Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

KEBANGKITAN SEMULA BINTANG 60-AN / 70-AN

Bintang 70-an, A. Razak, lekat di media sosial

Selama lebih 10 tahun, mantan penerbit radio dan juruhebah tubuh kelab peminat demi muhibah
Aug 14, 2022 | 06:09 AM



WALAUPUN pelantun lagu malar segar 'Bintang Malam Ini', Abdul Razak Ismail, dianggap 'orang lama' dalam industri muzik Melayu, beliau tetap pastikan dirinya tidak terlepas daripada memiliki akaun Facebook, Instagram, YouTube dan TikTok.



Ia adalah bagi membolehkannya berhubung rapat dengan peminat di samping menghiburkan mereka dengan karya seninya dari zaman berzaman.



Abdul Razak, 70 tahun, yang lebih dikenali dengan panggilan A. Razak, turut mempunyai kelab peminatnya sendiri, Fan Club A. Razak, yang aktif dan tidak pernah terputus hubungan selama lebih sedekad.



Di ambang acara Wadah Seni Entertainment, Retro Fiesta 70-an, di De Hall SG@Tai Seng Center di Irving Road pada 10 September ini, A. Razak lebih teruja menghiburkan peminat Singapura yang sudah lama tidak ditemui dek pandemik Covid-19.




WAWANCARA BERITA MINGGU (BM) DENGAN A. RAZAK



Soalan (S): Apakah perasaan anda apabila diundang ke Singapura dalam tempoh di mana beberapa artis seangkatan (tahun 1970-an) nampaknya masih bersemangat membuat persembahan dan bertemu peminat?



A. Razak: Saya gembira sebab sudah lama tidak datang ke Singapura untuk bertemu ramai peminat setia. Mereka sentiasa beri sokongan di Facebook, Instagram dan WhatsApp.



Dulu, saya sibuk menjadi juruhebah dan tak banyak masa nak menghibur di sana sini khususnya di tempat lebih jauh. Nak ambil cuti selalu susah. Tapi sekarang sudah bersara...jadi bolehlah menghibur peminat asal diberi kesihatan yang baik.



S: Boleh ceritakan bagaimana seni mendarah daging dalam hidup anda?



A. Razak: Saya mulanya tak sangka akan terlibat dalam bidang seni. Semasa usia belasan tahun, cuma berangan jadi penyanyi sebab tertarik lihat A. Rahman Hassan dan The Beatles menyanyi.



Dari berangan, jadi kenyataan. Hajat jadi penyanyi di stesen radio Johor kesampaian. Pada usia 19 atau 20 tahun, saya sering buat rakaman nyanyian di radio dan bertemu dengan Frankie Chia. Dia selalu menyanyi di televisyen Singapura dalam program terbitan Mockram Kassim.



Saya minta beliau usulkan saya yang ketika itu seorang penerbit di radio Johor agar panggil saya menyanyi di Singapura.



Alhamdulillah, rezeki saya menyanyi di Singapura ada. Saya ingat saya dendangkan lagu J. Mizan, 'Hari Ini dan Semalam', yang sedang 'meletup' dan satu lagi lagu, 'Janji'.



Kemudian, penggubah lagu Kassim Masdor nampak saya di televisyen. Tak semena-mena, dia berkenan dan melamar saya menjadi artis rakaman label Senada yang beliau bangunkan selepas keluar dari EMI.



Abang Kassim cari saya. Dia tahu di mana saya bekerja dan hubungi saya. Saya ke pejabat Abang Kassim untuk bertemu dengannya. Di pejabatnya, ada juga Yusnor Ef dan Sanisah Huri.



Pada penghujung 1974, saya tandatangani kontrak bersama Senada. Bukan senang nak jadi penyanyi pada masa itu. Kita dilamar penerbit. Tidak seperti sekarang di mana penyanyi boleh pilih bikin lagu sendiri dan terbitkannya asal ada duit.



Saya diberi lagu 'Bintang Malam Ini' oleh Abang Kassim. Dia pakai kaset. Ada melodi piano. Saya macam tak percaya, baca seni kata dan pelajari teknik lontar suara dengan baik.



Abang Kassim minta saya minum air panas. Memang dia pakar muzik. Kalau tak puas hati, dia garu kepala dan kita ulang lagi sampai beres.



Pembesar suara dalam studio rakaman di Serangoon Road itu besar. Apabila dengar suara saya yang dirakam, macam tak percaya. Bunyinya dahsyat. Rakamannya memang sedap...ibarat bukan saya yang menyanyi.



S: Apa antara kenangan yang payah dilupakan tentang merakam lagu ketika itu?



A. Razak: Sewaktu rakam lagu 'Dendang Remaja' saya memang tidak tahu siapa rakan duet saya sebab kami rakam suara berasingan.



Tertanya-tanya saya siapa orangnya. Suara saya dirakam dahulu untuk penerbit cari kesesuaian vokal penyanyi wanita yang boleh berduet dengan kita agar kedengaran serasi.



Apabila terjumpa di stesen televisyen bagi rakaman rancangan Puspawarna, barulah saya temui penyanyinya. Rakan duet saya rupanya adalah penyanyi irama Hindustan yang jauh lebih berusia. Namanya Maimunah. Dia malu-malu agaknya tengok saya ni macam boleh dipanggil anak!



Ramai yang keliru dan tidak tahu Maimunah rakan duet saya bagi lagu 'hit' itu. Kemudian, saya dapat tahu Sanisah Huri pun rakam suaranya untuk diseiringkan dengan suara Maimunah. Rupanya ada dua suara perempuan dalam lagu ini. Patutlah saya dengar macam ada suara seganda.



S: Apa seronoknya jadi penerbit dan juruhebah radio serentak dengan jadi penyanyi?



A. Razak: Ada yang tidak tahu saya penyanyi. Mereka ingat saya jadi penerbit dan juruhebah sahaja tetapi radio memang tempat saya timba ilmu dan kemahiran.



Saya bertugas di Radio Johor antara 1975 dengan 1980. Kemudian ke Radio Kuala Terengganu selama lima tahun. Kemudian balik ke Radio Johor sebelum ke Radio Selangor.



Sesudah saya bersara pada 2007, saya bertugas sambilan di Selangor dan berada di Radio Klasik pada 2011. Di sinilah, kelab peminat saya mula dibentuk.



Mereka dah jadi macam adik-beradik saya. Saya pernah ke Singapura untuk satu acara sampaikan lima kereta ikut saya berkonvoi ke Singapura. Sudah lebih 10 tahun bersama, saya memang terhibur dengan adanya mereka yang sentiasa beri dorongan.



Sepanjang kerjaya di radio, saya kendalikan program seperti Dendang Remaja, mengenai kugiran, nasyid dan gambus.



Ada juga rancangan Suara Hati, di mana pendengar kongsi luahan rasa mereka yang mengusik jiwa. Saya pula sesuaikan dengan lagu iringan. Syahdu sangat.



Saya juga perkenalkan segmen karaoke pertama di radio yang dapat sambutan menggalakkan pada 1994/95 di Radio Shah Alam.



S: Apa seronoknya memanfaatkan media sosial bagi bintang veteran seperti anda?



A. Razak: Melalui saluran YouTube yang dibangunkan seseorang tetapi menggunakan lagu 'Penantian Cinta' yang saya dendangkan, tak sangka video itu ditonton sampai 9.3 juta kali.



Padahal, tiada wajah saya. Cuma ada muka Shah Rukh Khan. Inilah lagu yang saya pilih kerana diusahakan bersama isteri sekitar 2001/2002. Lagu itu mendapat sambutan yang baik ketika diputar di radio. Baru orang tahu ini lagu A. Razak.



Malahan, apabila lagu ini saya muatnaikkan ke akaun TikTok saya, terkejut saya apabila ia ditonton hampir 105,000 kali. Apabila saya nyanyi 'live' di majlis kahwin lagu 'Penantian Cinta', jumlahnya mencecah lebih 35,000 kali.



Dari perkembangan ini, kita tengok lagu lain yang 'hot' pada zaman berbeza. Rasanya lagu ini lebih dikenali kini daripada 'Bintang Malam Ini'.



S: Apa pengajaran bermakna sepanjang jadi artis?



A. Razak: Kalau kita fikirkan diri kita handal, ada lagi yang lebih baik. Kita bina semangat untuk bersaing secara sihat. Tak perlu iri hati sebab Allah beri hadiah ini mengikut kelebihan masing-masing. Setiap orang ada kelebihan tersendiri.



Nota: Bagi yang ingin menyaksikan A. Razak membuat persembahan pada 10 September ini, lungsuri laman Facebook dan Instagram Wadah Seni Entertainment untuk tempah tiket $68.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >