Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kajol kesal pernah abai nasihat Shah Rukh Khan

Jul 5, 2023 | 5:20 PM
HAMPIR TINGGALKAN INDUSTRI: Kajol (kanan) hampir tinggalkan industri lakonan setelah terasa lelah dan menyesal tidak mendengar nasihat Shah Rukh Khan untuk mencuba teknik lakonan baru.
HAMPIR TINGGALKAN INDUSTRI: Kajol (kanan) hampir tinggalkan industri lakonan setelah terasa lelah dan menyesal tidak mendengar nasihat Shah Rukh Khan untuk mencuba teknik lakonan baru. - Foto BOLLYWOOD HUNGAMA

Hubungan pelakon Bollywood, Kajol, dan gandingan serasinya di layar perak, Shah Rukh Khan, baik dan akrab di luar dunia filem.

Mereka bahkan sering berkongsi panduan lakonan dan saling menasihati untuk berjaya dalam kerjaya seni.

Bagaimanapun, Kajol, 48 tahun, akui pernah suatu ketika, menolak nasihat Shah Rukh untuk mengubah teknik lakonannya.

Langkah itu bahkan membawa masalah buat dirinya sendiri sehingga Kajol terasa lelah dan hampir-hampir mengundurkan diri daripada industri lakonan.

Dalam satu wawancara bersama laman Humans of Cinema, Kajol yang memulakan kerjaya lakonannya pada 1992, dan segera dikenali ramai pada 1994 berkata:

“Saya sampai pada satu tahap di mana saya mahir melakukan segalanya. Semuanya datang secara semula jadi dan tanpa dipaksa. Saya berbual dengan Shah Rukh pada suatu hari dan beliau mengusulkan kepada saya agar meneroka teknik lakonan yang baru.

“Saya tanyakan kepadanya, ‘Apakah teknik baru ini?’ Beliau menjelaskannya tetapi saya mengabaikan pandangan dan nasihatnya. Saya malah enggan ambil serius nasihat berharga Shah Rukh itu.

“Bagaimanapun, saya menyedari apa yang Shah Rukh ajar itu sebenarnya berguna untuk dimanfaatkan bagi filem-filem baru saya.

“Selepas menghasilkan filem Udhar Ki Zindagi pada 1994, saya rasa terlalu penat dan jenuh sehingga terasa ingin meninggalkan industri filem dan lakonan.

“Saya tidak mahu buat filem lagi. Saya bahkan beritahu ibu saya keinginan saya berehat daripada dunia perfileman yang bermakna ini. Saya sudah jemu dan tidak mahu berlakon lagi.

“Pada waktu itu, saya hanya berpuas hati berlakon dalam tiga babak dan terlibat dalam empat lagu tanpa banyak rakaman babak yang sulit. Saya hanya menandatangani kontrak bagi tiga filem sahaja. Itu sahaja melegakan saya,” ujarnya.

Akhirnya, Kajol yang bergandingan dengan Shah Rukh dalam beberapa filem hit seperti Kuch Kuch Hota Hai, berkata:

“Sebenarnya, anda tidak perlu memerah jiwa raga anda untuk dapatkan apa yang anda cita-citakan. Anda hanya perlu lebih berkeyakinan dan tahu anda bagus dalam bidang lakonan.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg