FreemantleMedia.
Pengalaman luar negeri itu kemudian digunakan untuk diajarkan kepada karyawan Indonesia tempatan.
Dia bahkan kini sudah bergelar pensyarah adjung di sebuah universiti di Malang.
Encik Jasmin, yang masih mempunyai wajah "boyish" biarpun rambutnya sudah memerang pada usia 65 tahun di Singapura dikenali sebagai pelopor syarikat teater Singapura, Act 3.
Dia juga pernah menjadi hos dalam rancangan kanak-kanak televisyen popular, Aksi Mat Yoyo.
Dia yang pulang ke Singapura baru-baru ini untuk memperbaharui pasportnya di sini, ketika ditemui berkata pengalaman selama dua dekad di Indonesia telah memberinya perspektif yang luas mengenali peluang kehidupan.
Encik Jasmin berkata ketika baru-baru ke Jakarta lebih 20 tahun lalu untuk melaksanakan misi kebajikannya, dia terdedah dengan bahaya memandangkan golongan gelandangan di jalan-jalan raya tidak mudah didekati apatah lagi sesetengahnya dikuasai kumpulan-kumpulan sindiket.
"Kehidupan mereka begitu sempit, sehingga mereka rasa mereka hidup untuk hari itu, bukan untuk esok. Tetapi ada yang tak sempat jumpa hari esok kerana bermacam tragedi. Dan, saya sendiri, tidak mudah mendekati mereka.
"Saya dinasihatkan agar bekerjasama dengan badan-badan sedia ada demi keselamatan," ceritanya, yang kemudian bergabung dengan rumah tumpangan yang dikendalikan Muhammadiyah di Senin, Jakarta Pusat, untuk memulakan misi awalnya.
"Dengan rambut saya yang keperang-perangan dan gaya percakapan saya, pastinya mereka tahu saya adalah orang luar.
"Tetapi pengalaman buat teater kanak-kanak semasa di Singapura, telah beri saya keyakinan bagaimana untuk mendekati mereka. Saya gunakan barang-barang seperti kamera Polaroid dan jam kecil yang selalu saya bawa bersama, untuk menarik perhatian mereka. Kerana sikap ingin tahu, mereka mendekati saya," ujarnya ketika ditemui di rumah adiknya, Cik Saedah Samat-Alkaff, guru piano sepenuh masa.
Dia begitu terdorong membantu anak-anak gelandangan yang kerap dilihat meminta sedekah kerana yakin mereka juga boleh membantunya agar lebih menghargai kehidupan.
"Ramai anak-anak ini terpaksa menjadi dewasa sebelum tiba waktunya kerana desakan hidup. Tetapi mereka bersemangat waja," ujarnya.
Namun dia juga disedarkan, untuk menakat dalam misi kebajikan dia tidak boleh bergerak sendirian, bahkan memerlukan sokongan kuat seperti syarikat korporat untuk menampung biaya yang besar secara berterusan, selain menggunakan pengaruh untuk melaksanakan projek.
Sokongan itu datang apabila Encik Jasmin, dalam tempoh enam bulan di Jakarta, mendapat tawaran pekerjaan dari syarikat gergasi penerbitan antarabangsa, FreemantleMedia.
Daripada jawatan awal sebagai penulis jalan cerita, dalam tempoh beberapa bulan dia dinaikkan pangkat sebagai penerbit dan kemudian Pengurus Besar dan diberikan tanggungjawab menjadi pembimbing bagi rancangan francais antarabangsa, Indonesian Idol pada 2002.
Dia kemudian dihantar Fremantle ke Jerman, Portugal dan Denmark selama beberapa bulan untuk mengikuti proses rancangan Idol di negara-negara tersebut. Apabila dia pulang ke Jakarta, antara tugas utama Encik Jasmin adalah melatih juri-juri musim pertama Indonesian Idol untuk stesen RCTI, yang terdiri daripada penyanyi Titi DJ, penggubah lagu Indra Lesmana, personaliti radio Meuthia Kasim dan pengarah filem, Dimas Djayadiningrat.
Selama 10 tahun bersama Fremantle Media, Encik Jasmin juga menggunakan sokongan syarikat korporat itu untuk menaja pendidikan formal kepada sekumpulan pelajar daripada kalangan belia gelandangan.
Antara mereka, yang gemar menyanyi lagu-lagu Latin telah dihantar belajar bahasa Sepanyol. Oleh sebab kemahiran mereka menyanyikan lagu-lagu Latin dengan baik, mereka mendapat undangan menyanyi di hotel lima bintang untuk sambutan hari-hari perayaan.
Ada juga kumpulan belia bimbingannya yang dihantar ke sekolah kesenian sehingga berjaya mendapatkan ijazah.
"Saya seperti seorang bapa yang sangat bahagia dan bangga pada hari anak-anak didikan saya mendapat ijazah mereka. Proses yang mereka lalui membuktikan sesiapa saja, tanpa kira latar belakang, boleh menikmati kehidupan seperti orang jika diberi peluang, ada kemahuan untuk maju dan bersungguh-sungguh mencari ilmu," kata Encik Jasmin.
Selepas meninggalkan pekerjaannya di Freemantle Media, Encik Jasmin beralih ke Bali dan kini di Malang bagi meneruskan kerja-kerja kebajikan serupa.
Ini termasuk menjalankan bengkel untuk kanak-kanak cacat di Yayasan Kupu-Kupu di Bangli, Bali Timur, Program Motivasi Guru-Guru di Ubud dan Bengkel Penuturan Bahasa Inggeris di Cirebon.
Di Malang, dia merupakan pensyarah adjung Universitas Ma Chung di Malang dan turut menjayakan pelbagai program kemasyarakatan dengan kerjasama agensi-agensi pemerintah di sana.
Selain membantu orang susah, Encik Jasmin juga melakarkan program gaya hidup sihat dengan mengendalikan program Radar Malang Redaktor, iaitu sesi senam beramai-ramai di jalan raya Malang pada setiap Ahad.
Selain Indonesia di bawah program Sukarelawan Khas Yayasan Antarabangsa Singapura (SIF), Encik Jasmin juga pernah dihantar berkhidmat ke Universiti Kebangsaan Vietnam selama enam bulan.
Encik Jasmin pada tahun 2004 pernah diiktiraf SIF kerana kerja-kerja kemasyarakatannya.
Menilai kehidupannya di perantauan untuk misi kebajikan, Encik Jasmin berkata dia tidak melihat dirinya membantu orang lain, sebaliknya merasakan orang-orang yang didampingnya menjadikannya manusia yang lebih baik.
'Mereka mengajar saya bahawa kehidupan pada masa ini akan membentuk hari esok yang dirancang. Jadi jalani kehidupan ini sepenuhnya, nikmati keseronokan sepenuhnya, belajar sebanyak-banyaknya dan jalinkan cinta sedalam-dalamnya,' kata Encik Jasmin penuh berfalsafah.
Dia tidak menolak kemungkinan pulang ke Singapura seandainya khidmatnya di perlukan di sini.
"Saya berfikiran terbuka. Selagi saya sihat, di mana-mana sahaja saya boleh hidup, asalkan kehidupan itu dilalui dengan penuh bermakna," ujarnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg