Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kehidupan ‘nomad digital’ seronok, namun tak tentu masa, batas kerja-hidup kabur

Jul 14, 2024 | 5:30 AM
Cik Salima Nadira Mafoot Moss Simon meneroka Kashmir pada Mei 2024.
Cik Salima Nadira Mafoot Moss Simon meneroka Kashmir pada Mei 2024. - Foto ihsan SALIMA NADIRA MAFOOT MOSS SIMON

Gaya hidup ‘nomad digital’ – gelaran bagi mereka yang bekerja menggunakan peranti digital sepenuhnya sekali gus membolehkan mereka mengembara ke mana-mana sahaja – sering menjadi suatu yang diidam-idamkan ramai, malah dipandang sebagai aturan ideal untuk mencapai keseimbangan kehidupan bekerja.

Manakan tidak. Seseorang pasti terbayang keadaan tatkala menaip di komputer riba sambil ditemani cuaca dingin dengan mata disejukkan pemandangan gunung-ganang berlatarbelakangkan matahari terbenam.

Walau tampak sempurna pada mata kasar, nomad digital Singapura yang dihubungi Berita Minggu (BM) mendedahkan bahawa ketidakstabilan, sempadan kerja dan kehidupan yang tidak jelas, perhubungan bersama rakan kerja adalah antara cabaran yang perlu diatasi.

Berdasarkan tinjauan yang dijalankan YouGov ke atas 882 warga Singapura pada Jun 2024, seramai 36 peratus warga Singapura pernah menjadi nomad digital pada suatu masa dalam kehidupan mereka.

Daripada warga Singapura yang ditinjau, mereka dalam pekerjaan berkaitan sektor teknologi maklumat dan komputer seperti pengekodan, pemprograman, reka bentuk web, paling besar kemungkinan telah bekerja sebagai nomad digital pada 21 peratus.

Ini diikuti dengan mereka dalam bidang kejuruteraan (19 peratus); bimbingan dan perundingan (18 peratus); dan bidang perhubungan dan media (17 peratus).

Bidang pentadbiran maya dan khidmat kewangan adalah antara bidang pekerjaan lain yang biasa dalam kalangan nomad digital.

URUS MASA SENDIRI, LEBIH BANYAK KEBEBASAN

Cik Salima Nadira Mafoot Moss Simon bekerja dari jarak jauh di London, United Kingdom pada Jun 2022.
Cik Salima Nadira Mafoot Moss Simon bekerja dari jarak jauh di London, United Kingdom pada Jun 2022. - Foto ihsan SALIMA NADIRA MAFOOT MOSS SIMON

Warga Singapura, Cik Salima Nadira Mafoot Moss Simon, 34 tahun, pernah seketika dahulu bekerja dalam syarikat media yang memerlukannya melaporkan diri ke pejabat dari 9 pagi hingga 6 petang setiap hari.

Bagaimanapun, rutin tersebut telah lama ditinggalkannya setelah Cik Salima mencari kepuasan dalam aturan pekerjaan bebas sebagai penghibur seni yang membolehkannya mengawal masa beliau sendiri.

Itulah yang mendorongnya menyertai syarikat yang bergantung kepada operasi jarak jauh sepenuhnya tiga tahun lalu, membolehkan beliau mengembara dan melakukan pekerjaannya di mana-mana sahaja.

Ketua pemasaran produk itu yang telah berkunjung ke lebih 30 negara berkata: “Saya tidak perlu lagi ambil cuti, dan boleh dikatakan tidak ada had kepada bilangan cuti yang boleh saya ambil.

“Saya rasa kebebasan yang diberi sangat luas – saya boleh pilih di mana-mana saya ingin berada, dan perkara itu suatu yang jarang boleh dilakukan.

“Saya boleh kemas barang saya dan terus ke sana. Contohnya jika minggu ini seseorang kongsi tentang pengalamannya di Croatia dan tempat cantik yang dilihat, saya ada kebebasan untuk terus ambil penerbangan ke sana minggu depan. Jadi saya tak perlu rasa stres tentang proses mengambil cuti.”

Malah, beliau boleh menjimatkan wang dengan menempah tiket ke destinasi pilihan pada waktu kurang sibuk, tanpa perlu mengejar masa.

Cik Dewi Nurinda Mohd Ishak berkunjung ke Vietnam pada 2023.
Cik Dewi Nurinda Mohd Ishak berkunjung ke Vietnam pada 2023. - Foto ihsan DEWI NURINDA MOHD ISHAK

Seperti beliau, Cik Dewi Nurinda Mohd Ishak, berusia awal 30-an tahun, juga bekerja dari jarak jauh sejak beliau menembusi sektor perancangan acara 12 tahun lalu.

Kini sebagai pengurus acara kanan di sebuah syarikat pengurusan acara, Cik Dewi mendapati dirinya menyelam sambil meminum air: beliau akan melancong ke luar negara bagi tujuan kerja, dan kemudian mengembara sambil bercuti di negara itu.

“Manfaat terbesar buat saya ialah saya tidak perlu jalani proses melecehkan iaitu memohon cuti atau mengemukakan bukti cuti sakit jika saya tidak sihat.

“Saya juga boleh menempah tiket ke mana-mana negara pada bila-bila masa asalkan saya dapat dihubungi dalam talian,” ujarnya yang telah menjejakkan kaki di 16 negara.

Bagaimanapun, aturan itu memerlukan banyak disiplin dan bukan semudah yang disangka, kata Cik Dewi Nurinda.

Walaupun terdapat kebebasan untuk mengawal masa sendiri ketika melaksanakan tugas, ini kadangkala boleh membuat diri menjadi leka dan seseorang mungkin mendapati diri terburu-buru melaksanakan tugas pada detik-detik akhir sehingga mengorbankan masa tidur.

“Justeru penting untuk menguruskan masa dengan baik dan berdisiplin. Jika anda ingin luangkan masa bersama keluarga, pastikan masa itu diluangkan bersama keluarga dan selesaikan semua yang perlu dihabiskan sebelum itu,” ujarnya.

PERLU CARI KESEIMBANGAN KERJA DENGAN HIDUP

Cik Salima Nadira Mafoot Moss Simon bekerja dari jarak jauh di Brazil pada Mei 2024.
Cik Salima Nadira Mafoot Moss Simon bekerja dari jarak jauh di Brazil pada Mei 2024. - Foto ihsan SALIMA NADIRA MAFOOT MOSS SIMON

Batas antara pekerjaan dengan kehidupan sememangnya menjadi cabaran yang sukar diatasi.

Cik Salima berkata salah satu isu yang sering timbul daripada aturan kerja dengan seseorang tidak perlu mengambil cuti ialah mereka mungkin kerja berlebihan.

Namun, beliau berkata penting bagi setiap individu memastikan garisan itu ditetapkan dengan jelas, dan perlu bertolak ansur serta saling memahami antara bos dengan rakan kerja.

“Anda perlu bersikap bertanggungjawab, dan boleh dikatakan ia lebih sukar daripada aturan pekerjaan biasa kerana dalam pekerjaan biasa, logistik dan sumber manusia semua sudah diatur, contohnya mana yang anda akan inap dan sebagainya. Jadi tidak ada beban mental.

“Sebagai nomad digital, anda perlu bertanggungjawab terhadap waktu kerja anda, dan merancang secara berterusan sama ada anda bekerja terlalu banyak atau terlalu sedikit supaya anda boleh mencari keseimbangan itu,” ujarnya.

ISU URUS HUBUNGAN SESAMA RAKAN KERJA

Cik Salima menambah bahawa bekerja dari jarak jauh juga membawa cabaran dari segi menjaga hubungan antara rakan kerja dengan bos, yang menurutnya lebih sukar diurus di dunia digital berbanding secara bersemuka.

“Jika anda rasa tertekan atau marah, anda tak boleh dengan serta-merta ajak rakan kerja anda untuk keluar minum bersama kerana semua berjauhan. Jadi anda perlu cari cara lain,” ujar Cik Salima.

KEHIDUPAN NOMAD DIGITAL BUKAN UNTUK SEMUA

Cik Dewi Nurinda Mohd Ishak menyewa sebuah ‘campervan’ dan melakukan kerja dari jarak jauh selama empat hari di kawasan luar bandar di Korea Selatan.
Cik Dewi Nurinda Mohd Ishak menyewa sebuah ‘campervan’ dan melakukan kerja dari jarak jauh selama empat hari di kawasan luar bandar di Korea Selatan. - Foto ihsan DEWI NURINDA MOHD ISHAK

Cik Dewi Nurinda berkongsi bahawa kehidupan nomad digital bukanlah suatu yang boleh ditempuhi semua.

“Ia tidak begitu glamor seperti yang disangkakan orang... ia agak mencabar secara mental kerana anda tidak ada sistem dalam hidup.

“Jika anda seseorang yang sangat teratur dan memerlukan kestabilan dalam kehidupan anda sebagai jaminan, kehidupan nomad digital bukan untuk anda.

“Saya ada rakan-rakan yang meninggalkan kehidupan ini disebabkan hal demikian. Mereka sedar bahawa ketidakstabilan tersebut membuat mereka resah, tidak keruan,” ujarnya.

Cik Dewi Nurinda Mohd Ishak mengembara ke Fuji Kawaguchiko, Jepun bersama suaminya, Encik Muhd Azhar Mohamed Khamid, pada 2024.
Cik Dewi Nurinda Mohd Ishak mengembara ke Fuji Kawaguchiko, Jepun bersama suaminya, Encik Muhd Azhar Mohamed Khamid, pada 2024. - Foto ihsan DEWI NURINDA MOHD ISHAK

Beliau menambah bahawa aturan kerja ini juga lebih sesuai kerana beliau belum dikurniakan cahaya mata, justeru belum ada tanggungan.

Dalam pada itu, suaminya juga bekerja secara bebas dan dapat menemaninya dalam perjalanannya mengembara dunia.

Sebagai seorang kaki jalan, Cik Dewi berkata: “Saya sememangnya dambakan kehidupan sebegini, dengan saya tidak terikat dan dapat lakukan apa yang saya inginkan.”

Cik Salima yang juga masih solo turut mengakui bahawa aturan pekerjaan sebagai nomad digital mungkin tidak sesuai bagi mereka yang berkeluarga.

“Boleh dikatakan kalau anda bukan ‘workaholic’ (gila kerja), ia tidak sesuai,” kata beliau.

Tinjauan YouGov menunjukkan cabaran sebagai nomad digital.
Tinjauan YouGov menunjukkan cabaran sebagai nomad digital. - Grafik BH
Tinjauan YouGov menunjukkan manfaat sebagai nomad digital.
Tinjauan YouGov menunjukkan manfaat sebagai nomad digital. -
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg