Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jurudandan bakar semangat baru rakam lagu

Penyedia khidmat perkahwinan Wan Huzarman timba ilmu niaga, bina semangat positif dalam waktu sukar
Dec 21, 2020 | 5:30 AM
SEMAI JIWA POSITIF: Dalam keadaan perniagaannya suram sewaktu pandemik Covid-19, Encik Wan Huzarman Wan Azlan Shah, sentiasa mencari ruang mengasah kemahiran meniaga kecil-kecilan, membuat klip video ulasan makanan dan menyanyi. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA
SEMAI JIWA POSITIF: Dalam keadaan perniagaannya suram sewaktu pandemik Covid-19, Encik Wan Huzarman Wan Azlan Shah, sentiasa mencari ruang mengasah kemahiran meniaga kecil-kecilan, membuat klip video ulasan makanan dan menyanyi. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA -

Walaupun mereka bukan selebriti dan lebih menjalankan kerja di belakang tabir menambah seri pada penampilan individu yang didandan, mereka tetap mempunyai pengikut mereka sendiri di media sosial. BERITA HARIAN melaporkan tentang dua usahawan tata hias, baik yang menjalankan perniagaan khidmat perkahwinan mahupun yang menjana jenama kosmetik sendiri.

JURUDANDAN, penata gaya dan usahawan penyedia khidmat perkahwinan, Encik Wan Huzarman Wan Azlan Shah, sudah mengharungi jerih payah mencari rezeki sejak usia 18 tahun.

Kini, pada usia 36 tahun, pemilik syarikat Wan Huzarman Rias Pengantin itu sudah masak dengan pasang surut bidang perniagaan.

Beliau antara yang begitu teruja menanti permulaan Fasa Ketiga pembukaan semula ekonomi Singapura pada 28 Disember ini.

Sebabnya, ia memberi harapan cerah buat industri khidmat perkahwinan dengan kelonggaran diberi kepada sehingga 250 tetamu (terbahagi kepada lima zon dengan setiap satu menampung 50 orang) berhimpun bagi sesebuah majlis kahwin.

Menyingkap semula kesukaran yang dihadapi dalam tempoh pandemik, Encik Wan Huzarman mendedahkan, apabila wabak Covid-19 melanda sekitar awal tahun ini, beliau sudah merasakan tempias pandemik ini pada perniagaannya.

Banyak majlis kahwin ditunda sebagai langkah keselamatan yang perlu diambil kira dalam tempoh berkurung pemutus rantaian jangkitan Covid-19.

Encik Wan Huzarman, yang pernah menemani penyanyi Singapura Rudy Djoharnaen ke pesta jaz atau 'gig' budaya di Indonesia, juga akur kembaranya ke acara sebegini terhenti dek sekatan kembara.

Namun, dalam tempoh mencabar ini, beliau banyak belajar perkara baru, teroka bidang perniagaan kecil-kecilan lain, malah mengasah suara emasnya bagi satu projek 'single' bersama artis tempatan.

Beliau, yang menyediakan khidmat keperluan persandingan satu perhentian meliputi busana, dandanan, fotografi, pelamin dan hiasan, berkata:

"Apabila Covid-19 melanda, saya tak tahu apa nak kata. Bisnes saya merosot. Tiada pekerjaan yang boleh saya lakukan sebab kebanyakan majlis kahwin ditunda.

"Kalau ada pun yang diteruskan, ia hanya majlis pernikahan kecil-kecilan dengan bilangan tetamu terhad.

"Cuma saya bersyukur, pelanggan saya amat memahami keadaan saya dan peka dengan situasi perniagaan yang menerima tamparan hebat daripada pandemik ini.

"Mereka tidak meminta kembali wang pendahuluan mereka."

Dengan pengumuman Fasa Ketiga bakal bermula, Encik Wan Huzarman bersyukur kian ramai pasangan yang mula menempah khidmat yang ditawarkan syarikatnya.

MENIAGA SEJADAH

Tambahan pula, beliau bekerjasama dengan syarikat perancang perkahwinan The Sue Tariq yang dikenali dalam kalangan masyarakat Melayu, lantas mampu mempertingkat lagi momentum niaganya.

"Meniaga sudah mendarah daging dalam diri saya sejak usia 18 tahun. Payah nak bayangkan kehidupan tanpa meniaga.

"Lantaran itu, bagaimana sukar pun, saya akan usahakan sesuatu. Apabila kebosanan tak tahu nak buat apa semasa tempoh getir pandemik, saya meniaga sejadah yang mudah dibawa untuk tujuan kembara dan dekor ayat-ayat suci," katanya lagi.

Dalam pada itu, Encik Wan Huzarman akur rindu mengembara khususnya ke Batam dan Indonesia yang sudah menjadi bak rumah keduanya.

Beliau seronok melihat kesyahduan suasana matahari terbenam dari langit yang merah di tepi pantai.

"Saya bersyukur kerana diberi peluang mengembara sambil bersantai setiap kali Rudy ada persembahan budaya, jaz atau keramaian lain di Indonesia.

"Saya amat berbesar hati dapat bekerjasama dengannya, memberi dandanan rambut dan menyiapkan pakaian buatnya di pentas persembahan.

"Saya selesa dengan cara Rudy yang santai, suka bergurau dan gembira selalu. Beliau jenis happy go lucky!

"Saya pun menganggapnya seperti abang sendiri. Banyak perkara beliau ajar dan kongsi dengan saya. Dari situ, saya dapat bezakan antara yang baik dengan tidak dalam kehidupan sebagai anak seni," jelasnya yang juga pernah berurusan menyiapkan dandanan dan busana penyanyi irama tradisional, Elfee Ismail dan Chacha Salleh.

Baru-baru ini, Encik Wan Huzarman kembali mendandan Rudy yang terlibat dalam 'Konsert Himpunan Serumpun 2020: Malam Lagu dan Irama' kendalian Nadi Singapura di Festive Arts Theatre@Our Tampines Hub (OTH).

Ditanya mengenai kegemarannya menyanyi pada masa lapang, Encik Wan Huzarman, memberi kejutan manis buat mereka yang mengenalinya.

Beliau sebelum ini menyertai peraduan 'Senandung Sukma'.

Katanya, setelah lama tidak menyanyi, dirinya akan berpadu suara dengan bekas naib juara 'Anugerah', Maiya Rahman, dalam lagu 'Aksara Cinta'.

PROJEK 'SINGLE'

"Inilah projek 'single' terbaru saya. Lagu ini hasil ciptaan Yazri Malik. Ia idea spontan selepas minum kopi dengan Maiya.

"Saya yakin lagu ini dapat menjadi penawar dan sesuai buat permulaan Fasa Ketiga yang dinanti-nanti," dedahnya.

Kalau dijenguk laman Facebooknya, dapat dikesan betapa beliau berjiwa klasik.

"Tepat sekali! Kalau nak mencari penawar dalam filem, saya suka filem Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang kelakar dan sarat dengan lagu penghibur duka lara.

"Sedap didengar bila-bila masa lagu P. Ramlee ni. Malar segar dan sentiasa mengembalikan nostalgia," katanya, yang lebih sukakan semangat gotong-royong dan positif dalam menyemarakkan dunia niaga mahupun seni.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg