Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Keluarga tunai umrah setelah 4 bulan pandu van dari S’pura ke Saudi

Pandu lebih 28,000 kilometer rentas 10 negara, terima layanan mesra daripada penduduk tempatan
Nov 10, 2024 | 5:30 AM
Encik Fadli Abdullah menunaikan umrah bersama isterinya, Cik Mai Zhang, seorang muallaf, di Makkah, Arab Saudi.
Encik Fadli Abdullah menunaikan umrah bersama isterinya, Cik Mai Zhang, seorang muallaf, di Makkah, Arab Saudi. - Foto FACEBOOK 3G FAMILY ADVENTURE

Rancangannya untuk memandu van dari Singapura hingga sejauh Arab Saudi, dengan tujuan menunaikan ibadah umrah, mengundang banyak keraguan daripada orang di sekeliling dengan ada yang mempersoal sama ada benar perkara itu mampu dilaksanakan.

Manakan tidak, hal demikian jarang atau mungkin tidak pernah dibuat orang, dengan jemaah umrah lazimnya menaiki pesawat.

Namun, setelah lebih empat bulan meredah keadaan memandu di darat yang begitu mencabar, Encik Fadli Abdullah bersama isteri, anak dan ibu mentuanya selamat tiba di tanah suci dan mencapai hasrat mereka menunaikan umrah bersama pada 31 Oktober.

View post on Instagram
 

Dalam satu ‘campervan’ yang menjadi tempat mereka berlindung, tidur dan makan, keluarga empat beranak itu memandu lebih 28,000 kilometer merentas Malaysia, Thailand, Laos, China, Kazakhstan, Uzbekistan, Tajikistan, Afghanistan, Iran, Dubai dan Abu Dhabi di Amiriah Arab Bersatu, sebelum tiba di Arab Saudi.

Encik Fadli Abdullah (paling kanan) berkhemah bersama isterinya, Cik Mai Zhang (dua dari kiri), anaknya, Imaan Fadli, dan ibu mentuanya, Cik Ni’mat Wang, di tebing Sungai Zeravshan berdekatan bandar Jomboy di Uzbekistan.
Encik Fadli Abdullah (paling kanan) berkhemah bersama isterinya, Cik Mai Zhang (dua dari kiri), anaknya, Imaan Fadli, dan ibu mentuanya, Cik Ni’mat Wang, di tebing Sungai Zeravshan berdekatan bandar Jomboy di Uzbekistan. - Foto FACEBOOK 3G FAMILY ADVENTURE

Akui walaupun ujian demi ujian yang menggunung perlu ditempuh, ia tidak mengatasi kepuasan yang mengisi jiwanya tatkala dapat menjejakkan kaki di Makkah bersama keluarga tersayang.

“Saya rasa, ya Allah, kami sampai jua akhirnya. Setelah semua keadaan huru-hara yang diatasi, saya akhirnya dapat kerjakan umrah dengan anak saya, isteri saya, mentua saya. Dan perjalanan ini kami teruskan meski ada orang di sekeliling yang meragui kami, dan rasa saya ini macam ‘ye ye’ dengan van saya,” kata Encik Fadli tertawa sambil menggambarkan perasaannya yang terharu.

Tatkala dihubungi Berita Minggu (BM) pada 4 November, Encik Fadli, 47 tahun, masih berada di Makkah bersama isterinya, Cik Mai Zhang, 33 tahun; anak mereka, Imaan Fadli, empat tahun; dan ibu mentuanya, Cik Ni’mat Wang, 66 tahun; sebelum bergerak ke Madinah.

MISI PERJALANAN PULANG

Ditanya apa rancangan seterusnya, tanpa sedikit pun rasa serik, Encik Fadli dengan senyuman lebar menjawab bahawa beliau dan keluarga merancang melaksanakan misi seterusnya yang digelar beliau, Long Way Home, atau ‘Perjalanan Panjang Pulang Ke Rumah’.

“Bagi projek ini, kami akan jalan melalui Iran, Iraq, Turkey, Eropah, masuk daerah Scandinavia, Finland, kemudian Russia, China, menghala ke Singapura,” katanya.

Menurutnya, ini adalah laluan yang jauh lebih panjang berbanding dengan laluan singkat iaitu melalui UAE, Iran, Pakistan, India, Nepal, China sebelum menuju ke Singapura.

Bagaimanapun, beliau tekankan bahawa rancangan ini belum tetap dan boleh berubah bergantung kepada keadaan.

Tasik Balkhash di Kazakhstan merupakan salah satu tasik terbesar di Asia.
Tasik Balkhash di Kazakhstan merupakan salah satu tasik terbesar di Asia. - Foto FACEBOOK 3G FAMILY ADVENTURE
Masjid Besar Astana di Kazakhstan merupakan salah satu masjid terbesar di dunia.
Masjid Besar Astana di Kazakhstan merupakan salah satu masjid terbesar di dunia. - Foto FACEBOOK 3G FAMILY ADVENTURE

Buat masa ini, beliau sekeluarga akan mengambil pesawat pulang ke Singapura dahulu pada 28 November dan berada di tanah air selama sekitar sebulan bagi menguruskan hal peribadi dan tuntutan kerja.

Encik Fadli merupakan pemilik syarikat sukan permotoran The Hangout, dan Cik Mai Zhang adalah jurutera teknologi awan, atau cloud, yang aturan kerjanya adalah dari jarak jauh.

Pasangan suami isteri itu bersama anak dan ibu mereka akan kemudian pulang ke UAE untuk mengambil van yang dititipkan bersama kenalan mereka sebelum melaksanakan misi kedua Long Way Home.

DUGAAN DEMI DUGAAN

Menceritakan tentang pengalamannya, Encik Fadli berkata sememangnya banyak cabaran yang perlu ditempuh, antaranya ialah visa mereka tidak lepas, kegenjotan teknikal melibatkan van, keadaan jalan raya yang berlekuk-lekuk, dan anaknya jatuh sakit separuh jalan.

Van yang dipandu Encik Fadli Abdullah melalui kawasan pergunungan di Tibet, China.
Van yang dipandu Encik Fadli Abdullah melalui kawasan pergunungan di Tibet, China. - Foto FACEBOOK 3G FAMILY ADVENTURE
Encik Fadli Abdullah memandu van di daerah Kunlun, China, ditemani pemandangan gunung-ganang.
Encik Fadli Abdullah memandu van di daerah Kunlun, China, ditemani pemandangan gunung-ganang. - Foto FACEBOOK 3G FAMILY ADVENTURE

Memberi contoh, Encik Fadli menggambarkan pengalaman memandu di China sebagai salah satu tempoh yang benar-benar menguji ketahanan mental dan memerah tenaganya.

“Saya rasa penat sangat kerana kami waktu itu berjalan dengan rombongan lain. Ia berlangsung selama 28 hari dari mula kami masuk dari Laos sebelum menuju ke Kazakhstan.

“Tiap-tiap hari saya pandu 400km hingga 500km dan tiada waktu rehat.

“Kemudian dalam 18 hingga 20 hari, ia melibatkan altitud tinggi kerana kami di daerah Tibet. Altitudnya dalam 4,000 meter hingga 5,000 meter, jadi rasa sangat penat... bayangkan anda pandu ulang alik dari Singapura ke Kuala Lumpur tiap hari,” katanya, sambil menambah bahawa beliau perlu teruskan sahaja kerana tidak mahu ketinggalan atau menyebabkan kenderaannya ditarik balik.

LIHAT DUNIA, UBAH PERSEPSI

Walau banyak ujian melanda, tidak kurangnya kenangan manis yang dicipta.

Bagi Encik Fadli, pengalaman ini membuka matanya dan meyakinkannya bahawa seseorang tidak boleh percaya bulat-bulat andaian yang dibentuk terhadap sesebuah negara sebelum menjejakkan kaki ke sana.

Cik Mai Zhang mendukung anaknya, Imaan Fadli, sewaktu mereka berehat seketika dalam perjalanan ke Bamiyan, Afghanistan.
Cik Mai Zhang mendukung anaknya, Imaan Fadli, sewaktu mereka berehat seketika dalam perjalanan ke Bamiyan, Afghanistan. - Foto FACEBOOK 3G FAMILY ADVENTURE
Encik Fadli Abdullah berkunjung ke Masjid Biru di Mazar-i-Sharif, Afghanistan.
Encik Fadli Abdullah berkunjung ke Masjid Biru di Mazar-i-Sharif, Afghanistan. - Foto FACEBOOK 3G FAMILY ADVENTURE

“Apabila kami ingin masuk ke Afghanistan, orang ramai mempunyai andaian tempat itu ketinggalan zaman. Jadi apabila saya muat naik video yang dirakam di Kabul, orang ramai terpegun seolah-olah sukar percaya ia Afghanistan.

“Orang ramai mungkin menjangka ia berada dalam keadaan runtuh tetapi ia tetap mempunyai bangunan tinggi... ia negara moden yang indah sekali,” katanya yang mencatat pengalamannya di Facebook 3G Family Adventure.

Pengalaman memandu di Iran ditemani pemandangan indah gunung-ganang.
Pengalaman memandu di Iran ditemani pemandangan indah gunung-ganang. - Foto FACEBOOK 3G FAMILY ADVENTURE

DILAYAN SEPERTI VIP

Yang lebih menyentuh hati, kata Encik Fadli, adalah apabila beliau sekeluarga menerima layanan mesra daripada penduduk tempatan yang ditemui dari pelbagai pelosok dunia.

Meskipun mereka bersikap skeptikal apabila mendapat tahu keluarga Encik Fadli berasal dari Singapura dan sedang memandu menuju ke Arab Saudi, mereka tetap memberi layanan yang baik kerana tahu mereka berhajat menunaikan umrah.

Ada yang ajak untuk menjamu selera di rumah, ada yang mengajak mereka berjalan-jalan teroka tarikan di negara tersebut.

Encik Fadli Abdullah (kanan) dan keluarganya diundang ke rumah penduduk Kazakhstan untuk menjamu selera bersama.
Encik Fadli Abdullah (kanan) dan keluarganya diundang ke rumah penduduk Kazakhstan untuk menjamu selera bersama. - Foto FACEBOOK 3G FAMILY ADVENTURE
Padang pasir luas terletak di Abu Dhabi.
Padang pasir luas terletak di Abu Dhabi. - Foto FACEBOOK 3G FAMILY ADVENTURE

Malah, ada sekumpulan warga Singapura yang menetap di Abu Dhabi secara sukarela menaja penginapan hotel Encik Fadli sekeluarga selama tiga malam di negara tersebut apabila keluarga Encik Fadli tercari-cari tempat tinggal yang tidak terlalu mahal sambil menunggu van mereka diperbaiki.

“Kami dilayan bak VIP di banyak tempat, mentelah lagi kebanyakan negara yang kami kunjung adalah majoriti Muslim. Sebagai musafir dalam perjalanan buat tempoh yang panjang, mereka tahu destinasi kami dan mereka melayan kami dengan sangat-sangat baik, alhamdulillah,” katanya.

Beliau berharap dapat memberi inspirasi kepada orang lain dan menjadi bukti bahawa memandu dari Singapura ke Arab Saudi sesuatu yang mampu dicapai.

“Asalkan mereka mempunyai semangat mengembara dan sudah lama dambakan demikian, ia boleh dilaksanakan,” kata Encik Fadli.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg