PETALING JAYA: Zain Sulaiman, abang kepada penyanyi popular, Muhammad Yasin Sulaiman tidak dapat menahan sebak ketika berkongsi keadaan adiknya ketika ditemui di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya, pada Khamis (12 Januari).
Mengakui sedih dengan keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) yang menolak perwakilan dikemukakan Yasin, Zain berkata, walau apa keputusannya, mereka akan terus berada bersama penyanyi dan komposer itu.
Namun, tegas Zain, apa yang membimbangkannya ialah keadaan kesihatan adiknya sehinggakan berat badannya semakin menyusut.
"Lawatan terakhir kami di penjara pun, Yasin memang seperti biasa bersemangat, redha dengan ujian tetapi kekhuatiran kita, keadaan kesihatan beliau yang nampak sedikit merunsingkan terutamanya susut berat badan yang agak ketara. Contohnya bila kita peluk dia, salam dia pun kita terasa tulang. "Apabila kita siasat, makan, makanan dia cukup, mungkin melibatkan isu tekanan, isu kesan sampingan daripada ubat-ubat beliau. Itu kerunsingan kita. Sebab itu kita sangat-sangat berikhtiar dan berusaha agar satu keputusan yang cepat dapat diberikan kepada Yasin. Sebab semakin hari kita jumpa, setiap kali kita jumpa semakin susut. "Walaupun beliau tetap orang yang sama, orang yang bersemangat itu, yang sentiasa positif itu tetapi keadaan fizikal badan beliau itu agak merunsingkan. Pihak keluarga lagilah bertambah runsing. "Justeru kita sama-sama doakan yang terbaik untuk Yasin, beliau kekal sihat, kekal bersemangat dan diberikan peluang kedua dalam hidup insya Allah," tambah peguam Ariff Azami Hussein.
Semua ini terakam menerusi video yang dimuat naik Sumber TV pada Khamis.
Astro AWANI pada Rabu melaporkan Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi yang dikemukakan Yasin untuk mengkaji tiga pertuduhan dadah yang dihadapi.
Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Asnawi Abu Hanipah semasa sebutan kes itu di hadapan Hakim Nik Nasimah Nik Mohammad di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, pada Rabu.
Semasa prosiding, Mohd Asnawi memaklumkan berkata, surat rasmi berhubung perkara itu belum sempat dikeluarkan dan tarikh perbicaraan diteruskan seperti ditetapkan.
Sementara itu, Ariff Azami berkata, pihaknya akan mengemukakan representasi kedua selewat-lewatnya dua minggu lagi. - ASTRO AWANI


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg