Lembaran 2024 dibuka dengan penuh gah buat pelakon, Karan Singh Grover, yang mendukung watak Pemimpin Skuadron Sartaj Gill – gelaran singkatan Taj – dalam salah satu filem yang paling dinanti-nantikan pada 2024 iaitu ‘Fighter’, arahan Siddharth Anand.
Karan memainkan watak penting sepanjang filem sehingga kemuncaknya di mana wataknya ditonjolkan dengan hebat.
Dalam satu temu bual eksklusif bersama Filmfare, beliau menceritakan bagaimana projek impiannya dihasilkan, tentang isterinya, Bipasha Basu, yang merupakan penyokong tegar beliau dan pengalaman digandingkan dengan bintang hebat Bollywood.
Soalan: Apakah perbualan pertama anda bersama Siddharth untuk melakonkan watak Taj.
Jawapan: Saya ingat perbualan pertama kami dan ia agak lucu.
Saya telah bertemu Siddharth dan Mamta (Anand) dan beliau memberitahu saya bahawa beliau baru sahaja berkunjung ke Pangkalan Angkatan Udara di bahagian Utara dan melihat bahawa semua pegawai Angkatan Udara sangat tampan dan ibarat ‘supermodel’.
Beliau kemudian fikir tentang mencari pelakon buat filem ini di mana beliau inginkan sekumpulan orang sesuai yang dapat menggambarkan pegawai Angkatan Udara dengan tepat.
Kami kenal satu sama lain sebelum ini. Namun itulah perbualan pertama yang tercetus.
Kemudian beliau membacakan skrip itu kepada saya.
Nasib baik beliau mengatakan semua ini kerana jika sayalah yang mengatakan semua ini tentang diri sendiri, kelihatan seperti angkuh sangat.
Soalan: Jika bukan watak ini, watak manakah yang anda ingin lakonkan dalam filem ‘Fighter’?
Jawapan: Sejauh mana ia melibatkan watak, saya paling sukakan watak saya.
Tetapi jika saya dapat membuat pilihan, saya okay dengan mana-mana watak yang Siddharth dan Mamta arah saya lakonkan kerana ia semua ditulis dan disusun dengan baik sekali, bermakna banyak untuk dilaksana dan semuanya penting.
Soalan: Apakah cabaran untuk pastikan watak anda dapat ditonjol?
Jawapan: Ya, ia filem bajet besar. Saya percaya pada dasarnya kami semua sama. Jadi orang ‘di hadapan’ saya ialah seorang lagi pelakon.
Mereka mungkin pelakon yang mempunyai pencapaian cemerlang dan hebat dalam bidang mereka ataupun tidak.
Bagi saya, apabila saya melakonkan satu watak, saya tahu hakikatnya kemudian adalah, saya mungkin mengatakan inilah diri saya.
Maksud saya, ini adalah watak saya dan saya akan melakonkannya semampu saya dan saya pasti bahawa tidak ada orang lain yang akan mampu melakonkannya dengan cara saya kerana itulah cara saya.
Ia lebih kepada anda lakonkan (watak) anda dan saya lakonkan (watak) saya.
Oleh kerana kami mempunyai matlamat serupa atau satu matlamat, saya rasa jika kami menumpukan perhatian kepada diri sendiri dan apa yang kami patut lakukan dan bagaimana kami patut lakukannya, barulah ia agak lebih mudah untuk capai tahap yang diingini.
Soalan: Apakah pengalaman berkongsi layar bersama bintang hebat seperti Deepika dan Hrithik?
Jawapan: Perkara terbaik yang diraih daripada pengalaman berkongsi layar bersama bintang hebat seperti Deepika atau Hrithik adalah banyak yang dapat saya pelajari daripada mereka.
Tentang bagaimana mereka bertindak dan mencipta. Anda hanya perlu pastikan minda, mata dan telinga anda kekal terbuka dan banyak untuk pelajari daripada mereka.
Soalan: Bipasha tentunya merupakan penyokong kuat anda, adakah anda bincang skrip atau adegan bersamanya?
Jawapan: Saya sangat beruntung mempunyai Bipasha sebagai penyokong kuat saya. Beliau milik saya sepenuhnya.
Tidak, saya tidak membincangkan adegan bersamanya atau tentang apa-apa yang saya dapati sukar untuk lakukan.
Tentang adegan yang saya akan lakukan atau sesuatu yang saya lakukan.
Saya tumpukan perhatian kepada diri saya dan memahami bagaimana saya akan melaksanakan sesuatu dan tidak mendapat inspirasi daripadanya.
Beliau seorang artis dan beliau mempunyai cara tersendiri untuk melaksanakan tugasnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg