Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

PAMERAN 60 TAHUN APAD

Karya seni pelukis muda papar ikatan keluarga

Jun 28, 2022 | 05:30 AM



PEMERGIAN arwah ayahnya yang menghidap barah paru-paru dan tiroid empat tahun lalu masih lagi terpahat di ingatan seniman muda, Cik Syazana Mohd Yassin.



Melalui tiga karya seni berupa lukisan cat minyak, video dan seni pemasangan fabrik dan media campuran yang berjudul Kenangan Pengakhiran Kehidupan Arwah, Cik Syazana, 21 tahun, mengabadikan kenangan manis tentang ayahnya, Encik Mohd Yassin Mohd Harun.



Cebisan kain pelekat dan kemeja-T arwah ayahnya menjadi bahan seni pemasangan manakala suara arwah sewaktu hayatnya yang terakam dalam nota audio di telefon pula dijadikan latar video yang dilakonkan semula tentang tabiat harian beliau.



Inilah karya sulung Cik Syazana yang dipamerkan di ruang seni HEARTH by Art Outreach di Gillman Barracks sempena pameran ulang tahun ke-60 Angkatan Pelukis Aneka Daya (Apad), Grounding Commonalities.



Pameran yang menyentuh tentang takrifan enam seniman muda mengenai persaudaraan, kebersamaan dan hubungan kekeluargaan itu berlangsung sejak Jumaat lalu hingga Ahad ini.



Ia dirasmikan Pengarah Artistik The Substation, Encik Ezzam Rahman, Sabtu lalu.



Ketika ditemui Berita Harian, Cik Syazana yang baru tamat pengajian di Akademi Seni Halus Nanyang (Nafa) dan beralih pula ke Institut Pendidikan Nasional (NIE) bagi tuntutan kursus Diploma Pengajaran Seni, berkata:



"Masa yang berlalu begitu pantas akan mengubati hati kita tentang segala kesedihan yang pernah kita lalui.



"Namun, saya takkan lupakan ayah dan sikapnya yang suka bergurau dan mencuit hati. Saya hanya tahu keadaan sakitnya pada saat akhir kehidupannya kerana ibu merahsiakannya daripada pengetahuan kami adik-beradik



"Walau dalam keadaan sakit, beliau tidak pernah duduk diam dan ada sahaja kerja yang ingin dilakukan seperti menjual cendol di bazar musiman.



"Tiga karya seni saya ini menceritakan tentang siapa ayah daripada cebisan kenangan yang saya simpan mengenai arwah."



Cik Syazana telah menyisipkan nama timangan yang sering ayahnya gunakan untuk memanggilnya iaitu 'totet' serta nama timangan 'nonet' buat anak saudaranya pada kemeja-T dan kain pelekat yang dijadikan bahan seni.



Ada beberapa perkataan Jawa dan Sunda yang Encik Mohd Yassin sering gunakan selain pertanyaan 'Ingat ayah cap duit ke?' turut dilekatkan pada fabrik berkenaan.



Sebuah buku glosari bagi menjelaskan frasa kegemaran ayahnya turut tersedia di ruang pameran itu buat orang ramai baca dan fahami dialog ayahnya.



"Ayah pening dengan empat anak perempuannya yang suka beli-belah. Tapi dia juga pandai tawar menawar kalau beli barang...nakkan harga lebih murah.



"Itulah kenangan saya tentang ayah. Namun, paling sebak buat saya adalah ketika melukis gambar tangan ayah memegang tasbih tatkala dalam keadaan lemah di hospital. Saat-saat akhir begitu memang sukar saya lupakan ketika beliau pasrah dengan sakitnya dan tahu masa tak panjang lagi," cerita Cik Syazana yang gembira dapat menyertai Apad sebagai pendedahan buat kerjaya seninya.



Kehidupan ada pasang surutnya dan sentiasa berputar dalam tempoh suka duka yang tiada berkesudahan.



Encik Muhd Masyfu' Md Noor, 35 tahun, atau nama seninya, Muddmitaq, yang terlatih dalam bidang seni reka hias dalaman akur akan perkara itu.



Beliau lantaran itu, buat julung-julung kalinya, menghasilkan seni pemasangan interaktif yang menggabungkan dua kerja seninya pada 2019 dan tahun ini.



Ia diberi nama The Journey of Life dan Infinity. Lukisan disejajarkan dengan pancaran lampu dan muzik bagi menggambarkan emosi yang bertukar-tukar daripada kegembiraan, kesedihan, tertekan dengan cabaran dan kebangkitan untuk membina semangat baru dalam hidup.



"The Journey of Life ini adalah luahan hati dan emosi saya dalam mengatasi cabaran kehidupan dengan rasa reda dan bersyukur.



"Infinity pula adalah satu pergerakan abstrak bak putaran roda dengan warna dan tekstur kerja seni saya ini memberi gambaran tentang kegembiraan, kesedihan, cabaran dan proses melalui segalanya dengan kekuatan.



"Saya mengajak orang ramai mengikuti saya dalam kembara hidup penuh pancaroba tetapi nikmat. Ada ruang tertutup yang boleh anda terokai dan dapati bahawa lukisan yang menggunakan satu warna sahaja boleh bertukar warna hasil permainan cahaya lampu.



"Kekata 'Leo' seperti zodiak berlambangkan singa itu adalah simbol kegagahan dan keberanian mengatasi apa jua masalah yang terbentang. Apa yang saya cuba tekankan adalah keluarga turut menjadi tunggak kegembiraan kita," kongsi Muddmitaq.



Lulusan Diploma Seni Halus, Nafa, Cik Mayang Sari Noorhezam, 21 tahun, pula menggunakan animasi dan ilustrasi digital untuk menggambarkan suasana kebersamaan orang Melayu.



Dalam karyanya yang berjudul Masa Lapang, beliau memperbetulkan konotasi negatif yang sering bermain di minda sesetengah pihak mengenai orang Melayu yang dikatakan suka melepak dan mengambil mudah isu sekeliling mereka.



"Dalam masyarakat yang tergesa-gesa nak dapat rumah cepat atau nak kahwin cepat, orang kita kerap kali dicap sebagai yang ambil mudah dan 'relaks one corner'.



"Dari zaman penjajahan British lagi, orang Melayu pentingkan kebersamaan dan kegiatan berhibur beramai-ramai untuk tenangkan fikiran.



"Saya rasa tidak salah sebab kegiatan ini menyatukan dan mengakrabkan kita ibarat satu keluarga besar. Saya juga cuba timbulkan isu stereotaip perkauman yang giat dibincangkan sejak akhir-akhir ini," katanya.




► Pameran di HEARTH by Art Outreach, 47 Malan Road, #01-24, dibuka dari Selasa hingga Ahad, 12 tengah hari hingga 6 petang.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >