Menunggu giliran untuk mendapatkan rawatan doktor di klinik atau hospital adalah perkara lumrah. Ramai tentu sekali tidak suka menanti giliran di ruang menunggu dan ini salah satu keperitan yang sering dirasakan dalam sistem perkhidmatan penjagaan kesihatan.
Keadaan ini berlaku memandangkan doktor lazimnya bukan hanya perlu menguruskan ramai pesakit, bahkan berkejar mendatangi mangsa kecemasan yang boleh tiba pada bila-bila masa.
Perhatian pakar perubatan juga adakala diperlukan untuk menghuraikan kes rumit yang boleh memanjangkan sesi janji temu.
Ini belum lagi tugas lain termasuk pentadbiran dan menyarankan ubat-ubatan yang sesuai untuk pesakit.
Salah satu cara menghuraikan cabaran ini ialah menerusi wadah penjagaan maya.
Penjagaan kesihatan maya, secara ringkasnya, merujuk kepada pemberian khidmat penjagaan kesihatan melalui teknologi telekomunikasi, seperti persidangan video, aplikasi mudah alih dan peranti pemantauan jauh.
Matlamat terasnya ialah memanfaatkan teknologi digital untuk meningkatkan khidmat penjagaan kesihatan, mengurangkan ketidakcekapan dan mengekang kos.
Berikut antara beberapa contoh penjagaan kesihatan maya:
Teleperubatan: Menerusi wadah ini, teknologi telekomunikasi digunakan untuk menyediakan rawatan perubatan dari jauh. Contohnya, pesakit boleh berjumpa doktor melalui sembang video atau bercakap dengan jururawat melalui telefon.
Pendidikan telekesihatan: Cara ini menggunakan teknologi telekomunikasi untuk menyampaikan pendidikan penjagaan kesihatan kepada pesakit dan karyawan penjagaan kesihatan. Sebagai contoh, hospital mungkin menggunakan wadah persidangan video untuk menyediakan pendidikan berterusan kepada jururawatnya.
Telepemantauan: Ini ialah penggunaan teknologi telekomunikasi untuk memantau kesihatan pesakit dari jauh. Sebagai contoh, pesakit yang mengalami kegagalan jantung mungkin menggunakan peranti untuk mengesan kadar denyutan jantung dan tekanan darah mereka di rumah.
Portal pesakit maya: Pesakit boleh menggunakan gerbang Internet atau aplikasi untuk mengakses rekod perubatan mereka. Mereka juga boleh berhubung dengan penyedia penjagaan kesihatan mereka dan membuat janji temu dalam talian.
Penjagaan segera maya: Perkhidmatan menawarkan khidmat yang membolehkan pesakit berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan bukan kecemasan tanpa perlu pergi ke bilik kecemasan.
Kesihatan tingkah laku maya: Perkhidmatan ini menyediakan penjagaan kesihatan mental kepada pesakit dari jauh.
Farmasi maya: Wadah ini pula membolehkan pesakit memesan ubat preskripsi dalam talian dan menghantarnya ke rumah mereka.
Pemulihan maya: Ini merupakan perkhidmatan yang menyediakan program pemulihan kepada pesakit dari jauh. Ini termasuk menggunakan teknologi realiti maya dan simulasi.
Penjagaan kesihatan maya berpotensi mengurangkan masa menunggu di klinik dan hospital, tetapi itu hanya permulaan. Ia juga membantu menjimatkan masa dan kos perjalanan ke klinik dan hospital. Ini tentu sekali amat bermanfaat bagi mereka yang menghidap penyakit kronik seperti kencing manis atau darah tinggi.
Pemantauan kesihatan dan tanda-tanda penting badan juga boleh dilakukan di rumah, dan perundingan perubatan boleh dipermudahkan melalui persidangan video yang selamat.
Dalam kecemasan, apabila perkhidmatan menyelamat mungkin lewat tiba, teleperubatan boleh menyelamatkan nyawa.
Panduan tentang cara memberikan pertolongan cemas boleh disampaikan melalui panggilan video, yang berpotensi membuat perbezaan antara hidup dengan mati.
Penjagaan kesihatan maya juga berguna apabila berhadapan dengan keadaan perubatan yang jarang berlaku atau luar biasa. Ia membolehkan pesakit mendapatkan pendapat pakar kedua yang mungkin berpangkalan di luar negara. Perlu dimaklumkan, menggunakan khidmat perundingan maya mungkin tidak begitu menyeluruh berbanding sesi bertemu doktor.
Semasa wabak penyakit, seperti episod Sindrom Sesak Nafas Mendadak (Sars) pada 2003, dan baru-baru ini, pandemik Covid-19, teleperubatan membuktikan kegunaannya sebagai wadah mengelakkan penyebaran jangkitan.
Pesakit dapat mengirim gambar dan menerima diagnosis melalui telefon, sekali gus mengurangkan risiko jangkitan semasa masih menerima rawatan.
Penjagaan kesihatan maya bukan hanya boleh membantu pesakit. Satu kajian oleh syarikat runding cara McKinsey menunjukkan bahawa penjagaan kesihatan maya mungkin menjadi kunci untuk menawarkan masa rehat kepada sistem penjagaan kesihatan yang sering tertekan.
Memandangkan sistem penjagaan kesihatan bergelut dengan isu seperti beban penyakit yang semakin meningkat, penduduk yang semakin tua, kekurangan kakitangan dan sumber terhad, keperluan menyediakan model penjagaan yang lebih mudah diakses dan kecekapan dari segi kos adalah penting.
Dalam hal ini, penjagaan kesihatan maya menawarkan tiga kelebihan utama berbanding model penjagaan tradisional.
Pertama, ia boleh mengurangkan tekanan permintaan bagi katil di hospital, membolehkan sistem penjagaan kesihatan memenuhi permintaan yang turun naik secara fleksibel dan pantas.
Kedua, ia meningkatkan kepuasan dan memberi hasil kepada pesakit, kerana ramai pesakit lebih suka menerima penjagaan dalam keselesaan rumah mereka.
Ketiga, ia menyumbang kepada penjimatan kos, membolehkan peruntukan sumber yang lebih cekap.
Di luar faedah ini, penjagaan kesihatan maya mengurangkan masa perjalanan dan perbelanjaan untuk pasukan penjagaan kesihatan secara ketara.
Contohnya, anggota keluarga di rumah jagaan tidak perlu menemani pesakit ke hospital untuk berjumpa doktor, mengekalkan tahap kakitangan yang konsisten.
Bagi orang awam, penjagaan kesihatan maya selalunya sinonim dengan teleperubatan, dan aplikasi seperti DoctorAnywhere dan White Coat kian mendapat perhatian semasa pandemik Covid-19.
Singapura telah menyediakan perkhidmatan telekesihatan sejak April 2017. Perkhidmatan itu, yang dikenali sebagai Konsultasi Video Kesihatan Pintar, telah dilaksanakan di hospital berikut, bersama 31 rakan kongsi penjagaan masyarakat:
– Hospital Besar Changi
– Institut Kesihatan Mental
– Hospital Khoo Teck Puat
– Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK
– Hospital Universiti Nasional
– Hospital Besar Singapura
– Poliklinik SingHealth
– Hospital Besar Sengkang
– Hospital Tan Tock Seng
Senarai perkhidmatan semasa yang ditawarkan melalui teleperubatan ialah: perkhidmatan susulan untuk ekzema pediatrik, perkhidmatan penjagaan di rumah untuk pesakit kanak-kanak, perundingan laktasi, terapi pertuturan dan penjagaan selepas serangan angin ahmar, penyakit berjangkit dan pesakit barah.
Perundingan maya dipermudahkan melalui peranti mudah alih atau komputer riba pesakit sendiri, berhubung melalui Internet atau rangkaian telekomunikasi terkini seperti 5G.
Pasukan penjagaan kesihatan menghantar e-mel atau pautan SMS kepada pesakit untuk sesi perundingan. Wadah ini menawarkan mutu video dan audio definisi tinggi (HD), meniru perundingan secara bersemuka – seperti Microsoft Teams, tetapi dengan doktor.
Ternyata momentum penjagaan kesihatan maya di seluruh dunia telah mula perlahan selepas wabak Covid-19, apabila kehidupan kembali normal.
Namun perlu diingat, kemajuan tidak selalu mengikut jalan yang lurus. Akan ada turun naik dan sedikit penurunan dalam penggunaan perkhidmatan telekesihatan selepas wabak boleh menjadi salah satu daripada lembah ini.
Seperti mana-mana inovasi yang mengganggu, penerimaan mengambil masa, dan kadangkala ia mengambil langkah ke belakang untuk melompat ke hadapan. Dalam skema besar perkara, janji penjagaan kesihatan maya masih menarik. Jangan lupa, permintaan untuk penjagaan kesihatan yang boleh diakses, berpatutan dan bermutu tidak akan ke mana-mana. Tekanan ke atas sistem penjagaan kesihatan di seluruh dunia terus meningkat.
Penjagaan kesihatan maya boleh menjadi sebahagian daripada penyelesaian.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg