SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Jeffrydin, J. Mizan cipta kenangan manis buat peminat

Jeffrydin, J. Mizan cipta kenangan manis buat peminat

Sep 6, 2022 | 5:30 AM

Jeffrydin, J. Mizan cipta kenangan manis buat peminat

JOGET 'TWIST' BERSAMA: Datuk Jeffrydin (tiga dari kanan) diiringi penonton (termasuk pengacara BJ Kadir, dua dari kanan) yang teruja menari dan menyanyi sama pada acara nostalgia yang berlangsung di The Malayan Council (Windstedt Road) pada Sabtu lalu. - Foto-foto BH oleh NUR DIYANA TAHA
JOGET 'TWIST' BERSAMA: Datuk Jeffrydin (tiga dari kanan) diiringi penonton (termasuk pengacara BJ Kadir, dua dari kanan) yang teruja menari dan menyanyi sama pada acara nostalgia yang berlangsung di The Malayan Council (Windstedt Road) pada Sabtu lalu. - Foto-foto BH oleh NUR DIYANA TAHA -

MEREKA bagaikan menaiki mesin kembara masa untuk kembali ke era 1960-an di mana irama pop-yeh-yeh rancak berkumandang.

Ada yang ligat menari 'twist' mengiringi Datuk Jeffrydin yang terkenal dengan jolokan 'Cliff Richard Melayu' sehingga anak yang menemani bimbang si bapa sakit pinggang pula selepas itu.

Awal sebelum itu, segala kenangan zaman remaja dan muda belia menerawang dalam fikiran apabila penyanyi terkenal era 1970-an, J. Mizan, pula membuai mereka dengan lagu irama Hindustan, Tiada Jalan Kembali.

Begitulah meriah dan nostalgiknya acara anjuran Blitz Event Management Pte Ltd, Mengimbau Kenangan Hi-Tea Bersama..., di kafe The Malayan Council (cawangan Winstedt) Sabtu lalu.

Sekitar 150 peminat lagu lama berhimpun untuk menjamu selera dan disajikan dengan santapan halwa telinga berupa lagu malar segar Jeffrydin, 75 tahun, dan J. Mizan, 69 tahun.

Turut tampil 'jamming' sama secara spontan adalah biduanita Sanisah Huri dan Mahani Mohamed, penyanyi Diwi Aishah serta bintang rok Yazid Lovehunters dan gitaris Abdul Shukor Jalil.

Pengacara majlis yang membuat penonton tidak kering gusi ialah Husin Saaban.

Ketika ditemui, J. Mizan yang masih mempunyai vokal 'telan kaset' atau 'telan piring hitam' (sama seperti dahulu), berkata:

"Saya gembira sebab ramai yang tersenyum mendengar kami menyanyi. Terasa macam keadaan dahulu apabila saya mula-mula berkecimpung dalam bidang seni.

"Yang bawa rekod lama untuk minta ditandatangani. Yang joget 'twist'. Agaknya teringat zaman muda remaja!"

Beberapa lagu 'hit' telah disampaikan termasuk Hari Ini Dan Semalam serta lagu asal Rudyn Al-Haj, Naik Keretaku, yang rancak dan langsung boleh bikin ramai ingin menari sekali.

Jeffrydin yang 'terbang' ke Singapura dari seberang pula tidak hilang daya tarikannya dengan suara merdu dan gerak atau gelek kepalanya apabila menyanyikan lagu Mas Mona dan Seruling Anak Gembala.

Beliau dan J. Mizan turut menyanyikan bersama lagu ikonik Kenanganku yang sesuai dengan tema acara mahu mengimbau zaman silam.

"Apabila pandemik melanda, semua acara yang saya sepatutnya jayakan dibatalkan. Alhamdulillah, setelah sekian lama, saya dapat ke Singapura untuk bertemu peminat.

"Walau suasana dulu dan sekarang tak sama, saya tetap bersyukur. Dulu memanglah... apa yang anda lihat berlaku pada artis Barat seperti The Beatles dan Cliff Richard, dengan peminat tarik-tarik baju sampai butang kemeja kami tanggal pernah berlaku pada saya.

"Saya pernah dapat gelaran Cliff Richard Melayu sebab masuk peraduan dan menang selepas nyanyi lagu beliau, The Young Ones," cerita Jeffrydin.

Beliau takkan lupa berguni surat yang diterimanya mencecah 500 pucuk setiap hari.

"Kita kena tekun membalasnya. Adik-beradik saya tolong bacakan. Macam-macam yang ditulis peminat.

"Sekarang era dah bertukar. Saya tengok TikTok tempoh hari di mana budak-budak kecil ligat menari mengikut irama Mas Mona.

"Pastinya saya tak nak ketinggalan. Anak perempuan saya yang selalunya membantu saya muat naik video dan gambar di media sosial.

"Saya cuma tahu 'TikTok' macam bunyi jam... rupanya ini media sosial dengan tarikan meluas dan dahsyat sambutannya," jelasnya.

Bos Blitz Event Management, Shahril Mansol, pula berkata acara hi-tea ini adalah percubaan sulungnya menilai sambutan dalam kalangan pencinta seni setempat.

"Nampaknya ramai yang teruja jumpa artis lama yang masih aktif menyanyi. Artis lain yang datang pun nak nyanyi sama secara spontan. Mudah-mudahan kami dapat usahakan bawa artis kegemaran dekat dengan peminat pada masa akan datang," jelasnya.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg