Topik diikuti
Pergi ke BHkuKegiatan pengayaan anak: Antara aspirasi dengan kerisauan ibu bapa
Program boleh tawar peluang bermakna kembang keupayaan fizikal dan kognitif, namun bergantung pada mutu pengalaman, motivasi si cilik
Kegiatan pengayaan anak: Antara aspirasi dengan kerisauan ibu bapa
Peningkatan pelaburan ibu bapa di Singapura dalam kegiatan pengayaan untuk anak-anak mencerminkan gabungan aspirasi ibu bapa, jangkaan masyarakat, persaingan pendidikan serta kebimbangan terhadap perkembangan kanak-kanak.
Kegiatan pengayaan boleh menawarkan peluang bermakna kepada kanak-kanak untuk mengembangkan keupayaan fizikal, kognitif serta sosial dan emosi.
Namun, manfaatnya terhadap perkembangan kanak-kanak bukan bergantung kepada jumlah wang yang dibelanjakan ibu bapa atau bilangan kegiatan yang disertai.
Sebaliknya ia lebih bergantung kepada mutu pengalaman, motivasi kanak-kanak dan sejauh manakah kegiatan tersebut memenuhi keperluan perkembangan mereka.
Aspirasi ibu bapa
Peningkatan pelaburan dalam kegiatan pengayaan kanak-kanak mencerminkan perubahan dalam aspirasi ibu bapa untuk membesarkan individu yang mempunyai pelbagai kebolehan, mudah menyesuaikan diri dan bersedia menghadapi masa depan.
Ibu bapa semakin menyedari bahawa kelayakan akademik semata-mata mungkin tidak menjamin kejayaan pada masa hadapan.
Mereka mahu anak-anak mengembangkan kemahiran dan keupayaan hidup yang lebih luas seperti keyakinan diri, daya tahan, kreativiti, pengawalan emosi dan kemahiran berinteraksi dengan orang lain.
Sebagai contoh, ibu bapa mungkin mendaftarkan si anak dalam kelas catur untuk mengembangkan pemikiran strategik, kelas lawan pedang untuk memupuk disiplin dan ketekunan, atau kegiatan menunggang kuda untuk membina keyakinan diri dan rasa tanggungjawab.
Hal ini selari dengan Teori Jangkaan-Nilai, yang mencadangkan bahawa keputusan ibu bapa mungkin dipengaruhi oleh jangkaan mereka bahawa sesuatu kegiatan dapat membantu anak mencapai hasil perkembangan yang dianggap bernilai dan bermanfaat.
Oleh itu, ibu bapa mungkin melaburkan masa, wang dan sumber dalam pengalaman yang mereka percaya dapat meningkatkan peluang masa depan anak-anak mereka.
Apatah lagi dengan kemajuan teknologi, kecerdasan buatan (AI) dan perubahan landskap pekerjaan, ibu bapa mungkin berasa anak-anak perlu membangunkan pelbagai kemahiran untuk kekal fleksibel dan berdaya saing.
Ibu bapa juga mungkin berhasrat memberikan anak-anak peluang yang tidak pernah mereka peroleh ketika membesar.
Kegiatan pengayaan boleh memberikan kanak-kanak akses kepada pengalaman, pengetahuan dan persekitaran sosial yang mungkin memberikan kelebihan kepada mereka pada masa hadapan, selain dilihat sebagai satu laluan ke arah mobiliti sosial.
Kegiatan khusus mungkin bukan sekadar kegiatan riadah, malah mencerminkan keinginan ibu bapa untuk meluaskan pendedahan anak-anak kepada pengalaman di luar pembelajaran konvensional.
Pada masa lalu, ibu bapa mungkin berasa memberikan pendidikan yang baik sudah mencukupi.
Namun, hari ini, sesetengah ibu bapa mungkin beranggapan perkara itu tidak lagi memadai.
Mereka mungkin berasa mereka bertanggungjawab secara peribadi untuk memastikan anak-anak membesar sebagai individu yang mempunyai pelbagai kebolehan.
Keadaan ini mewujudkan paradoks antara aspirasi dengan kebimbangan.
Semakin tinggi aspirasi ibu bapa untuk memberikan peluang terbaik kepada anak-anak, semakin mereka mungkin bimbang tentang peluang yang masih belum diberikan kepada anak-anak mereka.
Dalam hal ini, aspirasi ibu bapa boleh saling berkait dengan perasaan bimbang.
Kebimbangan dan kerisauan ibu bapa
Sebagai manusia, kita merupakan makhluk sosial.
Ibu bapa secara semula jadi akan melihat ibu bapa lain untuk memahami apakah yang dianggap sebagai persediaan mencukupi bagi anak-anak mereka.
Hal ini berdasarkan Teori Perbandingan Sosial.
Apabila melihat ibu bapa lain mendaftarkan anak-anak mereka dalam kelas pengaturcaraan, muzik, seni dan sebagainya, mereka juga mungkin mula menganggap kegiatan tersebut sebagai peluang penting yang tidak sepatutnya dilepaskan oleh anak-anak sendiri.
Apabila melihat anak-anak orang lain menyertai pelbagai kegiatan pengayaan, ibu bapa mungkin berasa tertekan untuk melakukan perkara yang sama.
Kegiatan pengayaan kemudian berubah daripada sekadar pengalaman pilihan kepada sesuatu yang ibu bapa rasa perlu disediakan untuk anak-anak.
Berkaitan dengan perbandingan sosial, pendaftaran anak-anak dalam program pengayaan khusus tertentu juga boleh menjadi satu bentuk isyarat sosial, yang secara tidak langsung menunjukkan pelaburan kewangan keluarga serta komitmen mereka terhadap kejayaan anak-anak.
Selain itu, teori keengganan mengalami kerugian turut menjelaskan kebimbangan ini.
Keengganan mengalami kerugian ialah kecenderungan kognitif apabila seseorang lebih berasa terkesan dengan kehilangan sesuatu berbanding kegembiraan yang diperoleh daripada mendapatkannya.
Ibu bapa mungkin lebih bimbang tentang peluang yang mungkin terlepas daripada anak-anak mereka, seperti ketinggalan dalam pelajaran atau kehilangan peluang untuk membina portfolio, berbanding manfaat yang boleh diperoleh daripada penyertaan dalam kegiatan tersebut, seperti memperoleh kemahiran baharu.
Ibu bapa mungkin bimbang bahawa jika mereka tidak mendaftarkan anak-anak dalam kegiatan tertentu, anak-anak akan terlepas peluang yang berharga.
Persepsi bahawa anak-anak mungkin ketinggalan berbanding rakan sebaya atau tidak cukup berdaya saing, misalnya untuk kemasukan melalui Pengambilan Masuk ke Sekolah Secara Langsung (DSA), boleh menjadi pendorong yang kuat sehingga hobi pengayaan dilihat sebagai satu aset persaingan.
Semua kebimbangan ini boleh menjadi lebih kuat dengan pengaruh media sosial dan Internet yang boleh bertindak sebagai ruang gema digital.
Saluran komunikasi moden seperti wadah media sosial, blog keibubapaan, forum dan kempen pemasaran perkhidmatan pengayaan boleh memesongkan persepsi ibu bapa tentang perkembangan normal kanak-kanak.
Hal ini berlaku melalui paparan kandungan algoritma yang mewujudkan kitaran maklum balas dan memperkuat perbandingan sosial, ketakutan terlepas peluang serta isyarat sosial.
Permainan, pembelajaran tanpa struktur
Ibu bapa harus mengelakkan tanggapan bahawa jadual yang padat bermakna perkembangan anak-anak berada pada tahap optimum.
Ibu bapa mungkin mengaitkan pembelajaran yang produktif hanya dengan kegiatan berstruktur, matlamat pembelajaran yang jelas serta hasil dan pencapaian yang boleh diukur.
Akibatnya, permainan tanpa struktur mungkin dianggap sebagai masa yang tidak produktif dan kurang bernilai kerana manfaatnya terhadap perkembangan kanak-kanak mungkin tidak begitu segera, jelas atau ketara.
Sebagai contoh, kelas muzik menawarkan perkembangan mengikut tahap kemahiran, manakala tenis memberikan peluang untuk memenangi pingat atau menyertai pertandingan.
Sebaliknya, kanak-kanak yang bermain bebas di taman permainan mungkin kelihatan seperti sekadar menghabiskan masa tanpa mempelajari apa-apa.
Namun, kajian menunjukkan bahawa permainan tanpa struktur amat penting kepada kanak-kanak kerana ia memberi peluang untuk mempraktikkan dan mengembangkan pelbagai keupayaan secara menyeluruh melalui penerokaan, eksperimen dan interaksi sosial yang sebenar.
Kanak-kanak tidak perlu sentiasa diajar sesuatu untuk mempelajari sesuatu.
Permainan tanpa struktur memberi peluang berharga untuk mengembangkan kreativiti, sikap berdikari, kemahiran menyelesaikan masalah, komunikasi dan kemahiran sosial.
Kanak-kanak memerlukan masa untuk berehat, bermain tanpa struktur, interaksi sosial dan hubungan kekeluargaan.
Semua ini bukan peluang yang disia-siakan.
Malah, ia merupakan pengalaman penting dalam perkembangan mereka.
Panduan pilih program pengayaan
Pemindahan kemahiran tidak berlaku secara automatik
Pertama sekali, ibu bapa perlu memahami bahawa keupayaan untuk memindahkan kemahiran daripada sesuatu kegiatan pengayaan khusus kepada kehidupan harian tidak berlaku secara automatik.
Sebagai contoh, menjadi lebih mahir dalam pengaturcaraan tidak semestinya menjadikan seseorang kanak-kanak lebih baik dalam menyelesaikan masalah akademik atau masalah kehidupan sebenar yang tidak berkaitan.
Apa yang boleh dilakukan oleh ibu bapa untuk mengukuhkan pembelajaran adalah membantu anak-anak merenung pengalaman mereka, mengenal pasti perkara yang telah dipelajari dan memikirkan bagaimana kemahiran tersebut boleh digunakan dalam konteks lain.
Utamakan minat dan bukan sekadar portfolio
Seterusnya, kajian menunjukkan bahawa kanak-kanak meraih manfaat paling besar daripada kegiatan yang bersesuaian dengan tahap perkembangan mereka, mempunyai makna kepada diri mereka dan cukup mencabar tanpa menyebabkan mereka berasa terbeban.
Adalah penting bagi kanak-kanak mempunyai motivasi intrinsik untuk melibatkan diri dalam kegiatan yang disertai.
Motivasi intrinsik ialah dorongan dalaman untuk melakukan sesuatu kerana kepuasan peribadi yang diperoleh daripadanya, bukannya disebabkan jangkaan atau pencapaian luaran.
Motivasi intrinsik membantu mengekalkan minat dan ketekunan kanak-kanak dalam sesuatu kegiatan.
Ibu bapa boleh memupuk motivasi intrinsik anak-anak dengan mengalihkan tumpuan daripada pencapaian dan prestasi kepada keseronokan, sifat ingin tahu, perkembangan peribadi dan rasa pemilikan terhadap aktiviti tersebut.
Menurut Teori Penentuan Kendiri, kanak-kanak lebih berkemungkinan mengembangkan motivasi intrinsik dan mencapai kesejahteraan yang lebih baik apabila tiga keperluan psikologi mereka dipenuhi, iaitu autonomi, kecekapan dan keterhubungan.
– Autonomi
Dari segi autonomi, kanak-kanak perlu berasa mereka menyertai sesuatu kegiatan atas kehendak sendiri dan bukannya kerana dipaksa.
Ini bermakna kanak-kanak perlu diberikan ruang menyuarakan pendapat tentang kegiatan yang ingin mereka sertai.
Ibu bapa boleh membenarkan anak-anak meneroka pelbagai kegiatan, menyatakan pilihan mereka dan memberikan pendapat sama ada mereka mahu meneruskannya atau tidak, dalam lingkungan pilihan dan batasan yang ditetapkan ibu bapa.
Namun, penting untuk difahami bahawa motivasi intrinsik tidak bermakna kanak-kanak akan menikmati setiap kelas atau tidak akan pernah menghadapi kegagalan.
Ibu bapa perlu membantu anak-anak membina ketekunan sambil peka terhadap sama ada kegiatan tersebut masih bermakna kepada mereka.
– Kecekapan
Dari segi kecekapan, kanak-kanak perlu berasa mereka menunjukkan perkembangan apabila kemahiran mereka semakin meningkat.
Mereka perlu memperoleh kepuasan daripada proses pembelajaran, mengatasi cabaran dan meningkatkan keupayaan diri.
Ibu bapa boleh memberi tumpuan kepada usaha, peningkatan peribadi dan penguasaan kemahiran anak-anak, berbanding hanya menumpukan perhatian kepada pingat, kedudukan atau sijil.
Ibu bapa perlu mengutamakan proses, bukannya prestasi.
– Keterhubungan
Dari segi keterhubungan, kanak-kanak seharusnya menikmati kegiatan yang disertai kerana mereka dapat membina hubungan positif dan berasa diri mereka diterima dalam sesuatu kumpulan, sama ada bersama rakan sebaya, jurulatih atau pengajar.
Ibu bapa boleh memilih program yang mempunyai pengajar dan jurulatih yang memberikan sokongan, serta menyediakan peluang kepada anak-anak untuk menjalin persahabatan dan membina hubungan yang bermakna dengan orang lain.
Pertimbangkan keperluan perkembangan individu
Satu lagi konsep yang relevan untuk dipertimbangkan oleh ibu bapa ketika memilih kegiatan adalah Zon Perkembangan Proksimal.
Konsep ini menekankan pentingnya memberi cabaran yang boleh dihadapi oleh kanak-kanak dengan bimbingan dan sokongan yang sewajarnya daripada ibu bapa, guru atau rakan sebaya.
Kegiatan pengayaan seharusnya mencabar dan mengembangkan keupayaan kanak-kanak tanpa menyebabkan mereka berasa tidak berkebolehan atau gagal.
Lingkungan keupayaan optimum ialah apabila sesuatu tugasan berada sedikit di luar kemampuan kanak-kanak untuk melakukannya secara bersendirian.
Mereka mungkin tidak dapat menyelesaikannya sepenuhnya tanpa bantuan, tetapi mampu berjaya dengan sedikit bimbingan dan sokongan secara berperingkat.
Setiap kanak-kanak belajar pada kadar yang berbeza.
Sehubungan itu, ibu bapa juga perlu mempertimbangkan kesesuaian kegiatan berdasarkan tahap perkembangan, keupayaan dan kesediaan anak-anak, serta sokongan yang diperlukan.
Tumpukan kepada keupayaan luas
Daripada cuba menentukan kegiatan manakah yang paling bernilai pada masa hadapan, ibu bapa seharusnya memberikan tumpuan kepada pembangunan keupayaan yang lebih luas, terutama pada peringkat awal perkembangan anak-anak.
Ibu bapa perlu kurang menumpukan perhatian kepada kegiatan pengayaan yang boleh memberikan kelebihan daya saing kepada anak-anak dan lebih memberikan perhatian kepada pengalaman yang membantu mereka membangunkan kemahiran asas kehidupan seperti kebolehsuaian, daya tahan, penyelesaian masalah, kreativiti, minda berkembang, pengawalan emosi serta tingkah laku, dan kemahiran berinteraksi dengan orang lain.
Strategi untuk ibu bapa
Tumpukan kepada pengalaman pembelajaran, bukannya kegiatan
Selepas sesuatu kegiatan, ibu bapa boleh mengemukakan soalan yang menggalakkan anak-anak merenung pengalaman mereka, bukannya sekadar bertanya tentang prestasi.
Daripada bertanya, “Adakah kamu memenangi perlawanan tadi?”, cuba bertanya:
– “Apakah perkara yang paling kamu seronok lakukan dalam perlawanan hari ini?”
– “Apakah yang akan kamu cuba lakukan secara berbeza pada masa akan datang?”
– “Apakah kesukaran yang kamu hadapi semasa perlawanan hari ini?”
Hubungkan perkara yang dipelajari dengan kehidupan harian
Seperti yang dinyatakan sebelum ini, mempelajari sesuatu kemahiran dalam satu konteks tidak bermakna kanak-kanak secara automatik boleh menggunakannya dalam konteks lain.
Hal ini dikenali sebagai cabaran pemindahan pembelajaran.
Untuk mengatasinya, ibu bapa boleh membantu anak-anak melihat kaitan antara satu konteks dengan konteks yang lain.
Sebagai contoh, untuk mengembangkan kemahiran pengawalan emosi serta tingkah laku, ibu bapa boleh berkata:
“Ingat bagaimana kamu berjaya bertenang selepas kehilangan satu mata dalam perlawanan yang lalu? Apakah yang membantu kamu berbuat demikian? Bolehkah kamu menggunakan strategi yang sama apabila berasa kecewa ketika membuat kerja rumah?”
Bagi kemahiran membuat keputusan pula, ibu bapa boleh berkata:
“Ingat bagaimana kamu merancang langkah-langkah dengan teliti sebelum membuat keputusan semasa bermain permainan kamu? Bagaimanakah kamu boleh menggunakan cara yang sama ketika merancang jadual belajar?”
Perkara utama ialah membantu anak-anak mengenal pasti keupayaan asas yang sedang mereka kembangkan dan memahami bagaimana keupayaan tersebut boleh menyumbang kepada perkembangan mereka secara lebih menyeluruh dalam aspek kehidupan yang lain.
Wujudkan peluang buat keputusan sendiri
Kadangkala, ibu bapa tanpa disedari mengehadkan peluang anak-anak untuk berdikari dengan mengatur setiap aspek kehidupan mereka.
Selaras dengan Teori Penentuan Kendiri seperti yang dinyatakan sebelum ini, autonomi merupakan satu keperluan psikologi yang penting.
Kanak-kanak memerlukan peluang untuk membuat pilihan, mencuba pelbagai perkara, mengalami kesan daripada tindakan mereka dan menyelesaikan masalah secara berdikari.
Sebagai contoh, daripada terus memberikan penyelesaian, ibu bapa boleh bertanya:
– “Pada pendapat kamu, apakah yang boleh kita lakukan?”
– “Bolehkah kita fikirkan cara lain untuk menyelesaikan masalah ini?”
Hargai proses, perkembangan dan usaha, bukan pencapaian semata-mata
Cara ibu bapa memberi pujian kepada anak-anak tanpa disedari boleh menyampaikan mesej bahawa pencapaian lebih penting daripada peningkatan diri, pembelajaran dan usaha.
Berdasarkan Teori Matlamat Pencapaian, ibu bapa boleh membantu anak-anak memupuk orientasi penguasaan dan minda berkembang, iaitu apabila kanak-kanak memberi tumpuan kepada pembelajaran dan peningkatan diri sendiri, bukannya sentiasa membandingkan prestasi mereka dengan orang lain.
Sebagai contoh, daripada memuji atau memberikan ganjaran kepada anak dengan berkata, “Kamu sangat bijak!”, hargai usaha mereka dengan berkata:
“Ibu/Ayah nampak betapa gigihnya kamu berusaha dan berapa banyak usaha yang telah kamu curahkan.”
Daripada bertanya, “Adakah kamu mendapat tempat pertama?”, cuba bertanya:
“Apakah perkara yang paling kamu banggakan tentang peningkatan diri kamu sendiri?”
Ibu bapa juga boleh berkata:
“Ibu/Ayah perasan betapa banyaknya peningkatan yang telah kamu capai berbanding minggu lalu. Ibu/Ayah dapat melihat usaha yang telah kamu lakukan dan usaha itu membuahkan hasil.”
Untuk membantu anak-anak membina daya tahan dan belajar daripada kesilapan, ibu bapa boleh berkata:
“Kesilapan merupakan sebahagian daripada proses pembelajaran. Kamu boleh belajar daripadanya untuk menjadi lebih baik.”
“Ibu/Ayah gembira kerana kamu terus berusaha walaupun kamu belum berjaya melakukannya dengan betul. Beginilah proses pembelajaran berlaku.”
Semua pendekatan ini boleh membantu anak-anak memupuk minda berkembang dan membina daya tahan psikologi.
Ibu bapa perlu ingat bahawa pujian yang diberikan seharusnya tertumpu kepada proses pembelajaran, usaha dan ketekunan, bukannya bakat semula jadi, kecerdasan atau pencapaian akhir semata-mata.
“
“... ibu bapa perlu memahami bahawa keupayaan untuk memindahkan kemahiran daripada sesuatu kegiatan pengayaan khusus kepada kehidupan harian tidak berlaku secara automatik. Sebagai contoh, menjadi lebih mahir dalam pengaturcaraan tidak semestinya menjadikan seseorang kanak-kanak lebih baik dalam menyelesaikan masalah akademik atau masalah kehidupan sebenar yang tidak berkaitan. Apa yang boleh dilakukan oleh ibu bapa untuk mengukuhkan pembelajaran adalah membantu anak-anak merenung pengalaman mereka, mengenal pasti perkara yang telah dipelajari dan memikirkan bagaimana kemahiran tersebut boleh digunakan dalam konteks lain.”Penulis Pengurus Pusat Sains Tingkah Laku Gunaan di Politeknik Temasek.