Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

'Kakak MJ' ajak 'Raya Sikit-Sikitlah!'

AP Mariam Jaafar rakam lagu pesanan sosial bersama artis ‘hip hop’ tempatan
May 13, 2021 | 05:30 AM



RANCANGAN asal Anggota Parlimen GRC Sembawang, Cik Mariam Jaafar, hanyalah memberi ucapan Hari Raya menerusi video yang membawanya menyelami ketenangan sekitaran desa Kampung Buangkok.



Putar sahaja lagu klasik kegemaran ramai, Suasana Hari Raya sebagai lagu latar, sambil main bunga api.



Tup...tup...tanpa diduga, aktivis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) Woodlands, Cik Deanna Manto, yang bertindak sebagai Pengerusi Penganjur Projek Video Hari Raya, ada rancangan lain yang ingin diusulkan kepada Cik Mariam.



Dalam tempoh secepat kilat, lagu Raya Sikit-Sikitlah! yang disejajarkan dengan tema beraya dalam norma baru pandemik Covid-19 tercipta dengan Cik Mariam sekali gus menyanyikannya bersama tiga artis hip hop Singapura, 2Kangkata, Mawar Berduri dan P-3ye.



Lagu 'catchy' dengan pesanan akur pada peraturan jarak selamat ketika kunjung mengunjung dan berpada-pada beraya demi kesejahteraan bersama itu dicipta 2Kangkata dan Sazery Shuhadi.



Ia sudah dimuatnaikkan ke wadah penstriman digital Spotify sejak Ahad lalu dengan klip videonya disajikan di laman Facebook Cik Mariam pada malam Raya semalam.



Lebih istimewa lagi, nama pentas Kakak MJ atau KKMJ persis nama artis hip hop digunakannya atas usulan 2Kangkata.



Dengan lagu ini berkumandang, beliau disifatkan sebagai Anggota Parlimen Singapura pertama yang miliki lagu Raya sendiri.



Ketika dihubungi melalui Zoom, Cik Mariam tertawa seraya berkata:



"Apabila saya menceburi bidang politik, memang ini bukanlah perkara yang saya duga. Saya beritahu Deanna, saya bukan penyanyi.



"Tak sangka pula niat asal setakat nak beri ucapan Hari Raya di Kampung Buangkok berubah menjadi pengalaman sulung saya merakam lagu di studio muzik.



"Ingatkan cuma bersuara dan beri pesanan sosial tentang perhatikan undang-undang dan peraturan keselamatan Covid-19.



"Rupanya kena menyanyi sekali...banyak pula tu...korusnya panjang-panjang.



"Namun, saya hargai usaha kreatif dan gila-gila aktivis MAEC Woodlands seperti Deanna. Mereka memang banyak idea, minta saya naik motosikallah dan kini menyanyi."



Cik Deanna pula menambah:



"Kami di MAEC Woodlands inginkan kelainan. Kebiasaannya penasihat akar umbi seperti Cik Mariam diminta menyanyi beramai lagu Raya yang sedia ada.



"Tapi kami rasa penting bagi hasilkan lagu Raya dendangan bersama Cik Mariam yang boleh diputar setiap tahun, apa lagi apabila ia sarat dengan pesanan sosial tentang Covid-19 dan beraya secara umum.



"Alhamdulillah, saya berterima kasih kepada Cik Mariam kerana selepas dipujuk berulang kali, beliau bersetuju. Saya beritahu kepadanya, suara sedap tak sedap, janganlah dihiraukan.



"Berikan sahaja yang terbaik. Pastinya ia projek yang menceriakan dan menyeronokkan."



Dalam kami bersembang, rupa-rupanya ada kisah di sebalik penggunaan nama pentas Kakak MJ.



"Ia timbul apabila Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East, Encik Mohd Fahmi Aliman, berkunjung ke kejiranan jagaannya di Geylang.



"Beliau bertemu seseorang dari kejiranan lain yang mengunjungi rumah ibunya. Apabila ditanya siapakah Anggota Parlimennya, dengan bersahaja, pemuda itu berkata Kakak MJ!



"Dari situlah timbul nama pentas saya. Kini 2Kangkata menyingkatkannya lagi dengan gelaran KKMJ (Double K MJ)," kongsi Cik Mariam.



Baginya, peranan seorang ahli politik dalam era media sosial sudah jauh berubah.



"Kalau dahulu, sesi bertemu penduduk dan meronda kejiranan merupakan satu cara mendekati penduduk, pemimpin politik kini perlu fikir dan laksanakan sesuatu di luar zon selesa di media sosial dalam keadaan pandemik Covid-19 menular dan membataskan pergerakan.



"Dari situlah muncul idea kreatif bikin video memasak, menyanyi dan sebagainya agar penduduk rasa dekat dengan kita.



"Raya Sikit-Sikitlah! juga dihasilkan tepat pada masanya apabila kes jangkitan Covid-19 dalam masyarakat meningkat.



"Perlu kita berpesan kepada orang ramai agar berhati-hati, perhatikan had bilangan yang berhimpun dan menjaga jarak serta keselamatan ketika beraya kalau inginkan Hari Raya yang selamat.



"Saya berharap masyarakat Melayu kita dapat bersabar. Bukan tak boleh menikmati Raya. Tempoh 30 hari beraya malah boleh dimanfaatkan bagi kunjung mengunjung sedikit demi sedikit," tambahnya.



2Kangkata dan Mawar Berduri pula menghargai peluang sulung bekerjasama dengan ahli politik.



Segalanya mudah sebab Cik Mariam disifatkan mereka sebagai ramah, mudah diajak berbincang dan bertukar-tukar idea serta selesa dan bersahaja di studio rakaman.



"Sebenarnya, lagu Raya Sikit-Sikitlah! ini relevan malah selepas tempoh pandemik.



"Kebiasaan lagu Raya mesti ada kata-kata seperti 'mari berjumpa', 'bersalam-salaman' dan 'makan kuih raya'.



"Lagu ini ada kelainan dengan makna menyeluruh tentang situasi sekarang. Teras utamanya adalah berpada-pada bila beraya.



"Selepas pandemik berlalu pun, kita masih boleh tekankan tentang sikit-sikit yang bermaksud berjimat cermat atau bersederhana dalam beraya...tak perlu berhabis-habisan," jelas 2Kangkata.



Antara cabaran yang dihadapi dalam menghasilkan lagu ini adalah menerapkan keseimbangan lirik dengan mesej serius berunsur nasihat tetapi disampaikan secara santai.



Mawar Berduri pula menambah:



"Inilah kali pertama saya merakam lagu bersama ahli politik. Terharu rasanya dan berbesar hati dapat merealisasikan projek ini.



"Apa yang saya amati adalah dalam kita beraya tahun ini, kesederhanaan dan keselamatan itu penting sebab kita masih belum keluar daripada suasana pandemik ini.



"Dengan peningkatan kes masyarakat, kita hadkan kunjung mengunjung pada orang-orang terdekat seperti ibu bapa dan teman rapat."




"Apabila saya menceburi bidang politik, memang ini bukanlah perkara yang saya duga. Saya beritahu Deanna, saya bukan penyanyi. Tak sangka pula niat asal setakat nak beri ucapan Hari Raya di Kampung Buangkok berubah menjadi pengalaman sulung saya merakam lagu di studio muzik. Ingatkan cuma bersuara dan beri pesanan sosial tentang perhatikan undang-undang dan peraturan keselamatan Covid-19. Rupanya kena menyanyi sekali... banyak pula tu... korusnya panjang-panjang."
- Cik Mariam Jaafar, AP GRC Sembawang.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >