Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kejar-mengejar 'Batman' cetus ilham bagi 'Lari'

Hampir sedekad lalu, mereka mencipta nama dan tular di media sosial sebagai bintang kecil. Yang seorang memasuki peraduan realiti 'Asia's Got Talent'. Yang seorang pula dengan yakin menyanyikan lagu Beyonce, 'Listen', sehingga tontonannya mencecah lebih lima juta kali di YouTube. Apakah perkembangan mereka kini dengan masing-masing masih mantap berseni? BERITA MINGGU melaporkan. Budak comel 'Asia's Got Talent 2017' terus belajar cipta lagu, hibur peminat
Feb 19, 2023 | 5:30 AM
KELUAR DARI KEPOMPONG: Syaz Smooth belajar menyesuaikan diri dengan tuntutan dunia hiburan yang menekankan kespontanan dan keselambaan. - Foto BM oleh NUR DIYANA TAHA
KELUAR DARI KEPOMPONG: Syaz Smooth belajar menyesuaikan diri dengan tuntutan dunia hiburan yang menekankan kespontanan dan keselambaan. - Foto BM oleh NUR DIYANA TAHA -

MASIH banyak yang ingin dipelajari bintang remaja Singapura, Syaz Smooth, atau nama sebenarnya Syah Riszuan Huslan, tentang seni mencipta lagu setelah mengikuti pengajian Diploma Ciptaan/Penulisan Lagu dan Penerbitan Lagu di institusi swasta, The Songwriter Music College (TSMC).

Tidak pernah peserta separuh akhir peraduan realiti Asia's Got Talent yang diadakan pada 2017 itu menduga beliau akan perlu menjana lebih banyak lagu sebagai artis rakaman kerana hobi asalnya hanya menyanyi.

Perjalanan hidupnya dan pandangan peribadinya tentang situasinya yang kerap kali dinilai orang dan ada kalanya terasa sunyi tersingkap dalam lagu terkini berjudul Lari.

Lagu itu dicipta bersama Syaz, 18 tahun, dengan penggubah lagu dan penerbit yang menggunakan nama pentas Flightsch.

Apakah yang mencetus ilham buat Lari?

Ikuti wawancara Berita Minggu (BM) dengan Syaz yang dikendalikan di pejabat Universal Music Singapore sekitar Odeon Towers.

Soalan (S): Ceritakan tentang 'Lari'. Bagaimana ilham buat lagu ini tercetus serta mengapa dipilih judul sebegini?

Syaz: Sebenarnya, ia mengenai kehidupan saya. Saya dambakan apa yang budak-budak biasa buat.

Secara umum, liriknya macam soal cinta yang biasa ada dalam kebanyakan lagu.

Tetapi apabila saya mendalami bidang penulisan lirik, boleh 'berdiri bulu roma'! Sebab ia benar-benar melahirkan apa yang terbuku dalam hati saya, yang selama ini saya pendam.

Dari segi penerbitan iramanya, anda boleh dengar irama disko, sesuatu yang saya senangi dan biasa dengar ketika dewasa.

Dari segi judul lagu Lari pula, saya memang minat filem-filem Batman. Ada banyak adegan kejar-mengejar yang menyeramkan dan 'cool'. Dari situ, saya dapatkan tajuk Lari dan kita abaikan tajuk asal iaitu Hilang.

S: Apakah cabaran menghasilkan lagu ini?

Syaz: Tidak semudah itu bikin lagu yang dapat orang kaitkan dalam hidup mereka. Saya masih perlu banyak belajar daripada Flightsch mengenainya.

Kalau boleh, saya nak pendengar selami apa yang ada dalam fikiran saya.

S: Apa yang dinantikan untuk tahun ini?

Syaz: Saya tak sabar nak tamat pengajian sebelum masuk Perkhidmatan Negara (NS) dan kemudian sambung belajar untuk dapatkan ijazah di Maktab Seni Lasalle.

Selain itu, saya juga baru tamat penggambaran telefilem khas Hari Ibu. Saya bawa watak anak lelaki pelakon Siti K yang tidak dengar kata dan nakal.

Saya bergandingan buat kali kedua dengan pelakon kanak-kanak, Mishall Kiara. Dia jadi adik saya.

Siti K membawa watak wanita yang baru bercerai dan menjaga dua anaknya.

Apa yang buat saya tercabar adalah watak saya yang suka menengking adik dan ibunya.

Alahai... macam mana nak buat perkara ni sedangkan saya manja dan selalu cakap baik-baik dengan ibu saya?

Saya banyak belajar daripada Kak Siti untuk jadi diri sendiri. Abang Fadhlur Rahman pula mengajar saya tentang lakonan. Kami bersama selama tujuh hari berturut-turut.

Drama ini lebih memberitahu ramai bahawa ibu bapa juga mempunyai tuntutan peribadi mereka sendiri yang anak kadangkala perlu fahami.

S: Apakah anda kadangkala rasa zaman kanak-kanak anda berlalu pergi begitu sahaja kerana sibuk berseni?

Syaz: Tak juga sebab saya suka apa yang saya usahakan selama ini iaitu menyanyi dan berlakon.

Cuma masalahnya kadangkala orang cepat menilai anak seni dan tekankan mesti nak disiplin dan tak boleh jadi diri sendiri.

Alhamdulillah, ibu membimbing saya dengan baik agar tahu bawa diri di mana-mana.

S: Sebagai artis di bawah naungan Universal Music, apa yang anda pelajari? Bagaimana asah daya persembahan?

Syaz: Kalau tak kerana Flightsch, saya tak kan berada di sini bersama Universal Music dan diwawancara di sini.

Bersama label mapan ini, saya dapat cari kesenian saya lebih daripada setakat menyanyi.

Saya bertemu rakan-rakan yang baik hati seperti Fariz Jabba yang mengajar saya mencari identiti sendiri dan unsur kesenian yang harus saya teroka lagi.

Dari segi persembahan untuk lincahkan gaya dan interaksi, saya belajar daripada Abang Rudy Djoe ketika beraksi menyanyi lagu Sudirman pada acara Konsert Persada Budaya di Wisma Geylang Serai (WGS).

S: Namakan tiga perkara yang ingin anda 'larikan diri'.

Syaz: Lari daripada kerja sekolah, orang negatif yang suka menilai dan kegagalan walau ia perlu. Sebab semua ini timbulkan stres dan menakutkan.

S: Mengapa kehidupan anda kini anda anggap sunyi?

Syaz: Saya tiada sahabat seperti di sekolah menengah dahulu. Di maktab muzik ini, ramai yang lebih matang. Saya pelajar paling muda.

'Wavelength' bicara kami berbeza. Namun, sesukar mana nak bikin lagu di rumah atau menyesuaikan diri dalam bilik darjah, saya tetap rasa muzik itu penawar.

Sesiapa yang nak ceburi bidang seni tidak harus mudah berputus asa. Pasti ada satu sudut di depan mata yang boleh anda tinjau untuk dalami minat, seni dan kekuatan anda.

BIKIN JURI TERPEGUN

Comel, tembam dan selamba.

Ramai yang mengikuti rancangan realiti AXN, Asia's Got Talent 2017, akan mengingati budak selamba bernama Syah Riszuan, yang mempesona.

Baru berusia 11 tahun ketika itu, Syah bagaikan penyanyi profesional apa lagi sewaktu mendendangkan lagu yang bukan eranya iaitu It's A Man's Man's Man's World, dendangan asal James Brown.

Dia membuat pengadil Jay Park, Anggun dan David Foster begitu kagum bagaimana budak sekecil ini mampu menghayati lagu lama dengan begitu yakin dan penuh gaya.

Video itu ditonton lebih 239,000 kali.

Lagu yang pernah dinyanyikan Michael Jackson dan Mariah Carey, I'll Be There, juga didendangkannya penuh karisma hingga membuat tiga pengadil terpegun sekali lagi.

"Suara anda akan berubah dan 'pecah' tetapi saya yakin nota rendah anda akan buat ramai gadis jatuh cinta pada anda," jelas Anggun dalam ulasannya buat Syah.

Menerusi peraduan inilah, timbul idea menjadikan nama pentasnya kelak 'Syaz Smooth'.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg