Daripada luarannya, kasut Tabi mungkin kelihatan aneh – berbelah di antara ibu jari kaki dengan jari kaki kedua.
Namun dalam dunia fesyen, bentuk pelik itulah yang menjadikannya begitu ikonik dan penuh kontroversi.
Dipopularkan semula oleh jenama Maison Margiela, rekaan itu mengundang reaksi bercampur: ada yang menganggapnya ‘tidak feminin’, ada pula yang menyifatkannya sebagai uncanny valley (apabila sesuatu terlalu mirip manusia, tapi tidak sepenuhnya, hingga menimbulkan rasa tidak selesa).
Tabi mencabar norma dari segi rupa dan dalam dunia fesyen hari ini, menjadikan ia menarik.
Seperti yang dilaporkan oleh laman web fesyen, Marie Claire dan Who What Wear, bentuk kasut itu telah mencetuskan reaksi hebat dalam kalangan peminat fesyen dan selebriti.
Sebagai contoh, Marie Claire berkata bentuk Tabi yang ‘tidak feminin’ mencabar stereotaip kecantikan konvensional, manakala Who What Wear menyorot bagaimana selebriti seperti Zendaya dan Emma Chamberlain memperagakan kasut tersebut dengan penuh yakin di khalayak ramai.
Ia menandakan penerimaan arus perdana terhadap sesuatu yang dahulunya hanya untuk penggemar fesyen ‘niche’.
Reka bentuknya bukan sahaja luar biasa, malah bersifat provokatif.
Di mata sesetengah pemerhati, kasut itu tampak pelik, tetapi bagi peminatnya, bentuk berbelah dua itu menjadi lambang gaya yang tidak mengikuti kebiasaan umum.
Tabi memaksa kita menilai semula apa yang sebenarnya dimaksudkan dengan ‘cantik’ dalam dunia fesyen – bukan melalui lensa norma atau adat, tetapi dengan keberanian untuk melangkaui batas fesyen biasa.
Dalam kalangan Gen Z, soalan itu semakin relevan kerana corak pemakaiannya menunjukkan kecenderungan dalam menolak pandangan kecantikan konvensional dan meneroka gaya dengan cara lebih berani, bebas dan peribadi.
Ia boleh dilihat melalui cara penerimaan trend seperti Tabi.
Kasut itu, yang suatu ketika dahulu hanya dipakai oleh sekelompok kecil penggemar fesyen, kini menjadi satu bentuk ekspresi identiti yang disengajakan.
Generasi muda sudah terbiasa dengan sesuatu yang bersifat dualiti dan kontras.
Mereka membesar dalam era yang meraikan kelainan dan Tabi menjadi simbol visual kepada semangat itu.
Malah, konsep uncanny valley yang dikaitkan dengan Tabi menjadi metafora yang sesuai untuk cita rasa fesyen Gen Z, yang mana kekeliruan, ketidakselesaan dan rasa ingin tahu mencetuskan daya tarikan tersendiri.
Tabi menjadi wajah utama jenama Maison Margiela.
Ia bukan sekadar kasut biasa, bahkan simbol utama legasi avant-garde yang dikenali jenama tersebut.
Kasut Tabi mula mencuri perhatian dunia fesyen apabila diperkenalkan dalam koleksi musim bunga/panas 1989 jenama fesyen.
Tapak kasut dicelup cat merah, meninggalkan kesan di pentas peragaan berwarna putih.
Setiap langkah menjadi karya seni bergerak yang menandakan jejak baru dalam dunia fesyen.
Dalam buku pameran Footprint – The Track of Shoes in Fashion, pereka fesyen dari Belgium, Martin Margiela menjelaskan bagaimana reka bentuk Tabi dikekalkan kerana kekangan bajet, tetapi akhirnya menjadi sesuatu yang ikonik.
Dalam satu temu bual eksklusif bersama kurator pameran tersebut, yang juga merupakan saksi awal kepada kebangkitan Tabi, Geert Bruloot, beliau menyatakan bahawa rekaan itu mendapat sambutan mengejutkan daripada penggemar fesyen.
“Selepas beberapa koleksi, orang mula bertanya mengenainya (penjualan kasut Tabi).
“Mereka mahukan lebih banyak... dan mereka tidak berhenti meminta, mujurlah!” katanya.
Kenyataan Bruloot itu menekankan betapa Tabi, yang pada asalnya direka kerana kekangan bajet, akhirnya berkembang menjadi simbol yang mempunyai daya tarikan komersial dan peminat tegar tersendiri.
Pandangan itu selari dengan perspektif pereka, Abdul Abasi, yang melihat kekuatan Margiela bukan pada reka bentuk konvensional, malah pada kemampuannya menjadikan ‘kesilapan’ satu bentuk seni.
Beliau menggambarkan Margiela sebagai seorang artis konseptual yang lebih tertarik kepada idea dan naratif berbanding penampilan sempurna.
Kebanyakan daripada hasil kerjanya kelihatan ‘tersilap’ dengan sengaja, seperti jaket daripada selimut tebal atau kain apron yang dijadikan gaun malam.
Visi itulah yang mentakrifkan dirinya sebagai seorang pereka yang berani dan autentik.
“Banyak rekaannya kelihatan seperti kesilapan yang disengajakan. Tapi di situlah letaknya keistimewaannya,” ujar Abasi dalam laman web, Highsnobiety.
Tabi tidak kekal dalam satu bentuk sahaja.
Daripada Mary Janes hingga kasut but bertumit tinggi, ia telah diolah semula dalam pelbagai variasi, termasuk tafsiran oleh jenama lain seperti Nike dan Mihara Yasuhiro.
Namun, versi Margiela tetap unggul, dengan warisan sejarahnya yang mendalam.
Asal usul kasut itu bermula seawal abad ke-15 di Jepun sebagai stoking bangsawan, kemudian menjadi jikatabi – kasut kerja dengan bahagian belah untuk memudahkan keseimbangan dan keselesaan ketika berjalan.
Ia turut digunakan oleh pekerja binaan, penari tradisional dan juga golongan samurai.
Dalam dokumentari, Martin Margiela: In His Own Words, Margiela menjelaskan bagaimana beliau meraih inspirasi ketika melihat pekerja jalanan Tokyo memakai kasut Tabi kapas yang lembut.
“Saya terfikir, kenapa tidak letakkan bentuk itu atas tumit tinggi?” katanya.
Apa yang mendorong kebangkitan semula Tabi dalam fesyen arus perdana hari ini?
Sebahagiannya kerana selebriti seperti Zendaya, Dua Lipa, Olivia Rodrigo dan Kylie Jenner yang memperagakannya, sekali gus mengangkat status kasut itu sebagai simbol cita rasa tinggi.
Namun, satu detik penting dalam kebangkitan semula Tabi berlaku pada 2023 apabila sebuah video TikTok bertajuk ‘Tabi Swiper’ menjadi tular.
Dalam video tersebut, seorang wanita berkongsi kisah bagaimana seorang lelaki mencuri sepasang kasut Tabi miliknya selepas satu pertemuan singkat, kemudian menghadiahkan kasut itu kepada temanitanya.
Detik demi detik drama itu dilaporkan secara langsung di TikTok dan peminat fesyen seluruh dunia mengikuti perkembangan tersebut seolah-olah ia sebuah siri realiti.
Populariti Tabi hari ini banyak berkait dengan cara Gen Z mentakrifkan fesyen.
Mereka semakin berani mencuba sesuatu yang pelik, ganjil atau ‘tidak cantik’ secara tradisional.
Menurut Pengurus Barangan Lelaki di TheRealReal, Dominik Halas, kekuatan kasut Tabi terletak pada sifatnya yang membahagi dua pendapat – ada yang sukakannya dan ada pula yang jijik.
Tapi itulah yang menarik minat Gen Z.
Sesuatu yang kontroversial sering kali menjadi topik hangat dengan pantas dan menjadi gaya popular dengan mudah.
“Reka bentuk yang tidak mengikut norma dan tidak dijangka ini adalah falsafah Margiela sejak awal,” katanya.
Dalam membincangkan keunikan Tabi, penulis dan editor fesyen Bustle Digital Group, Kate Marin, menekankan bagaimana kasut ini bukan sekadar aksesori, tetapi cerminan keyakinan dalaman si pemakai.
Katanya: “Tabi ialah kasut yang digayakan wanita untuk mengagumi diri sendiri, bukan untuk sesiapa pun.”
Ini membuktikan bahawa kasut Tabi mewakili pemberontakan terhadap norma fesyen yang sering kali menuntut seseorang itu berpakaian untuk memuaskan pandangan orang lain.
Sebaliknya, ia menjadi simbol gaya yang berpusat pada kepuasan dan kuasa diri – satu pendekatan yang sangat sinonim dengan cara Gen Z mengekspresikan diri mereka hari ini.
Dalam dunia fesyen yang penuh dengan logo mewah dan beg tangan sebagai simbol status, Tabi muncul sebagai pemahaman fesyen yang lebih halus.
Marin menyamakan Tabi dengan status yang dinamakan sebagai ‘holy grail’, iaitu barangan idaman tertinggi dalam dunia fesyen, yang hanya boleh dibandingkan dengan beg Birkin daripada jenama fesyen atasan, Hermes.
“Kita tahu apabila seseorang memakai Tabi, mereka bukan baru mula suka fesyen,” katanya.
Kenyataan itu turut diperkukuh oleh penulis majalah Vogue, Gladys Lai, yang berkongsi pengalamannya sendiri:
“Memakai Tabi membuat saya rasa berkuasa dengan cara yang sukar dijelaskan.”
Secara tidak langsung, Tabi juga menjadi bentuk pemberontakan fesyen moden.
Ia melambangkan keberanian untuk tampil ganjil, memakai sesuatu demi kepuasan sendiri dan bukan untuk memikat mata luar.
Dalam dunia yang semakin bersifat serupa dan dikawal algoritma, Gen Z menggunakan gaya sebagai medan untuk mentakrifkan semula keaslian.
Tabi juga berfungsi sebagai penanda budaya.
Jika anda tahu sejarah dan makna di sebalik kasut itu, anda dianggap sebahagian daripada ‘kelab’ yang memahaminya, seperti yang dinyatakan dalam artikel, Highsnobiety dan Vogue India, yang mana Tabi digambarkan sebagai simbol gaya yang elit tetapi terangkum.
Justeru, Tabi bukan sekadar kasut.
Ia adalah penzahiran semangat zaman, terutama dalam kalangan Gen Z, yang menuntut keaslian, menolak kebiasaan dan memilih gaya yang mencerminkan isi hati, bukan arus trend semata-mata.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg