Topik diikuti
Pergi ke BHkuKedai tawar pengalaman kepada pelanggan cuba produk dahulu sebelum beli
Kedai tawar pengalaman kepada pelanggan cuba produk dahulu sebelum beli
Sejak kebelakangan ini, hampir setiap jenama produk kelengkapan kediaman – daripada kedai kelengkapan bilik mandi hingga pengeluar tilam – mula beralih kepada pembukaan kedai berkonsepkan pengalaman.
Sebahagian daripadanya hanyalah ruang pameran biasa yang diberi nafas baharu.
Namun, terdapat juga jenama yang berjaya mewujudkan ruang pelbagai deria yang memukau, sekali gus memberi sebab kukuh kepada pembeli untuk melangkah keluar dari rumah dan berhenti menatal katalog produk dalam talian.
Berikut antara bilik pameran berkonsepkan pengalaman yang berusaha membawa elemen ‘rumah’ ke dalam ruang pameran mereka menerusi pengalaman membeli-belah yang interaktif dan menyeluruh, lapor The Straits Times.
CASTLERY SLEEP STUDIO
Pada akhir Julai, jenama perabot tempatan, Castlery, telah membuka ruang baharu seluas 613 kaki persegi (sq ft) yang diberi nama Sleep Studio di tingkat dua bilik pamerannya di Orchard Road.
Atas permintaan, langsir di sekeliling ruang tersebut boleh ditutup dan lampu dimalapkan bagi membolehkan pelanggan mencuba koleksi tilam Ayrie dalam suasana lebih tenang dan peribadi selama kira-kira 10 minit.
Setiap pelanggan akan diberikan sarung bantal pakai buang, pelindung mata (eye mask), serta penyumbat telinga untuk mengurangkan gangguan bunyi.
Bagi keselesaan pelanggan, kain penutup ‘modesty cover’ turut disediakan atas permintaan.
- Alamat: #02/03-02 Liat Towers, 541 Orchard Road
- Waktu Operasi: 10 pagi hingga 9 malam setiap hari
- Maklumat Lanjut: castlery.com/sg
EDL Gallery
Proses memilih laminat bagi pertukangan kayu di rumah adalah satu pengalaman yang sukar kerana anda bukan sahaja berdepan dengan pelbagai pilihan bahan, malah sesuatu yang kelihatan cantik pada sampel kecil, mungkin tidak kelihatan seindah yang disangka apabila dipasang pada perabot.
Proses ini menjadi mudah melalui ruang khas yang ditawarkan EDL Gallery di Woodlands, yang dibuka pada 2024.
Di The Canopy, iaitu sebuah ruang khas di dalam pusat seluas 54,000 sq ft itu, pengunjung boleh ‘menarik keluar’ helaian laminat bersaiz penuh untuk melihat dan merasai teksturnya dalam format lebih besar.
Kemudian, mereka boleh melangkah ke sudut pelarasan pencahayaan dan suhu warna.
Di sudut ini, pengunjung boleh melihat sampel kecil bahan yang sama di bawah pelbagai suhu warna, bermula daripada warna hangat 2700K hingga warna dingin 6000K.
The Canopy dilengkapi dengan pelbagai hiasan menggunakan laminat berbeza “menerusi susunan perabot yang menarik, pemasangan rekaan, dan elemen arkitek”, kata Pengarah Pemasaran EDL, Cik Eleanor Lim.
“Kami tidak mahu mengehadkan imaginasi pelanggan dengan hanya mempamerkan laminat di ruang konvensional atau sebagai sampel yang digantung pada dinding,” katanya.
“Kami berharap dapat menyerlahkan kepelbagaian kegunaannya dan memberi inspirasi kepada pengunjung untuk melihat kemungkinan yang mungkin belum pernah mereka bayangkan bagi ruang kediaman sendiri.”
- Alamat: Bangunan EDL, 17 Woodlands Terrace
- Waktu Operasi: 8.30 pagi hingga 5.30 petang (Isnin hingga Jumaat); 8.30 pagi hingga 5 petang (Sabtu); ditutup pada Ahad dan cuti umum
- Maklumat Lanjut: instagram.com/edl_laminates
THE WATER STUDIO OLEH HANSGROHE
Jenama Jerman yang tidak asing dalam penjualan kelengkapan bilik mandi dan dapur, Hansgrohe, telah mereka khas studio pengalaman seluas 5,300 sq ft milik mereka agar menyerupai satu rumah contoh.
“Langkah ini membolehkan pengunjung melihat bagaimana pelbagai produk, reka bentuk, dan kemasan boleh dipadankan dalam suasana realistik, dan memberi bayangan lebih baik dari segi rupa dan fungsinya pada kediaman mereka sendiri,” kata Eksekutif Pemasaran Hansgrohe, Cik Stella Tan.
Ruang demonstrasi secara langsung merupakan keunikan utama pusat tersebut.
Di sini, pengunjung boleh menghidupkan pelbagai jenis pancuran air untuk melihat fungsinya di sebalik penghadang yang kering.
“Perkara ini amat penting terutamanya bagi pancuran air, memandangkan kualiti seperti liputan air, kekuatan semburan, dan kemudahan penggunaan tidak dapat dinilai sepenuhnya menerusi gambar atau spesifikasi produk semata-mata,” kata Cik Tan.
- Alamat: 69 Mohamed Sultan Road
- Waktu Operasi: 11 pagi hingga 8 malam setiap hari
- Maklumat Lanjut: instagram.com/hansgrohesg
RIGEL EXPERIENCE CENTRE
Di Rigel Experience Centre, pengunjung disajikan dengan pelbagai suasana bilik mandi dan dapur dalam pelbagai bentuk serta saiz, di mana setiap ruang mempamerkan pelbagai jenis produk yang ditawarkan jenama tersebut.
Beberapa ruang tandas juga boleh digunakan sepenuhnya, memberi pengunjung peluang untuk membuka dan mematikan pili air, mencuba sistem pengepaman, serta pelbagai ciri lain.
Terdapat juga stesen padanan kemasan bagi membolehkan pengunjung memadankan pelbagai jenis kemasan untuk melihat kesesuaian reka bentuk serta merasai penggunaannya secara fizikal.
Tarikan utamanya ialah Wellness Ensuite khas yang dilengkapi ruang sauna, kolam rendaman air dingin, pancuran air hujan yang imersif, serta produk tandas pintar Smart Water Closet terkini daripada jenama tersebut.
Ruang ini dibuka untuk tempahan pada hari bekerja dengan satu slot disediakan setiap hari menerusi pautan rigelensuitebooking.netlify.app.
- Alamat: 20 Changi Business Park Central 2
- Waktu Operasi: 8.30 pagi hingga 5.30 petang (Isnin hingga Jumaat); 10 pagi hingga 7 malam (Sabtu dan Ahad)
- Maklumat Lanjut: instagram.com/rigelglobal
