Mereka saling menaruh minat terhadap satu sama lain tetapi tertanya-tanya apakah itu cinta atau setakat perasaan sementara yang singgah ke hati kerana banyak meluangkan masa bersama.
Begitulah yang dikongsi pelakon filem ‘pecah panggung’, Speed, Keanu Reeves dan Sandra Bullock, kededuanya 60 tahun, ketika diundang bagi satu acara meraikan ulang tahun ke-30 filem tersebut di pawagam eksklusif, Egyptian Theatre, sekitar Los Angeles, pada 8 Oktober.
Acara itu diadakan sempena pesta filem, Beyond Fest, anjuran badan tidak mengaut untung, American Cinematheque.
Majlis itu turut menyaksikan Speed, filem yang meraih kutipan ‘box-office’ dunia sebanyak AS$350.5 juta ($463.5 juta), ditayangkan lagi, lapor laman The Hollywood Reporter.
Menurut Reeves yang tersipu-sipu apabila diajukan soalan pengacara, Gabby Logan, sama ada hatinya berbunga-bunga cinta terhadap Bullock:
“Oh ya! Tapi kami profesional. Saya pun segan sebab tak tahu sama ada beliau menyukai saya.”
Bullock pula teringatkan detik Reeves hadir mengejutkannya dengan sajian makanan dan minuman yang disangka hanya untuk melepaskan lapar dan dahaga di set penggambaran.
“Kebanyakan masanya, sayalah yang kecoh sebab Keanu hanya akan berdiam diri.
“Semakin saya banyak membebel, dia akan lebih senyap tanpa sebarang kata.
“Kadangkala sampai kami selisih faham sebab saya ingat dia tak sudi berbual dengan saya selepas penggambaran.
“Keanu adalah seseorang yang ‘gentleman’. Dia kemudian minta maaf dengan nota atau hadiah kecil,” ujar Bullock.
Menurut Bullock, walaupun masing-masing terpikat pada penampilan satu sama lain, mereka tidak pernah ingin menjalin sebarang hubungan romantis.
“Saya rasa lebih baik macam tu. Keanu sentiasa buat hati wanita yang bekerja dengannya senang. Tiada yang bercakap buruk tentangnya.
“Saya hargai jalinan persahabatan dan rasa hormat antara kami.
“Ia lebih baik daripada jatuh cinta dan kemudian tersepit dengan hubungan yang tidak tahu arah tujunya,” kongsi Bullock.
Kebanyakan masanya, kededuanya berasakan mereka tidak begitu yakin hati mereka akan bertaut kerana lebih utamakan profesionalisme bekerja.
Selepas Speed, mereka terus menyokong satu sama lain dalam kerjaya seni yang penuh pasang surut di Hollywood.
Peminat mungkin lebih kecewa kerana mendambakan Reeves dan Bullock bersatu sebagai pasangan bercinta atau suami isteri.
Bullock pernah berumah tangga dengan pengacara, Monster Garage, Jesse James, selama lima tahun dan berpisah pada 2010 kerana kecurangan James.
Beliau kemudian menjalin hubungan cinta dengan jurugambar, Bryan Randall, selama lapan tahun sebelum Randall meninggal dunia pada 2023 kerana penyakit Sklerosis Lateral Amiotrofik (ALS) yang merosakkan saraf yang mengawal otot.
Reeves pula menemui cinta bersama pelukis visual, Alexandra Grant, sejak 2018.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg