Tiada istilah menenggelamkan sesiapa. Itu yang ditegaskan pengacara, pelakon dan penyanyi, Elly Mazlein, yang enggan memeningkan kepala berhubung dakwaan kerap ‘menenggelamkan’ rakan pengacara setiap kali bergandingan mengendalikan sesebuah majlis atau program hiburan.
Tanpa menyebut nama mana-mana pihak, Elly, 44 tahun, berkata isu siapa ‘tenggelam’ atau siapa timbul tidak sepatutnya dibangkitkan secara terbuka, sebaliknya boleh dibincangkan ketika sesi membaca skrip sebelum bermulanya sesebuah acara.
Elly atau lebih dikenali sebagai Kak Lina Pom Pom itu menjelaskan kepada laman Kosmo! Online, kehadirannya sebagai pengacara bukan untuk mencabar sesiapa apatah lagi bersaing dengan mana-mana pihak.
“Sebagai kawan-kawan, sepatutnya boleh berbincang sebab ada bacaan skrip, jadi jangan syok sendiri sebab bukan acara kau seorang tetapi secara bersama. Itu sebabnya kita jangan shaking (tercabar).
“Jangan ilusi macam saya nak lebih ke apa. Kena ingat bahawa program tersebut dimiliki oleh syarikat dan kita ada kerja, sepatutnya buat sebaik mungkin.
“Saya malas hendak bergaduh sebab rezeki sebab malu ditambah pula sesama orang Islam. Nasihat saya, jangan tercabar, itu sahaja,” katanya pada majlis pelancancaran single barunya berjudul Sayap baru-baru ini.
Dalam masa sama, Elly, atau nama penuhnya Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, juga tiada masalah sekiranya diboikot hanya disebabkan prinsipnya dalam pekerjaan. Beliau sentiasa percaya bahawa rezeki sudah diaturkan Tuhan.
Bintang drama Kampung People itu juga sempat menyindir segelintir individu supaya tidak tergugat dek kehadirannya. Beliau juga memilih untuk bekerja dalam keadaan tenang daripada menyerabutkan fikiran dengan isu yang dianggap ‘sampah’.
“Saya lebih selesa memikirkan tentang ketenangan dan semangat positif serta tiada masa nak fikir tentang hal sampah.
“Sejujurnya selepas menang anugerah Pengacara Paling Popular pada majlis Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-35 tahun lalu, saya dapat rasakan kesukarannya. Saya lahir dalam industri ini bukan sebagai pencabar.
“Kita sama-sama mencari rezeki dan ingin kerja dengan ikhlas. Kalau mahu bergaduh pasal rezeki, saya memang akan tarik diri,” ujarnya.
Pada 2023, Elly mengejutkan ramai apabila menarik diri sebagai hos program All Stars Gegar Vaganza.
Sehingga hari ini, Elly tidak pernah berkongsi secara lanjut mengenai punca penarikan diri tersebut dan hanya memaklumkan keputusan itu diambil kerana mahu memberi keselesaan kepada orang lain merujuk kepada dua pengacara program berkenaan, Nabil Ahmad dan Jihan Muse.
Tak apalah Elly. Rezeki ada di mana-mana. Tengok, ada juga rezeki muncul pada ulang tahun kelima Wisma Geylang Serai (WGS) pada 27 Januari.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg