Mendengar kisah-kisah para nabi yang diceritakan ayah saya sejak kecil lagi telah menanamkan sifat ingin tahu dalam jiwa saya.
Antaranya ialah mengenai perjalanan Israk Mikraj yang dilalui Nabi Muhammad saw.
Beberapa tahun kemudian, ketika saya menyusuri salasilah keturunan Bugis saya, saya tertarik dengan kisah Nabi Sulaiman as yang disebut dalam buku Tuhfat Al-Nafis.
Meskipun mereka hidup dalam abad berbeza, mereka terhubung menerusi satu tapak suci, Masjid Al-Aqsa – yang saya berhajat mahu jejaki satu hari nanti.
Dalam satu sembang santai bersama Encik Kassim Mohd Ali, rakan yang pernah menguruskan ibadah umrah saya, saya menyuarakan hasrat untuk ke Al-Aqsa.
Beliau kemudian mengumpulkan saya dan beberapa individu lain untuk dibawa dalam perjalanan yang dipimpin rakan kongsi perniagaannya, Ustaz Aiman Khalid, daripada AK Tours.
Destinasi pertama kami: Jordan.
Apa yang paling menyentuh hati saya ialah bagaimana Jordan pernah menjadi persimpangan penting bagi perdagangan, turunnya wahyu, dan kenabian.
Tanah yang berbukit-bukau dan tandus ini pernah dijejaki para nabi seperti Nabi Ibrahim, Musa, Luth, dan Syu‘aib as.
Jordan bukan sekadar sebuah negara moden, bahkan jambatan suci yang menghubungkan kehidupan para nabi dengan geografi kerohanian yang masih hidup di rantau ini.
Persinggahan pertama kami ialah Gua Ashabul Kahfi atau ‘Cave of the Seven Sleepers’.
Kisah sekumpulan pemuda ini yang disebut dalam Surah Al-Kahf, menjadi simbol perlindungan Ilahi, kekuatan iman, dan kebangkitan semula – mengingatkan kita akan rahmat dan kekuasaan Allah terhadap masa dan takdir.
Saya rasa kagum tatkala menziarahi gua dan peninggalannya yang masih terpelihara selepas lebih 2,300 tahun.
Laut Mati atau ‘Dead Sea’ pula meninggalkan kesan yang amat mendalam.
Udara di sana terasa ‘berat’ dengan kabut tebal menyelubungi permukaannya – mungkin kesan penyejatan yang berterusan – menjadikan suasananya bak di luar realiti.
Laut Mati hampir 10 kali lebih masin berbanding Laut Mediterranean.
Ketika saya berdiri di situ, saya teringat ayat-ayat Al-Quran dalam Surah Hud dan Surah Al-Hijr yang menceritakan tentang kaum Nabi Luth yang dibinasakan.
Ramai ulama percaya bahawa peristiwa tragis ini berlaku di wilayah ini, berhampiran Laut Mati.
Ia bukan sekadar keajaiban alam, bahkan peringatan yang menggetarkan jiwa tentang hukuman Ilahi dan akibat keruntuhan moral.
Menziarahi makam Bilal bin Rabah al-Habsyi merupakan satu pengalaman yang amat mengharukan.
Sewaktu saya berdiri di sisi makamnya, memori tentang filem ‘The Message’, yang menggambarkan kisah Bilal datang menyapa.
Dalam keheningan itu, saya seolah-olah dapat merasakan kehadirannya – suara yang dahulu melaungkan azan di sisi Nabi Muhammad saw, kini bersemadi dalam damai abadi.
Kemuncak lawatan kami di Jordan pastinya kota purba Petra.
Saya masih ingat, kali pertama melihat Petra dalam filem ‘Indiana Jones and Last Crusade’, saya sangkakan ia sekadar set rekaan Hollywood.
Namun alangkah terkejutnya saya apabila mendapati Petra benar-benar wujud – dan ia berdiri megah di Jordan!
Dengan permukaan batu kemerah-merahan yang menjulang tinggi, terukir keindahan di celah-celah tebing batu.
Keindahannya tidak mampu digambarkan mana-mana filem.
Pada sebelah malam, kami menyusuri jalan-jalan yang meriah di ibu kota Amman, menikmati suasana bandar yang bertenaga dan penuh kehidupan.
Di situlah, buat kali pertama, saya menjamah Kunafa yang masih panas, dibuat segar di tempat asalnya: Restoran Habibah yang terkenal.
Pastri emas yang dibasahi sirap manis itu, rangup di luar dan lembut di dalam, sungguh tidak dapat dilupakan.
Lebih daripada sekadar pencuci mulut, ia adalah hidangan tradisional di tengah-tengah ibu kota Jordan yang kaya dengan budaya.
Kunafa, satu hidangan istimewa Timur Tengah, dipercayai berasal dari Nablus, Palestin, sejak berabad lamanya.
Keesokan hari, kami menyeberangi sempadan ke Palestin, dengan hajat menuju ke tempat yang telah lama saya impi untuk kunjung: Masjid Al-Aqsa.
Perjalanan kami merentasi Jambatan Raja Hussein dan memasuki kota purba Jericho berjalan dengan lancar.
Jericho merupakan antara kota tertua di dunia, dengan bukti ia didiami manusia sejak lebih 10,000 tahun yang lalu.
Setelah makan tengah hari, kami menuju ke Bukit Godaan (Mount of Temptations) dan makam Nabi Musa as.
Walaupun kini dikelilingi padang pasir yang kering dan tandus, Jericho suatu ketika dahulu merupakan oasis yang subur dan sibuk.
Ketika saya berdiri di situ, saya hampir dapat membayangkan kafilah pedagang bergerak di sepanjang laluan purba ini, dengan kehijauan membentang sejauh mata memandang.
Mungkin, sebelum azab ke atas kaum Nabi Luth as, Laut Mati pernah ‘bernyawa’.
Masjid Al-Aqsa benar-benar merupakan keajaiban buat santapan rohani.
Dari tempat suci inilah Nabi Muhammad saw diangkat ke langit dalam peristiwa Israk dan Mikraj.
Jauh sebelum Makkah dijadikan arah kiblat, Al-Aqsa adalah arah solat pertama umat Islam.
Pertukaran arah kiblat ini bukan sekadar perubahan fizikal, tetapi satu penyelarasan rohani yang menghubungkan dua tempat paling suci dalam Islam – Al-Aqsa dan Kaabah – dalam rangka kebijaksanaan Ilahi, cinta yang mendalam, dan warisan abadi.
Dua persoalan sentiasa bermain di benak fikiran saya apabila menjejakkan kaki ke Masjid Al-Aqsa.
Menurut riwayat lisan, dikatakan bahawa semasa peristiwa Israk dan Mikraj, batu besar yang terletak di bawah Kubah Batu – dikenali sebagai As-Sakhrah – ingin mengikut Nabi Muhammad saw ketika Baginda diangkat ke langit.
Malaikat Jibril dikatakan menahan batu itu, menyebabkan ia “terapung” atau meninggalkan ruang kosong di bawahnya.
Persoalan kedua pula ialah mengenai lokasi sebenar Tabut Perjanjian (Ark of the Covenant) – peti suci yang dipopularkan dalam filem ‘Indiana Jones: Raiders of the Lost Ark’, dan yang telah memikat perhatian sejarawan, ahli teologi, dan para pengembara selama berabad-abad.
Saya akhirnya mendapat pencerahan daripada pemandu kami di Baitulmakdis, Encik Nazih.
Beliau menjelaskan bahawa kisah batu terapung tidak terdapat dalam Al-Quran mahupun hadis sahih.
Ia adalah tradisi tempatan yang meluas, sering diceritakan oleh jemaah haji.
Walaupun batu itu sememangnya suci, peranannya dalam Israk dan Mikraj lebih bersifat simbolik, bukan mukjizat fizikal dalam sumber Islam yang diiktiraf.
Tentang Tabut pula – yang disebut dalam al-Quran sebagai “tabut” pada zaman Nabi Musa dan Harun as – ia membawa tanda ketenangan dan legitimasi kenabian.
Lokasi sebenarnya kekal misteri hingga ke hari ini.
Namun ada yang percaya ia tidak pernah jauh dari tempat asalnya. Ketika saya melangkah ke ruang di bawah batu itu – dikenali sebagai Bir al-Arwah (Telaga Roh) – hati saya terasa seolah-olah sesuatu yang kuno dan tersembunyi masih berbisik dari bayang-bayang sejarah, menunggu untuk ditemui.
Encik Nazih turut membawa kami ke Masjid al-Buraq – tempat di mana Nabi Muhammad saw dipercayai telah menambat haiwan tunggangan dari langit, Buraq, sebelum Baginda dinaikkan ke langit.
Di sebelah masjid ini terdapat Tembok Ratapan, yang dalam tradisi Islam dikenali sebagai Tembok al-Buraq.
Di sinilah saya memahami bahawa kedua-dua nama merujuk kepada struktur yang sama – satu-satunya sisa dari Baitulmakdis Kedua yang menurut tradisi dibina oleh Nabi Sulaiman as.
Tempat Nabi saw bersolat semasa perjalanan malam itu kemudian dimuliakan dengan pembinaan masjid di atasnya, melambangkan kesucian kehadiran baginda.
Apa yang benar-benar menakjubkan saya ialah melihat apa yang dipercayai sebagai tiang dari Baitulmakdis Pertama, binaan zaman Nabi Sulaiman as.
Menurut pemandu kami, struktur-struktur besar ini dipercayai dibina dengan bantuan jin, sebagaimana disebut dalam Al-Quran bahawa Nabi Sulaiman as diberi kekuasaan memerintah mereka.
Dibina sekitar abad ke-10 Sebelum Masihi, tiang itu masih teguh berdiri – menjadi bukti luar biasa kepada ketukangan purba dan keberkatan Ilahi.
Ketika saya berdiri di hadapan tiang itu, satu persoalan timbul dalam hati: mungkinkah ini sebahagian daripada istana yang dibina untuk menyambut Ratu Balqis dari Saba’?
Terdapat legenda yang menyebut bahawa salasilah Bugis mungkin berasal daripada penyatuan mereka – sebuah kisah yang diwariskan secara lisan turun-temurun.
Walaupun Al-Quran mengisahkan kunjungan Ratu Balqis dan keagungan Nabi Sulaiman, lokasi sebenar istana itu masih menjadi misteri.
Namun saat itu, saya merasa seolah-olah menyentuh benang yang mengaitkan iman, mitos dan warisan, suatu kisah yang melangkaui masa dan berbicara terus ke dalam jiwa.
Kami turut berkesempatan menziarahi Masjid Marwani, yang menurut tradisi, merupakan tempat tinggal Maryam as dan lokasi kelahiran Nabi Isa as.
Lawatan kami disusuli dengan berjalan kaki menyusuri Quarters Kristian dan Yahudi dalam Kota Lama Baitulmakdis.
Di sinilah kami singgah di Gereja Holy Sepulchre, yang menjadi saksi kepada bagaimana para pengikut Nabi Isa as kemudiannya menerima ajaran Kristian – suatu detik sejarah penting dalam transformasi awal akidah dan kepercayaan.
Berdiri di puncak Bukit Zaitun (Mount of Olives), saya mula memahami mengapa masyarakat Yahudi mengebumikan jenazah mereka menghadap ke arah Pintu Emas (Golden Gate) – pintu yang telah lama dimeterai oleh Salahuddin Al-Ayyubi berabad lalu.
Simbolisme, sejarah dan keyakinan yang bersilang dalam satu kota ini benar-benar mengujakan.
Terlalu banyak pencerahan dan terlalu singkat masa untuk menghayatinya sepenuhnya.
Selesai solat subuh di Baitulmakdis, kami mengambil gambar kenangan bersama rakan-rakan dan penduduk tempatan sebelum kami melintasi sempadan kembali ke Jordan, dan akhirnya pulang ke Singapura.
Sebagai seorang pengunjung buat pertama kalinya ke Makkah, Madinah, dan Palestin, saya mendapati bahawa setiap kota suci ini memiliki ‘jiwa’ yang tersendiri – dibentuk oleh berabad-abad keimanan, sejarah dan ketabahan.
Apa yang paling menarik buat saya ialah bagaimana Baitulmakdis merupakan bandar yang menyambut tetamu dengan penuh mesra walaupun ia dihimpit ketegangan yang berpanjangan.
Orang-orangnya tersenyum, memberi salam dalam pelbagai bahasa meskipun berdepan ujian yang berpanjangan.
Dalam ketidaktentuan, mereka tetap tenang, seolah-olah sedar sepenuhnya bahawa hidup dan nasib mereka berada dalam tangan Allah.
Setiap kota ini telah membuka mata saya bahawa iman itu menzahirkan dirinya secara berbeza – namun indah – bergantung kepada tempat dan cara ia tersemat dalam hati manusia.
Penulis merupakan seorang pengkaji warisan. Beliau juga pengasas Bugis Temasek, anggota Persatuan Genealogi Singapura dan anggota Persatuan Melayu Bugis Singapura.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg