Kebahagiaan anak-anak tetap keutamaan Fazley Yaakob, bekas isteri
Kebahagiaan anak-anak tetap keutamaan Fazley Yaakob, bekas isteri
Penyanyi dan cef selebriti, Datuk Fazley Yaakob, dan bekas isterinya, Azrene Soraya Abdul Aziz, mungkin tidak lagi sehaluan selepas membina mahligai rumah tangga selama 18 tahun.
Bagaimanapun, perceraian bukan alasan untuk hubungan kekeluargaan terjejas hingga anak-anak menderita.
“Saya percaya perceraian itu tidak bermakna berakhir sebuah kasih sayang. Ia juga bukan bererti berakhir hubungan kekeluargaan. Perceraian juga bukan bermakna anak-anak perlu menderita disebabkan perpisahan.
“Ungkapan yang kami pegang adalah tidak semua yang pahit itu racun dan tidak semua yang manis itu madu.
“Kehidupan perlu diteruskan dan anak-anak faham serta hormat keputusan kami,” katanya menerusi rakaman suara yang dikongsi kepada media seberang Tambak pada 15 Oktober.
Fazley, atau nama sebenarnya, Ahmad Fazley Yaakob, 46 tahun, menambah sejak bercerai beberapa bulan lalu atas persetujuan bersama, tiada yang berubah.
“Saya, Azrene dan anak-anak okey dan tiada masalah. Kalau lihat hantaran saya di Instagram (IG) sebelum ini, hubungan kami masih macam biasa.
“Saya, Azrene dan anak-anak keluar pergi makan bersama. Saya ziarah Azrene dan kami tengok wayang bersama.
“Walaupun kami berpisah dalam akad dan tiada lagi perkataan yang melambangkan kami adalah suami isteri, tetapi hubungan kekeluargaan itu masih utuh seperti 18 tahun lalu ketika kami bersama.
“Anak-anak juga tidak berasa apa-apa kekangan mengenai hubungan antara saya dengan Azrene. Semuanya masih sama, kumpulan WhatsApp kami masih sama. Hendak jumpa pun masih bersama dan tempat makan pun serupa.
“Apa yang membezakan kami adalah perhubungan yang bukan lagi berlandaskan suami isteri,” katanya.
Sementara itu, penyanyi lagu Cerita Asmara itu mengucapkan terima kasih kepada media kerana memahami perasaan mereka sekeluarga dengan tidak menulis laporan yang boleh mencetuskan spekulasi.
“Terima kasih kerana melaporkan seadil-adilnya kisah dan kebenaran mengenai perpisahan kami ini,” katanya.
Fazley membuat kejutan apabila mengumumkan sudah pun bercerai dengan Azrene beberapa bulan lalu dengan tempoh idah sudah pun berakhir menerusi kenyataan media.

