PEREKA fesyen terkenal di Kuala Lumpur, Datuk Jovian Mandagie terkilan dengan dakwaan beliau menggunakan pengaruh bapa mentuanya yang juga Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi tujuan perniagaan dan peribadi.
Jovian berkata, adalah tidak adil untuk mengaitkan dirinya dengan isu itu kerana beliau sudah terbabit dalam industri fesyen sebelum menjadi menantu PM Malaysia itu, lapor Harian Metro.
"Saya manusia biasa tentu ada rasa kecil hati, tapi saya tidaklah ambil secara peribadi kerana saya seorang yang sangat positif.
"Orang selalu kata saya dibiayai oleh duit kerajaan walhal saya tak pernah pun ambil kesempatan.
"Saya buat bisnes bermodalkan RM5,000 ($3,100) dari duit ibu saya. Bertitik tolak daripada situ, perniagaan saya mula berkembang dan saya dipertemukan dengan beberapa pelabur persendirian.
"Kalau nak kata saya ambil kesempatan, bagaimana saya boleh buka butik di Jalan Maarof, Bangsar yang menelan belanja berjuta-juta dan ketika itu saya belum berkahwin pun dengan Datin Nina Ismail," katanya ketika ditemui media pada majlis pelancaran korset Wonder Suit by Jovian yang diadakan di Tropicana Golf & Country Resort,
Jovian bagaimanapun tidak menafikan bapa mentuanya turut memainkan peranan dalam membantu mempromosikan produk keluarannya terutama ketika di awal penularan wabak Covid-19.
"Saya tak nafikan mungkin kedudukan bapa mentua itu membuka jalan dengan lebih luas terutama ketika pandemik apabila beliau memakai pelitup muka jenama saya setiap hari di kaca TV.
"Ia sekali gus memberi publisiti dan membawa rezeki kepada perniagaan yang sedang diusahakan. Ingin saya tegaskan bukan beliau yang suruh saya buat perniagaan itu, tapi ia adalah usaha dan kerja keras saya sendiri.
"Boleh dikatakan kami melengkapi antara satu sama lain," katanya.
Pada majlis Wonder Suit by Jovian, pereka fesyen itu turut memperkenalkan empat selebriti terkenal sebagai duta produk iaitu Rozita Che Wan, Ning Baizura, Ifa Raziah, Sherry Alhadad dan Dolla.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg