Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

'Jodoh seni' tentang gerak masa, rasa hilang

Jan 20, 2022 | 05:30 AM



BAGAIKAN keluar 'dating' buat kali pertama dan membuat janji temu dengan seseorang yang tidak dikenali untuk menggali lebih dalam lagi tentang diri dan cita rasanya.



Begitulah perasaan dua penggiat seni visual Singapura, Cik Maisarah Kamal, 29 tahun dan Cik Noor Ezan Khatib, 37 tahun, apabila dipasangkan untuk bekerjasama menjana kerja seni bagi pameran Angkatan Pelukis Aneka Daya (Apad), Bridging Through The Age.



Karya mereka merupakan gabungan lukisan campuran media hasil ilham Cik Noor Ezan serta arca kinetik dan seni persembahan dalam tayangan video yang disiapkan Cik Maisarah.



Ikuti wawancara bersama mereka yang dikendalikan menerusi Zoom.



Soalan (S): Ceritakan mengenai kerja seni anda.



Maisarah (M): Karya kami meneroka idea tentang masa menerusi pergerakan dan kehilangan sesuatu yang berharga.



Ia adalah jalinan kerjasama yang padu dengan Ezan melukis pada tirai dan lantai. Saya pula mengusahakan arca dan video.



S: Apakah cabaran yang dihadapi dalam merealisasikan karya ini?



Noor Ezan (NE): Sebenarnya, kami tidak menganggapnya sebagai cabaran. Hari pertama kami bertemu, kami berbincang tentang kerja seni yang kami usahakan secara sendiri dan peribadi.



Ada persamaan antara karya kami iaitu tema masa yang diteroka. Kami harus terapkan bagaimana masa menjadi teras menyatukan karya kami yang memang jauh beza bentuknya.



Ilham bagi karya saya tercetus daripada konsep melihat bumi dari atas. Unsur organik menjadi sandaran karya saya di mana anda boleh melihat titisan cat yang mengalir lantas mengingatkan kita tentang hujan yang jatuh ke bumi, air lautan luas atau landskap dengan air batu. Kemudian kita dapat melihat tanah yang bergerak dan berubah sekali gus mengingatkan kita tentang proses penguraian. Segalanya berubah di muka bumi ini dari masa ke masa.



S: Apakah yang anda pelajari daripada kerjasama ini?



M: Dari segi estetika, kerja seni saya dan Ezan memang berbeza bak langit dengan bumi. Bagaimanapun, hasil perbincangan dan keserasian yang dibina, kami dapat mencari 'jambatan' yang menyatukan lukisan, seni pemasangan arca dan video bagaikan saling bergantungan dan berinteraksi dengan satu sama lain.



Alhamdulillah, dengan menggunakan ruang yang ada, perbezaan karya kami tidak nampak terlalu ketara.



NE: Karya gabungan kami ini tidak kelihatan seperti dipaksa untuk disatukan. Kami mengamalkan kelenturan dalam proses menyiapkan kerja seni kami. Apa-apa pun kemajuan yang kami buat dalam menyiapkan karya kami, kami akan saling beritahu satu sama lain.



Menariknya, kami dapat beri maklum balas membina kepada satu sama lain.



S: Bagaimana anda jelaskan pertemuan seni anda berdua?



M: Macam baru keluar 'dating' sebab tak kenal sebelum ini dan langsung perlu bekerjasama.



NE: Ibarat ada yang rancang 'jodoh' seni kami. Ia sinergi antara si muda dengan yang tidak terlalu muda. Saya ingat saya yang muda dalam pameran ini tetapi dalam projek ini, saya pula yang lebih tua!



Bagaimanapun, saya hargai kerjasama bersama Maisarah. Ia bukti dua generasi seniman dapat bertukar fikiran dan merealisasikan impian hasilkan seni tentang masa, pergerakan dan kehilangan secara bersama.



S: Apa yang anda harap orang ramai dapat lihat daripada kerja seni anda?



M: Saya harap mereka dapat hadam konsep tentang bagaimana seseorang menangani kehilangan seperti dalam arca ini kehilangan seorang anak. Arca yang bergoyang itu menggambarkan naluri si ibu yang mengingati anak yang bermain dengan kuda goyang. Manakala video saya pula menunjukkan langkah demi langkah proses pengebumian. Banyak proses mencuba, gagal dan cuba lagi.



S: Apa lagi yang anda usahakan buat 2022?



NE: Saya dan rakan-rakan saya merancang mengadakan pesta seni wanita tahun depan. Tahun ini, proses berbincang dan mengumpul idea.



M: Saya terlibat dalam pameran di Sekolah Seni Singapura (Sota) pada Mac ini. Ia adalah kerja seni berdasarkan kajian yang melihat estetika seni di sebalik beberapa tanah perkuburan di Singapura.




"Sepanjang bekerjasama dengan pensyarah saya, Encik Salleh Japar, saya belajar bahawa tiada batasan dalam seni. Sebelum ini, saya memang tidak begitu berminat menghasilkan sesuatu yang berunsur kebudayaan dan lebih condong pada seni tradisionalisme pop. Kerja seni gabungan pemasangan yang kami pamerkan ini bertajuk 'Orane' (dalam bahasa Jawa) atau 'Kewujudan'. Ada seni batik dan ada bagasi yang melambangkan cebisan artifak dan motif budaya. Gunungan wayang pula lambang diraja dalam wayang kulit. Kami terapkan unsur realiti tambahan (AR) dan kod QR sebagai unsur moden dan interaktif. Karya kami membawa maksud kehidupan dan aturan hidup di mana agama dan budaya yang dipelihara dapat ditakrif sebagai bersangkut-paut dan saling melengkapi."
- Penggiat seni berbilang disiplin, Cik Nur Fazera Makrof, 21 tahun, yang bekerjasama dengan seniman mapan, Encik Salleh Japar, 60 tahun




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >