Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

KEBANGKITAN SEMULA BINTANG 60-AN/70-AN

Konsert buat nama Sanisah Huri kembali jadi sebutan

Aug 14, 2022 | 05:30 AM



NAMA biduanita Sanisah Huri yang terpahat di ingatan ramai pengamat muzik era 1960-an hingga 1980-an disebut-sebut kembali di media sosial menyusuli kejayaan konsert solo pertamanya di Dewan Konsert Esplanade pada 23 Julai lalu.



Sanjungan bukan sahaja mencurah-curah daripada peminat di Singapura bahkan peminat Malaysia yang berkesempatan menonton beberapa keratan video Konsert Sanisah Huri - Pelayaran Seni Lima Darsawarsa juga diselubungi rasa kagum bahawa Sanisah, 70 tahun, masih mampu menyanyi dengan baik.



Ada yang kata, "Suara Kak Nisah macam tertelan kaset atau piring hitam," menandakan vokal sekarang tidak banyak bezanya dengan gemersik kemerduan suaranya ketika bergelar artis rakaman.



Malahan, beberapa hari selepas konsert itu melabuhkan tirainya, pelantun lagu Bersabarlah Sayang dan Siapa Gerangan ini bergegas ke Seberang Tambak bahkan diminta menyanyi spontan pada acara ulang tahun ke-73 komposer kelahiran Singapura S. Atan.



Majlis gilang-gemilang yang dihadiri ramai artis itu berlangsung di Hotel Royale Chulan Mutiara Kuala Lumpur.



Ternyata, konsert itu menjadi pembuka jalan buat tawaran lain termasuk mengadakan konsert di Seberang Tambak atau diundang bagi persembahan lain di sini atau di Malaysia.



Dengarnya, ada juga lamaran untuknya menyertai peraduan realiti di seberang tetapi Sanisah berasakan pada usia sebegini, beliau enggan dibelenggu stres pertandingan kerana lebih prihatin soal kesihatan.



Video klip pembuka tirai konsert yang dimuatnaikkan ke Facebook Berita Harian bahkan mendapat 8,100 'Like', dikongsi 1,000 kali dan ditonton lebih 320,000 kali.



Kesederhanaan, kelembutan, hemah dan kerendahan hati yang menjadi basahan hidup Sanisah membuatkannya kadangkala terasa janggal dilayan seperti tetamu terhormat (VIP).



KONSERT ANGKAT NAMA SANISAH SEBAGAI LEGENDA



Sebagaimana kata pengurus, penolong peribadi dan juga pengarah konsert tersebut, Cik Rusedah Tawahid:



"Kak Nisah orangnya sangat sederhana dan tak cerewet. Beliau tak suka kecoh, tak suka dipaksa dan tak suka publisiti.



"Beberapa kali beliau beritahu saya akan keraguannya konsert ini boleh berjaya kerana beliau terlalu bimbangkan keupayaannya menyanyi...sampai atau tidak.



"Namun bagi saya, kita harus mainkan peranan dan angkat Kak Nisah sebagai legenda Singapura yang memiliki suara unik dan tiada pengganti serta banyak sumbangannya. Sebelum ini, tiada usaha mengetengahkan dan menyanjung jasa Kak Nisah."



LEGA BERNAFAS NYANYI 20 LAGU



Dalam pertemuan bersama Berita Minggu di pejabat SPH Media baru-baru ini, Sanisah akur segala kegelisahan yang membelenggu fikirannya tentang konsert itu terlerai.



Beliau bahkan meraih keyakinan baru untuk menghiburkan peminatnya yang rindukan lagu malar segar bahkan terdorong berinteraksi dengan mereka meskipun awalnya gementar berdepan dengan 1,500 penonton.



"Saya sangat terharu melihat penonton mengisi setiap ruang Dewan Konsert Esplanade. Lega saya sebab awalnya banyak soalan bermain di fikiran seperti "Boleh tak saya buat ni?" Takut tak sampai nafas saya.



"Saya banyak berdoa meminta diberi kemudahan dan bersyukur ada Rusedah dan teman belakang tabir lain yang melancarkan urusan saya pada malam itu.



"Saya nampak ramai yang rindukan lagu lama saya. Barangkali ada kisah yang mereka ingatkan semasa muda dahulu," jelasnya.



Tidak mudah menyaring 20 lagu daripada sejumlah 120 lagu yang pernah dirakamnya.



Beliau memilih lagu berkenaan atas dasar ia masih diingati, mempunyai nilai sejarah dan budaya mahupun memaparkan kisah cinta tulus dan menampakkan pengorbanan.



LANGKAH KANAN JADI PENYANYI



Jika disingkap balik, langkah pertama Sanisah memberanikan diri menyuarakan hasrat hati menyanyi pada acara orang kahwin bersama band The Terwellos membawa rezeki sepanjang hayat.



Sebelum ini, beliau menari bersama band tersebut. Namun, Sanisah memang minat cabaran baru dan suka menyanyi.



"Saya suka sangat lagu Gelisah dan ia menjadi pembuka jalan untuk saya meraih keyakinan ketua kumpulan The Terwellos untuk undang saya setiap minggu sebagai penyanyi di majlis orang kahwin," ceritanya yang turut menjayakan filem A-Go-Go '67 dan kemudian menandatangani kontrak bersama label EMI untuk merakam lagu Siapa Gerangan dan Alam Seni.



Ditanya apakah nasihat ibu bapanya ketika beliau menceburi bidang seni, Sanisah menjelaskan mereka memang tidak menghalang, tidak banyak berkata dan hanya memintanya pandai menjaga diri.



INGAT JASA ORANG



Di lubuk hatinya kini, doa sering dihimpunkan buat mereka yang banyak berjasa pada kerjayanya seperti Kassim Masdor dan Yusnor Ef.



"Ada banyak kenangan yang tersemat di ingatan. Saya hargai setiap orang yang memberi saya peluang dan tunjuk ajar.



"Saya ingat Rafeah Buang banyak memberi nasihat tentang kecantikan dan penampilan diri. Kartina Dahari pula tidak lokek dengan pesanan mengenai nyanyian.



"Aziz Sattar dan Dayang Sofia pula merupakan orang pertama yang membawa saya buat persembahan di luar Singapura iaitu di Sarawak. Saya selalu bersama J. Kamisah apabila menjelajah Malaysia dan Brunei," ceritanya.



Nama-nama seperti A. Romzi dan Asnadi Markop (penulis lirik dan pencipta Si Baju Hijau) serta Yusoff B dan Nordin Arshad (penulis lirik dan pencipta Siapa Gerangan) disebut-sebut Sanisah kerana mencipta lagu yang menjulang namanya dalam arena seni.



TERINGAT HARAPAN SAHABAT



Kadangkala beliau sebak kerana tidak dapat merealisasikan impian sahabat seninya, Allahyarham M. Ramlee, rakan duet dalam lagu Ingin Tahu dan Bila Tiba Masa untuk menyanyi sepentas.



"Sebelum pemergiannya, Ramlee pernah mengusulkan untuk kami menyanyi bersama. Sebab dulu pun, kami rakam lagu duet berasingan dan tidak berkongsi pentas. Itulah terkilan saya. Kalau tak, boleh juga nyanyi bersama dalam konsert ini," ceritanya.



KISAH PILU PENGHIBUR



Tempoh itu, ada juga kisah sedih yang singgah di hati Sanisah semasa kami bersembang.



Beliau tidak dapat melupakan perjalanan pulang dari satu persembahan buat Kesultanan Pahang lama dahulu.



"Sebabnya kami dalam kereta dan ada budak dari kereta sebelah yang melambai pada saya. Saya melambai balik. Alih-alih kereta itu memintas kereta kami dan satu pelanggaran berlaku antara kereta itu dengan kenderaan lain.



"Kami keluar dan ada yang meminta saya pangku budak yang melambai tadi. Saya takut sebab dia tidak sedarkan diri. Tak pasti nasibnya bagaimana. Saya memegangnya sekejap dan selanjutnya kita terus meninggalkan tempat kejadian," ujar Sanisah lagi.



CIKGU TUMPANG BANGGA



Konsert itu tentunya meninggalkan kenangan manis khususnya buat Yusnor yang sudah lama mengenali Sanisah dan tumpang bangga melihat pencapaian biduanita itu.



"Sanisah adalah penyanyi yang serius dalam amanahnya dan dikenali bukan sahaja di Singapura tetapi di Nusantara. Dia merendah hati dan bukan jenis yang 'asbol', singkatan saya buat artis asal boleh.



"Saya tumpang bangga dengan kejayaannya mengadakan konsert solo tempohari. Saya dan Kassim mendidiknya untuk menjadi penyanyi yang berkesan dalam penyampaiannya dan kekal diingati hingga hari ini," kata Yusnor.



ROMBONGAN MALAYSIA PUAS HATI



Penangan suara Sanisah memang tidak dapat disangkal sehingga mampu membuatkan peminat dari Malaysia sanggup turun ke Kota Singa untuk menyaksikannya.



Antara yang hadir adalah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Dr Md Nasir Ibrahim serta beberapa wartawan mapan.



Kunjungan Dr Md Nasir ke Singapura adalah bagi mendekati wira industri hiburan silam yang jasanya kurang diuar-uarkan seperti seniwati Zaiton dan seniman Wahid Satay serta Sanisah sendiri.



"Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, menggalakkan Finas untuk mengunjungi dan membantu artis Singapura kerana mereka banyak menyumbang pada industri perfileman kededua negara termasuk Malaysia," jelasnya kepada media seberang.



Menurutnya, dokumentasi mengenai perkembangan terkini tiga artis Singapura ini akan disertakan dalam siri dokumentari tentang bintang 1960-an, 1970-an dan 1980-an.



PERTEMUAN DENGAN PEMINAT



Rusedah menjelaskan akan ada pertemuan bersama peminat yang dirancang selepas ini bagi memenuhi permintaan mereka yang terkilan tidak dapat bergambar dan bersua empat mata dengan Sanisah di konsert tempohari. Butirannya akan diumumkan kelak.



"Tiada kata yang dapat saya lahirkan tentang respons pada konsert hari itu. Saya gembira kami dapat usahakan sesuatu buat Kak Nisah.



"Selagi Allah beri kemudahan, saya akan usahakan sesuatu buat Kak Nisah agar beliau menerima pengiktirafan sewajarnya. Bukan mengharapkan anugerah tetapi sekurang-kurangnya Kak Nisah dikenang sebagai antara 'living legend' (legenda yang masih ada) yang banyak memberi sumbangan kepada industri muzik Nusantara dan boleh dicontohi," katanya.



 




APA KATA... 



"Saya tumpang bangga dan sangat gembira dengan terlaksananya konsert skala besar pertama Sanisah Huri di Dewan Konsert Esplanade baru-baru ini yang dihadiri ramai peminat dan pengamat seni.

Ia membuktikan semua kerja keras dan dedikasi beliau dihargai. Sanisah adalah penyanyi Singapura malar segar yang bertahan hingga hari ini.

Walaupun popularitinya meluas, dikenali bukan sahaja di Singapura dan Malaysia malah seluruh rantau Nusantara, ia tidak menghalangnya daripada menjadi insan seni yang kekal merendah hati dan komited dengan amanahnya selama berdekad lamanya sampailah ke hari ini."

- Tokoh seni dan penulis lirik banyak lagu 'hit' Sanisah Huri, Encik Mohamed Noor Mohamed Yusofe yang lebih dikenali sebagai Yusnor Ef



"Teruja macam dapat gula-gula bila bersua dengan biduanita legenda, 'the one and only' (satu-satunya) Sanisah Huri.

Mengenali beliau dari saya kecil lagi. Beliau selalu datang ke Boon Teck Road untuk buat latihan nyanyian bersama komposer terkenal, Allahyarham Kassim Masdor dan arwah ayah (Datuk Ahmad Daud) akan membawa saya bertemu mereka.

Tak dimamah usia biduanita kita ni. Dari lontaran suara beliau, masih seperti dahulu. Ketika saya bertemu Kak Sanisah, saya cakap "Kakak saya peminat kakak".

Dia ketawa dan cakap, "Ya Allah Ogy, Kak Nisah kenal Ogy dari Ogy kecil lagi. Selalu jumpa Ogy dengan arwah ayah 'kan?"

Momen indah bila kita bersua insan-insan legenda yang merendah hati dan cara beliau di majlis membuat saya kagum. Banyak yang kita boleh contohi dan pelajari daripada insan-insan legenda sebegini. Etika, adab, budi bahasa dijaga penuh tertib."

- Pelakon Fauziah Ahmad Daud dalam catatan Instagram setelah bertemu Sanisah di majlis ulang tahun komposer S. Atan di Hotel Royale Chulan Mutiara Kuala Lumpur.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >