Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Keberanian gaya ayah jadi inspirasi koleksi fesyen

Sedih, rindu akan arwah ayah dorong pelajar Maktab Seni Lasalle hasilkan jenama fesyen sendiri bagi projek tahun akhir
May 28, 2024 | 5:30 AM
Bagi projek tahun akhirnya di Maktab Seni Lasalle, Encik Syukri Grey Ahmad mengasaskan jenama ‘streetwear’, atau pakaian jalanan, dan sukannya sendiri berjudul ‘2702 ABSURDITY’.
Bagi projek tahun akhirnya di Maktab Seni Lasalle, Encik Syukri Grey Ahmad mengasaskan jenama ‘streetwear’, atau pakaian jalanan, dan sukannya sendiri berjudul ‘2702 ABSURDITY’. - Foto ihsan SYUKRI GREY AHMAD

Encik Syukri Grey Ahmad tidak perlu berfikir lama tentang tema projek tahun akhir pengajiannya di Maktab Seni Lasalle.

Ketika itu, pelajar ijazah sarjana muda media fesyen dan perusahaan itu dilanda kesedihan dan kerinduan terhadap ayah tersayangnya, yang meninggal dunia pada 2020.

Kesedihan itu memberi inspirasi kepada Encik Syukri, 26 tahun, untuk menghasilkan jenama fesyennya sendiri berjudul 2702 ABSURDITY bagi projek tahun akhirnya sebagai tanda penghormatan buat ayahnya.

Berkongsi bersama Berita Harian bahawa perwatakan ayahnya yang memberi inspirasi itu, Encik Syukri menyifatkan Allahyarham sebagai individu yang “tidak pernah takut untuk menonjol dengan pilihan fesyennya yang berani”.

“Saya tidak akan lupa satu masa apabila dia menghadiri sebuah majlis perkahwinan Melayu dengan memakai baju kolar leher penyu hitam yang dipadankan dengan satu rantai bungkal di lehernya. Seluar yang dipakainya pula adalah seluar pendek kargo yang dipakai atas seluar sukan mampat (sports compression pants) dengan kasut Adidas,” ujarnya.

Mengenang kenangan manis itu, Encik Syukri berkata gaya pilihan ayahnya itu benar-benar menarik perhatian ramai.

“Lelaki Melayu biasanya akan memakai baju Melayu ke majlis perkahwinan sebagai satu bentuk kesopanan, tapi saya rasa arwah ayah saya mencipta definisi bentuk kesopanannya sendiri.

“Dia tidak peduli apa yang difikirkan oleh sesiapa pun tentangnya, dan disebabkan itu saya amat mengaguminya,” kata Encik Syukri.

Lantaran itu, beliau menamakan projek tersebut sempena sifat keberanian ayahnya.

Perkataan absurdity’, atau tidak munasabah, itu merujuk kepada semangat ‘pemberontak’ dan keengganannya mengikut norma masyarakat.

Nombor 2702 pula ialah tarikh lahir ayahnya, iaitu 27 Februari.

Projek tersebut menampilkan sebuah koleksi gaya pakaian sukan dan pakaian jalanan ‘streetwear’ – gabungan gaya pemakaian ayahnya dan beliau sendiri.

Pemergian arwah ayahnya pada 2020 memberi Encik Syukri Grey Ahmad inspirasi untuk menghasilkan jenama fesyennya sendiri, ‘2702 ABSURDITY’, sebagai tanda penghormatan buat ayahnya.kepadanya.
Pemergian arwah ayahnya pada 2020 memberi Encik Syukri Grey Ahmad inspirasi untuk menghasilkan jenama fesyennya sendiri, ‘2702 ABSURDITY’, sebagai tanda penghormatan buat ayahnya.kepadanya. - Foto ihsan SYUKRI GREY AHMAD

Antara pakaian yang ditampilkan ialah pakaian hoodie, baju sejuk kolar leher penyu hitam dan jersi bola sepak berkolar.

Menurut Encik Syukri, setiap reka bentuk koleksi itu diilhamkan daripada reka bentuk grafik dan tipografi dari almari pakaian arwah ayahnya.

“Beliau meninggal dunia pada 2020 sebelum saya tamat Perkhidmatan Negara (NS) dan memulakan pengajian saya di Maktab Seni Lasalle.

“Pakaian sukan antara ciri identiti ayah saya manakala pakaian jalanan lebih pada getaran saya.

“Disebabkan itu, saya menggabungkan kedua-duanya untuk mencipta jenama yang mencerminkan gaya dan nilai kami – daripada perspektif keaslian dan ekspresi diri masing-masing.

“Ini turut menjadikan projek ini sangat peribadi buat saya,” katanya.

Keberanian ayahnya begitu menonjol hingga meresap ke dalam jiwa Encik Syukri sebagai penggiat fesyen, mendorongnya turut mencabar sebarang norma masyarakat hari ini.

Imej dan video promosi untuk jenama Encik Syukri Grey Ahmad turut mengetengahkan penggunaan elemen kecerdasan buatan (AI) yang  merupakan antara usaha Encik Syukri mempamerkan sesuatu yang lain daripada yang lain dan inovatif.
Imej dan video promosi untuk jenama Encik Syukri Grey Ahmad turut mengetengahkan penggunaan elemen kecerdasan buatan (AI) yang merupakan antara usaha Encik Syukri mempamerkan sesuatu yang lain daripada yang lain dan inovatif. - Foto ihsan SYUKRI GREY AHMAD

Ini termasuk memperkenalkan unsur teknologi, khususnya kecerdasan buatan, atau ‘AI’, dalam menjana imej dan video kempen sebagai sebahagian daripada mempromosikan koleksi baju tersebut.

Mengungkapkan penggabungan elemen AI dengan seni sebagai sesuatu perkara yang penuh kontroversi meniti zaman moden hari ini, Encik Syukri semakin bersemangat “untuk mempamerkan sesuatu yang lain daripada lain dan inovatif” melalui projek tahun akhirnya itu.

“Meskipun AI merupakan topik yang hangat dibahaskan dalam industri kreatif, saya melihatnya sebagai peluang untuk berinovasi dan mencabar status quo.

“Dengan menggunakan AI untuk menjana imej dan video kempen jenama saya, saya berhasrat memberi masyarakat umum gambaran tentang masa depan media fesyen.

“Saya menggunakan AI sebagai alat untuk melengkapkan, bukan menggantikan, kreativiti manusia.

“Saya ingin mencipta sesuatu yang unik dan merangsang pemikiran selaras dengan intipati jenama saya, norma yang mencabar dan menerima keperibadian, menjadikannya pilihan yang sesuai walaupun berdepan kontroversi,” katanya.

Mengulas mengenai proses di sebalik penggunaan AI, Encik Syukri turut menekankan bahawa ia bukan sekadar tentang menjana reka bentuk koleksinya itu secara rawak.

Malah, ia merupakan hasil meraikan gabungan teknologi dan kreativiti.

“Saya akan mereka baju secara fizikal dahulu, dan kemudian menggunakan Photoshop untuk menampilkannya pada peragawan AI dalam imej kempen saya.

“Saya membuat setiap bahagian secara manual dan menghasilkannya sebelum memasukkannya ke dalam visual AI.”

Walhal pelibatan Encik Syukri dalam dunia fesyen berlaku dengan tidak sengaja.

Berbekal diploma teknologi maklumat daripada Politeknik Republic, beliau beralih ke industri fesyen selepas bekerja sampingan di beberapa kedai kasut, seperti Nike dan SEEK Official, di Singapura.

Menyelami dirinya dengan subkultur pakaian jalanan, beliau mula lebih menghargai sifat unik dan ekspresif yang terdapat dalam budaya pakaian jalanan.

Dari situ beliau didedahkan kepada “jalinan hubungan rapat yang wujud di antara masyarakat ‘streetwear’ dan terpesona pada cara menggunakan kemahiran mereka untuk berhubung dengan pengguna dan mencipta naratif menarik tentang produk yang ditawarkan.

“Saya memutuskan untuk belajar fesyen untuk ijazah saya kerana tidak mempunyai minat mendalam pada IT. Ia tidak sejiwa dengan saya. Saya tidak berasa puas dalam menceburi bidang tersebut.

“Pengalaman saya bekerja di kedai-kedai kasut menghidupkan inspirasi untuk meneruskan kerjaya dalam industri fesyen yang menggabungkan keghairahan saya terhadap kasut dan pakaian jalanan dengan keinginan untuk melibatkan diri dan memberi inspirasi kepada orang lain melalui fesyen,” ujar beliau.

Kini Encik Syukri bercita-cita mengembangkan sayapnya dalam industri fesyen dengan memegang peranan seperti eksekutif pemasaran atau pedagang.

Di samping itu, beliau berhasrat mengusahakan jenama 2702 ABSURDITY demi meneruskan legasi arwah ayahnya.

“Ia merupakan perjalanan peribadi bagi saya. Saya ingin menerapkan jenama itu dengan bakat saya sendiri, mencipta perubahan dan meninggalkan jejak dalam dunia fesyen.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg