Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Keindahan bandar dan alam bersatu di Vancouver

Jun 5, 2024 | 5:48 PM
Panorama bandar raya di Granville Island, Vancouver yang menawan dengan bendera Canada berkibar megah di bawah langit biru yang cerah.
Panorama bandar raya di Granville Island, Vancouver yang menawan dengan bendera Canada berkibar megah di bawah langit biru yang cerah. - Foto BM oleh ABDUL QAYYUM SARIP

Cantik, indah dan aman. Itulah Vancouver.

Walaupun Vancouver merupakan sebuah bandar moden, ia dihias dengan kehijauan alam semula jadi dan kepelbagaian budaya, menjadikannya sebuah destinasi yang menawarkan pengalaman pelancongan yang pasti tidak dapat dilupakan.

Dari taman-taman yang luas hingga pasar seni yang meriah, setiap sudut bandar ini menjanjikan sesuatu yang istimewa. Terletak di British Columbia, wilayah barat Canada, Vancouver menyediakan latar belakang yang menakjubkan bagi pelancong dari seluruh dunia.

Apabila mendapat peluang ke Vancouver di Canada daripada syarikat penerbangan Air Canada, saya tidak melepaskan peluang tersebut kerana tidak pernah terlintas di fikiran untuk melawat negara Barat, apatah lagi Canada. 

Ketibaan saya di Vancouver pada 28 April disambut dengan gunung-gunung yang menakjubkan. 

Sebagai persiapan awal, saya telah membuat kajian tentang cuaca di sana dan telah menjangkakan cuaca basah sepanjang lima hari saya di sana. Namun, Vancouver memancarkan panas cahaya matahari. 

Dengan suhunya yang antara 13-15 darjah Celsius semasa musim bunga ketika itu, panasnya tidak terasa, malah agak selesa dan tidak berpeluh.

Ia benar-benar sepadan dengan suasana santai warga Canada.

“Forest Bathing” di Stanley Park

Menikmati keindahan alam semula jadi dengan berjalan-jalan santai di hutan yang rimbun bersama rakan-rakan.
Menikmati keindahan alam semula jadi dengan berjalan-jalan santai di hutan yang rimbun bersama rakan-rakan. - Foto BM oleh ABDUL QAYYUM SARIP

Meneroka dan meredah hutan bukan kegiatan yang kerap dilakukan di Singapura. Justeru, saya mengambil peluang di Stanley park untuk melakukan demikian. Disediakan Talaysay Tours, sesi tersebut bukan sekadar bersiar-siar, malah ia menawarkan peluang kepada pelancong seperti saya melakukan ‘Forest Bathing’ – menikmati keindahan dan ketenangan.

Watch on YouTube

Sesi tersebut amat bermanfaat lebih-lebih lagi bagi pelancong Singapura yang sering mengalami tekanan tahap tinggi disebabkan masyarakat kita yang serba pantas. Ia memberi peluang menikmati pengalaman meditasi yang menghubungkan tubuh dan minda dengan alam sekitar.

Walaupun kebanyakan orang mendakinya untuk bersenam dan bersantai dengan rakan-rakan, Cik Haida Bolton, pemandu pelancong terapi hutan yang mengetuai sesi tersebut, berkata ramai sering mengabaikan butiran alam semula jadi dan gagal untuk benar-benar menghargainya.

Oleh itu, semasa sesi tersebut, kami digalak menumpu kepada butiran alam semula jadi dan menghargai keindahan dan keajaiban hutan dengan cara yang lebih mendalam dan bermakna melalui deria kami. Kami menyentuh daun, lumut dan akar pokok, memerhati butiran kecil seperti labah-labah membuat sarang, burung berkicauan dan angin yang menggoyangkan pokok. Cik Bolton juga membimbing kami melalui latihan pernafasan dengan mata tertutup, meningkatkan kesedaran terhadap bunyi alam semula jadi.

Dua ekor kuda di dalam kandang, dikelilingi kehijauan hutan yang menenangkan di luar Stanley Park.
Dua ekor kuda di dalam kandang, dikelilingi kehijauan hutan yang menenangkan di luar Stanley Park. - Foto BM oleh ABDUL QAYYUM SARIP

Bagi mereka yang ingin memperkasakan deria dan meningkatkan penghargaan terhadap persekitaran, kegiatan ‘forest bathing’ tepat untuk anda!

Lawatan makanan & beli-belah di Granville Island

Grafiti warna-warni di Granville Island menampilkan semangat kreatif dan budaya unik, dikelilingi oleh kedai-kedai artisanal yang menarik.
Grafiti warna-warni di Granville Island menampilkan semangat kreatif dan budaya unik, dikelilingi oleh kedai-kedai artisanal yang menarik. - Foto BM oleh ABDUL QAYYUM SARIP

Bagi penggemar makanan dan kaki shopping, Granville Island adalah ‘syurga’ buat anda! Ia terkenal dengan pasar awam yang menawarkan pelbagai makanan gourmet dan produk tempatan seperti sirap ‘maple’ dan kraftangan. Pengunjung boleh membeli buah-buahan, daging, keju dan pelbagai hidangan istimewa dari vendor tempatan. 

Watch on YouTube

Saya juga menyertai sesi makan “Granville Island Uncorked Tour” oleh Vancouver Foodie Tours (foodietours.ca), saya meminta sampel makanan pescatarian seperti salmon, keju dan roti – alternatif bagi pemakanan halal.

Kedai roti artisanal yang menawarkan pelbagai jenis pastri segar dan roti buatan sendiri ini adalah sebahagian sesi makan daripada “Granville Island Uncorked Tour”.
Kedai roti artisanal yang menawarkan pelbagai jenis pastri segar dan roti buatan sendiri ini adalah sebahagian sesi makan daripada “Granville Island Uncorked Tour”. - Foto BM oleh ABDUL QAYYUM SARIP
Pelbagai jenis keju berkualiti tinggi yang dipamerkan di kedai tempatan Benton Brothers.
Pelbagai jenis keju berkualiti tinggi yang dipamerkan di kedai tempatan Benton Brothers. - Foto BM oleh ABDUL QAYYUM SARIP
Penjual di Hobbs Pickles sedang melayani pelanggan dengan pelbagai jenis jeruk segar di pasar awam Granville Island.
Penjual di Hobbs Pickles sedang melayani pelanggan dengan pelbagai jenis jeruk segar di pasar awam Granville Island. - Foto BM oleh ABDUL QAYYUM SARIP

Satu aspek menarik tentang Granville Island ialah semua perniagaan di sana adalah tempatan, tanpa kehadiran rangkaian besar atau francais. Granville Island benar-benar memberi tumpuan kepada perniagaan tempatan, yang menambah keunikan dan keaslian pengalaman membeli-belah dan makanan di pulau ini.

Lawatan ini, yang menawarkan persinggahan di kedai-kedai artisanal seperti pembuatan penyapu dan meniup kaca, bermula pada harga C$169.99 ($168).

Lintasi Jambatan Gantung Capilano

Jambatan gantung Capilano Suspension Bridge Park dikelilingi oleh kehijauan hutan yang menenangkan, menawarkan pengalaman luar biasa untuk pencinta alam.
Jambatan gantung Capilano Suspension Bridge Park dikelilingi oleh kehijauan hutan yang menenangkan, menawarkan pengalaman luar biasa untuk pencinta alam. - Foto BM oleh ABDUL QAYYUM SARIP
Menyeberangi jambatan gantung yang mengagumkan di tengah hutan yang menghijau, menawarkan pengalaman yang mendebarkan dan pemandangan alam semula jadi yang menakjubkan.
Menyeberangi jambatan gantung yang mengagumkan di tengah hutan yang menghijau, menawarkan pengalaman yang mendebarkan dan pemandangan alam semula jadi yang menakjubkan. - Foto BM oleh ABDUL QAYYUM SARIP
Penulis (kanan) bersama rakan-rakan media dengan sijil yang diberikan kepada pengunjung yang melintasi jambatan gantung Capilano.
Penulis (kanan) bersama rakan-rakan media dengan sijil yang diberikan kepada pengunjung yang melintasi jambatan gantung Capilano. - Foto BM oleh ABDUL QAYYUM SARIP

Jambatan gantung Capilano menawarkan pengalaman yang mendebarkan di tengah-tengah hutan yang subur sepanjang kira-kira 140 meter dengan ketinggian 70 meter dari permukaan sungai. Namun, ia bukan pengalaman yang mengerikan bagi saya. Berjalan di atas jambatan sambil menikmati pemandangan air sungai mengalir dengan deras di bawah memberikan ketenangan jiwa.

Watch on YouTube

Walaupun kawasan di sana agak sesak sekitar 5 petang ketika kami melawatnya, orang ramai kemudian mula berkurang, memberikan peluang fotografi yang baik di jambatan dengan sinar matahari di celahan pokok-pokok hutan pada waktu ‘golden hour’.

Menikmati keindahan Shannon Falls di Squamish

Keindahan semula jadi di Shannon Falls, Squamish, dengan air terjun yang mengalir deras di tengah hutan yang menghijau
Keindahan semula jadi di Shannon Falls, Squamish, dengan air terjun yang mengalir deras di tengah hutan yang menghijau - Foto BM oleh ABDUL QAYYUM SARIP

Shannon Falls, yang terletak di Squamish, British Columbia, adalah salah satu air terjun tertinggi di wilayah ini, dengan ketinggian menjulang 335 meter. Terletak hanya satu kilometer di selatan Squamish di sepanjang Sea to Sky Highway, Shannon Falls menawarkan pemandangan yang menakjubkan dan menjadi destinasi popular untuk berkelah, mendaki, dan bersiar-siar. 

Watch on YouTube

Shannon Falls menjadi perhentian untuk kami berehat seketika semasa dalam perjalanan ke Whistler. Oleh kerana kami tiba sangat awal sekitar 8 pagi, kawasan ini hampir tiada orang.

Laluan mendaki di Shannon Falls adalah pendek dan mudah, sekitar satu kilometer pergi balik, yang membawa anda ke dua platform pandangan. Dari platform ini, anda dapat melihat pemandangan air terjun yang mengalir deras dan merasakan kabus sejuk yang ditiup angin. 

Terbang tinggi di antara gunung-gunung Whistler melalui ‘Zipline’

Menikmati pengalaman mendebarkan menaiki zipline di Whistler, dengan panorama indah gunung dan hutan di sekeliling.
Menikmati pengalaman mendebarkan menaiki zipline di Whistler, dengan panorama indah gunung dan hutan di sekeliling. - Foto BM oleh ABDUL QAYYUM SARIP

Saya seorang yang suka menyahut cabaran termasuk melakukan sesuatu yang melangkaui zon selesa saya. Apabila diajak rakan media untuk bermain zipline di Whistler, sudah tentu saya ‘go’ sahaja. 

Watch on YouTube

Perjalanan untuk ke Whistler dari Vancouver memakan masa sekitar dua jam melalui laluan Sea to Sky Highway. Walaupun dua jam, perjalanannya tidak terasa lama kerana laluannya sungguh indah dengan pemandangan yang menakjubkan sepanjang perjalanan.

Ekspedisi ‘The Eagle” oleh Ziptrek Ecotours (whistler.ziptrek.com) terdiri daripada lima laluan zipline yang panjangnya antara 180 meter dengan 730 meter. Sesi jelajah ini bermula pada harga C$169.99 ($168) untuk orang dewasa. 

Kami menaiki bukit menggunakan kereta kabel dan mendaki sedikit menuju ke titik permulaan. Zipline pertama adalah yang terpanjang, sekitar 730 meter, dan saya tidak dapat melihat hujungnya. 

Pada mulanya saya tidak berasa takut, tetapi sebaik sahaja melangkah turun untuk memulakan peluncuran, saya panik tetapi tetap teruskan. Sejujurnya, saya rasa seperti roh saya meninggalkan badan saya. Ia sangat mengujakan dan saya menikmati setiap saat penerbangan turun itu. 

Permata Tersembunyi di Fisherman’s Wharf, Richmond

Fisherman’s Wharf di Richmond adalah tempat nelayan tempatan menjual hasil tangkapan mereka seperti salmon dan udang galah.
Fisherman’s Wharf di Richmond adalah tempat nelayan tempatan menjual hasil tangkapan mereka seperti salmon dan udang galah. - Foto BM oleh ABDUL QAYYUM SARIP

Fisherman’s Wharf di Richmond adalah destinasi yang wajib dikunjungi bagi mereka yang melancong ke Vancouver. Terletak berdekatan dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Vancouver, Fisherman’s Wharf adalah tempat nelayan tempatan menjual hasil tangkapan mereka. Ini termasuk pelbagai jenis ikan segar seperti salmon, rockfish, udang galah dan juga landak laut​. 

Seorang nelayan yang menjual hasil tangkapan mereka pelbagai jenis salmon seperti Spring Salmon, Coho Salmon, dan Pink Salmon. 
Seorang nelayan yang menjual hasil tangkapan mereka pelbagai jenis salmon seperti Spring Salmon, Coho Salmon, dan Pink Salmon.  - Foto BM oleh ABDUL QAYYUM SARIP
Bakul yang berisi udang segar.
Bakul yang berisi udang segar. - Foto BM oleh ABDUL QAYYUM SARIP

Saya cuba udang raja Humpback segar yang dipenuhi dengan telurnya, dan rasanya begitu manis, sesuatu yang saya tidak pernah sangka boleh didapati daripada makanan laut segar. Dagingnya begitu lembut berserta telurnya.

Watch on YouTube

Kedai-kedai berdekatan juga mendapatkan bahan-bahan mereka dari dermaga tersebut, termasuk restoran Thai, Baan Lao Fine Thai Cuisine (baanlao.ca). Saya mencuba versi ‘high-tea’ mereka yang unik dengan memadankan hidangan Thai dengan teh yang dibuat oleh pakar.

Saksi ikan paus bermain di laut

Seekor orca melompat keluar dari air di pesisir Campbell River, Vancouver.
Seekor orca melompat keluar dari air di pesisir Campbell River, Vancouver. - Foto BM oleh ABDUL QAYYUM SARIP

Vancouver menawarkan peluang menonton paus di habitat semula jadi mereka. Ekspedisi ini biasanya bermula dari Steveston Harbour dan membawa pengunjung melalui Bowen Island. 

Watch on YouTube

Saya menyertai ekspedisi ini dan berpeluang melihat satu keluarga terdiri daripada lapan ikan paus orca. Nasib saya juga baik kerana saya dapat merakam mereka bermain-main di laut.

Pengalaman ini tidak dapat dilupakan, dengan panduan daripada Vancouver Whale Watch (vancouverwhalewatch.com) yang berpengetahuan memberikan maklumat menarik tentang kehidupan laut dan ekosistem tempatan.

Pemandangan panorama Vancouver dari pesawat laut

Pemandangan dari udara yang indah menunjukkan pesisir Pulau Vancouver ketika pesawat laut Harbour Air terbang melintasi langit biru yang cerah.
Pemandangan dari udara yang indah menunjukkan pesisir Pulau Vancouver ketika pesawat laut Harbour Air terbang melintasi langit biru yang cerah. - Foto BM oleh ABDUL QAYYUM SARIP

Pemandangan sekitar bandar Vancouver di darat sudah memukau apatah lagi pemandangan dari angkasa.

Penerbangan Vancouver Classic Panorama dengan Harbour Air menawarkan pengalaman ini selama 20 minit.

Watch on YouTube

Pemandangannya termasuk pemandangan angkasa Vancouver, Stanley Park, English Bay, Lions Gate Bridge, dan North Shore Mountains.

Penerbangan ini berlepas dari Vancouver Harbour Flight Centre dan tersedia sepanjang tahun. Pengalaman ini berharga kira-kira C$169 ($168) untuk dewasa. 

Antara perkara yang paling saya nikmati semasa ekspedisi ini adalah keindahan pemandangan yang dapat dinikmati dalam kesunyian. 

Ekspedisi ini tidak menyediakan penceritaan, jadi saya dapat meresapi setiap detik keindahan sepenuhnya dengan tenang. Tanpa gangguan, saya berasa lebih terhubung dengan alam dan dapat menikmati panorama yang menakjubkan dengan penuh ketenangan.

VanDusen Botanical Garden

Bunga berwarna ungu yang mekar di taman yang dikelilingi pepohonan hijau subur di VanDusen Botanical Garden.
Bunga berwarna ungu yang mekar di taman yang dikelilingi pepohonan hijau subur di VanDusen Botanical Garden. - Foto BM oleh ABDUL QAYYUM SARIP

VanDusen Botanical Garden adalah taman botani seluas 55 ekar yang terletak di kawasan kejiranan Shaughnessy, Vancouver. Taman ini menempatkan lebih 7,500 spesies tumbuhan. 

Bagi pengunjung yang ingin menghabiskan masa lebih lama di taman, terdapat pelbagai aktiviti dan pemandangan untuk dinikmati. Pemandangan di sekitar Heron Lake dan Livingstone Lake adalah tempat yang mesti dilihat, terutama untuk merakam gambar-gambar yang indah seperti pokok bunga sakura.

Beli-belah di McArthurGlen Designer Outlet

Pemandangan pusat beli-belah di McArthurGlen Designer Outlet Vancouver Airport yang sibuk dengan pengunjung yang sedang menikmati suasana cerah dan nyaman.
Pemandangan pusat beli-belah di McArthurGlen Designer Outlet Vancouver Airport yang sibuk dengan pengunjung yang sedang menikmati suasana cerah dan nyaman. - Foto BM oleh ABDUL QAYYUM SARIP

Bagi mereka yang mungkin tidak berkesempatan membeli-belah pada beberapa hari pertama atau ingin membeli-belah pada saat akhir sebelum berangkat pulang, McArthurGlen Designer Outlet adalah tempatnya.

Malah, sebelum saya ke Vancouver, rakan-rakan memberitahu bahawa McArthurGlen Designer Outlet mempunyai jenama mewah dengan harga lebih murah.

Terletak kira-kira lima minit memandu dari Lapangan Terbang Vancouver, terdapat lebih 80 jenama mewah termasuk Lululemon, Boss, Coach, Michael Kors, Versace, Nike dan The North Face.

Berapa murah? Tawaran diskaun sehingga 70 peratus!

Ia adalah cara terbaik untuk mengakhiri perjalanan sebelum pulang.

Perkara lain yang perlu diberi perhatian:

Paradox Hotel (paradoxhotels.com/vancouver), dengan kadar sewa bilik bermula dari C$424 ($423)  satu malam, ia berdekatan dengan pusat beli-belah Hudson’s Bay dan Pacific Centre, serta Robson Street yang terkenal dengan membeli-belah dan tempat makan.

Jika anda mahu sebuah penginapan berdekatan dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Vancouver, boleh juga menginap di Versante Hotel, Richmond dari C$375 ($374) satu malam.  

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg