Topik diikuti
Pergi ke BHkuJejak kisah mitos, legenda S’pura menerusi pengalaman imersif
Masuki dunia mitos, legenda dan cerita rakyat di All Things Singapore (AT SG) 2026 dan teroka kisah serta tradisi yang membentuk warisan Singapura.
Bertemakan Mitos dan Legenda, AT SG menghidupkan kisah-kisah Singapura menerusi pemasangan seni imersif, pengalaman interaktif, persembahan secara langsung dan kegiatan amali di Bangunan Perpustakaan Negara serta Arkib Negara Singapura (NAS).
Acara yang rata-rata diadakan pada sebelah malam itu dianjurkan oleh Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) dan diadakan bersempena dengan Festival Malam Singapura 2026.
Ia berlangsung dari 21 Ogos – 5 September.
Berikut program yang diadakan secara percuma dan sesuai untuk semua peringkat umur.
Pulau-Pulau Memori dan Mitos
Pameran ini mengubah kawasan atrium menjadi peta interaktif di mana setiap persinggahan menyingkap legenda tempatan yang berbeza.
Pengunjung akan menemui kisah-kisah serta cerita rakyat berdasarkan tempat yang dipadankan dengan rekod sejarah autentik daripada koleksi NAS.
Ini membolehkan pengunjung meneliti hubungan dan perbezaan antara tradisi lisan masyarakat dengan sejarah yang didokumentasikan.
Tarikh: 21 Ogos – 5 September
Masa: 10 pagi – 9 malam setiap hari, 10 pagi – 11 malam pada Jumaat dan Sabtu
Lokasi: Bangunan NAS di 1 Canning Rise, Singapura 179868
Legenda Ikan Todak
Berlumba dengan masa untuk menyelamatkan Hang Nadim!
Pengembaraan interaktif ini berlangsung di seluruh bangunan dan diadaptasi daripada bahan sejarah dalam koleksi NLB.
Peserta akan menyertai Hang Nadim ketika dia melarikan diri daripada seorang raja yang murka selepas menyelamatkan penduduk Temasek daripada serangan ikan todak yang membawa maut.
Peserta perlu menyelesaikan teka-teki, mentafsir petunjuk pada mikrofilem dan mengharungi cabaran tersembunyi merentasi pelbagai aras bangunan, untuk mengubah nasib tragis kanak-kanak lelaki itu.
Tarikh: 21, 22, 28, 29 Ogos & 4, 5 September
Masa: 7 malam - 11 malam
Lokasi: Bangunan Perpustakaan Negara di 100 Victoria St, Singapura 188064
Pulau Subar – Meena & Leena
Persembahan teater bergerak yang diadakan secara langsung ini diterbitkan dengan kerjasama Muzium Kanak-Kanak Singapura.
Bergerak dari Lewin Terrace ke ruang arkib, skrip persembahan ini mengikuti legenda klasik Pulau Subar.
Penonton dapat menyaksikan Meena mempertaruhkan nyawanya untuk menyelamatkan Leena ketika mereka menyerahkan diri kepada laut, melalui penggunaan bayang-bayang yang menghidupkan ikatan adik-beradik itu.
Tarikh: 21, 22, 28, 29 Ogos & 4, 5 September
Masa: 8 malam – 8.30 malam
Lokasi: Bangunan NAS
Buku Cerita yang Dipinjam
Apabila sebuah buku kanak-kanak ajaib dipinjam secara tidak sengaja dari rak perpustakaan, mitos-mitos Singapura yang telah dilupakan mula muncul ke dunia nyata.
Dalam persembahan pentas terbuka secara langsung ini, saksikan sekumpulan pustakawan merungkai rangkaian kejadian ajaib dalam satu siasatan yang membawa mereka ke mercu tanda bersejarah, sudut-sudut bandar yang tersembunyi dan pertemuan dengan legenda serantau.
Tarikh: 22 Ogos
Masa: 8.30 malam – 10 malam
Lokasi: Bangunan Perpustakaan Negara
Bina Peta Fantasi Sendiri
Peserta bengkel kreatif ini boleh menghasilkan peta bersejarah imaginatif mereka sendiri.
Mereka boleh mendapatkan ilham daripada peta arkib lama dalam koleksi Perpustakaan Negara yang menampilkan unsur imaginatif dan ilustratif.
Tarikh: 28 Ogos
Masa: 7:00 malam – 10:00 malam
Lokasi: Bangunan Perpustakaan Negara
Olah Semula Mitos Tempatan
Kegiatan kolaboratif ini mencabar peserta untuk menjadi pencerita dan mengolah semula mitos serta legenda yang dikenali dalam rantau ini.
Peserta boleh menambahkan kelainan dengan mereka plot mereka sendiri, membayangkan semula watak-watak yang disayangi atau mencipta pengakhiran yang tidak dijangka, sebagai sebahagian daripada karya seni kolaboratif yang meraikan perspektif baru terhadap kisah-kisah yang tidak lapuk dek zaman.
Tarikh: 29 Ogos
Masa: 7 malam – 10 malam
Lokasi: Bangunan Perpustakaan Negara
Untuk maklumat lanjut, layari https://go.gov.sg/nlb-atsg2026.
