Kedai buku menjual bahan bacaan Islam untuk kanak-kanak, Qissoh, ditubuhkan semasa pandemik Covid-19.
Ia bertujuan menyediakan bahan bacaan bermanfaat untuk kanak-kanak dan keluarga bagi mengisi waktu terluang semasa sekatan pergerakan.
Daripada menjual buku dari rumah melalui siaran langsung di Facebook dan Instagram pada 2020, pengasas bersama kedai buku itu, Ustazah Nuritah Abdul Rahim, membuka kedai fizikal di Jalan Sultan pada 2021 sebelum beralih ke wadah dalam talian sepenuhnya.
Kini, lima tahun selepas ditubuhkan, Qissoh telah berkembang menjadi jenama yang dikenali dalam kalangan masyarakat ibu bapa dan pencinta buku Islam kanak-kanak.
“Kami kini menerima tempahan dari dalam dan luar negara, serta menyertai pelbagai acara buku dan festival Islam.
“Qissoh juga telah menjadi wadah untuk mengetengahkan penulis dan penerbit kecil agar suara dan karya mereka dapat sampai kepada lebih ramai orang,” kata Ustazah Nuritah, ibu empat anak.
Pengalaman separuh dekad itu bagaimanapun bukan tanpa cabaran.
Antara cabaran terbesar yang dihadapi Ustazah Nuritah dan suaminya dalam mengendalikan perniagaan dari rumah pada peringkat awal adalah mengimbangi urusan keluarga dan perniagaan.
“Kami mempunyai empat orang anak, ketika itu kesemuanya masih di peringkat prasekolah, dan anak keempat baru berusia sebulan.
“Dalam masa yang sama, saya sedang menjalani rawatan kemoterapi. Ada hari-hari yang saya kurang sihat dan perlukan rehat yang secukupnya.
“Namun begitu, kami tetap berusaha sedaya mungkin.
“Pernah juga kami berniaga secara langsung pada waktu malam, walaupun pada siangnya saya baru selesai menjalani rawatan di hospital, dan suami pula menemani saya sepanjang hari.
“Walaupun keletihan, kami teruskan juga dengan penuh keazaman,” kongsi Ustazah Nuritah, 38 tahun, yang disahkan menghidap barah buah dada pada 2020.
Setelah sekatan pergerakan diangkat, beliau dan suami mendapati ada lebih banyak peluang yang boleh diteroka khususnya dalam menyediakan buku-buku Islam untuk bayi dan kanak-kanak peringkat prasekolah.
“Kami tidak melihat kekurangan, sebaliknya kami melihat potensi untuk meraikan kepelbagaian pilihan buku Islam kanak-kanak yang sedia ada.
“Masih ramai penulis dan penerbit yang belum mendapat perhatian yang sewajarnya, dan kami berhasrat untuk membantu menyerlahkan karya mereka.
“Ini adalah salah satu cara kami menyokong usaha dakwah melalui penulisan agar lebih banyak hati kecil dapat disentuh dengan ilmu dan nilai Islam,” ujarnya.
Berkongsi strategi pengendalian Qissoh hari ini, Ustazah Nuritah berkata ia berteraskan tiga perkara utama iaitu pemilihan kandungan bermutu, pendekatan mesra pelanggan dan pengukuhan kerjasama dengan penulis serta penerbit.
Menurutnya, Qissoh amat menitikberatkan pemilihan buku yang bukan sahaja menarik, bahkan sarat dengan nilai Islam yang sesuai untuk kanak-kanak.
Pihaknya juga berusaha memahami keperluan pelanggan, terutama ibu bapa dan pendidik, agar dapat menawarkan produk yang relevan dan bermanfaat.
Kedai buku dalam talian itu turut menjalin hubungan dengan penerbit dan penulis beragama Islam melalui pendekatan peribadi dan berteraskan misi yang sama iaitu menyebarkan ilmu dan nilai Islam kepada generasi muda.
“Kami sering berhubung secara langsung dengan penerbit kecil, terutamanya dari negara seperti Malaysia, Indonesia, UK (United Kingdom) dan juga Turkey.
“Melalui pameran buku, media sosial dan rangkaian masyarakat, kami saling berkongsi matlamat dan peluang kerjasama.
“Kami percaya bahawa dakwah boleh berlaku melalui pelbagai bentuk, dan buku kanak-kanak adalah antara medium yang paling berkesan,” kata Ustazah Nuritah, yang berkelulusan bidang akidah dan pemikiran Islam daripada Universiti Malaya.
Kerjasama sedemikian terjalin baru-baru ini dengan penterjemahan buku sirah interaktif berjudul, Bermain ke Rumah Rasulullah, daripada bahasa Indonesia ke bahasa Inggeris.
Penterjemahan itu hasil kerjasama Qissoh dengan penerbit buku itu, Surau Kecil.
Kerjasama itu menjadikan Qissoh sebagai pengedar rasmi versi bahasa Inggeris untuk Singapura, Malaysia dan Brunei.
Buku tersebut – yang judul Inggerisnya ialah, Let’s Visit The Prophet Muhammad’s House – merupakan buku sirah pertama berunsur ‘pop-up’ tiga dimensi, dengan halaman berlipat yang boleh dibuka dan kegiatan soal jawab ringkas, sekali gus memberikan pengalaman membaca yang “benar-benar hidup”.
Kini, Ustazah Nuritah berharap Qissoh dapat menyantuni lebih ramai keluarga dalam masyarakat Islam sama ada di dalam mahupun luar negara.
“Kami juga berharap agar Qissoh dapat menjadi medium bagi penulis tempatan buku kanak-kanak Islam untuk menyampaikan karya dan mesej mereka kepada ummah yang lebih luas, insya-Allah,” kata pengendali sesi bengkel secara bebas itu.
“
Masih ramai penulis dan penerbit yang belum mendapat perhatian yang sewajarnya, dan kami berhasrat untuk membantu menyerlahkan karya mereka. Ini adalah salah satu cara kami menyokong usaha dakwah melalui penulisan agar lebih banyak hati kecil dapat disentuh dengan ilmu dan nilai Islam.Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg