DUA tahun lalu, penggiat muzik dansa elektronik (EDM) Singapura, Muhammad Ilham Jufri, yang lebih dikenali dengan nama pentas Inflake, mendapat pesanan Instagram daripada pemuzik muda Albania, Haidi Dervishi.
Haidi, 17 tahun, melahirkan rasa kagum dengan hasil kreativiti Ilham, 18 tahun, sejurus mendengar lagu-lagu yang disajikan di YouTube.
Itulah titik tolak di mana dua belia ini mampu 'klik' dan mula mengirim demo lagu kepada satu sama lain.
Ilham yang kini pelajar tahun pertama kursus Diploma Penerbitan Audio dari Maktab Seni Lasalle:
"Saya akan kirimkan bunyian rentak kepadanya manakala beliau pula hantar vokalnya kepada saya.
"Banyak lagu yang kami usahakan bersama tetapi satu lagu yang benar-benar saya suka kerana dapat kaitkan diri saya dengan seluruh aura irama dan liriknya adalah If You Were Mine.
"Haidi seorang penulis lirik lagu dan penyanyi yang benar-benar berbakat. Saya selalu kagum dengan hasil ciptaannya. Vokalnya memang kena bagi lagu ini.
"Rasanya tak akan ada orang lain yang boleh nyanyikan lagu If You Were Mine ini seindah Haidi. Saya malah yakin beliau akan berjaya dalam industri muzik dunia.
"Selain artis yang hebat, Haidi ialah sahabat baik yang selalu menyokong kerja seni saya."
Menurut Ilham, versi yang kedengaran di gedung digital Spotify adalah yang kedua dihasilkan. Versi pertama terlalu 'gelap' bahkan mencetus rasa suram yang kurang disenangi Ilham.
"Saya mencorak rentak lagu ini hasil memerhatikan titisan hujan membasahi jendela rumah saya. Biasanya saya bikin muzik di studio rumah, tetapi pada hari itu saya hanya mahu tukar angin.
"Saya bawa komputer riba saya dan duduk atas katil bersebelahan jendela. Harapan saya lebih banyak ilham dicurahkan," kongsinya.
Dicungkil pula sumber inspirasinya untuk lagu 'If You Were Mine', Haidi menjelaskan bahawa lagu itu berdasarkan kisah orang lain dan tiada kena- mengena dengan kehidupan peribadinya.
"Harapan saya agar mereka yang mendengar lagu ini dan mengamati liriknya akan dapat menemui diri mereka sendiri dalam kisah yang cuba disampaikan. Kemudian iramanya menjadi satu pelengkap 'mood' yang menyempurnakan lagu ini.
"Lagipun, kalau orang gembira dengan kerja seni saya, ia juga satu kebahagiaan buat saya," katanya lagi.
Beliau senang bekerjasama dengan Ilham yang sebaya bahkan melihat potensi rakannya itu untuk pergi jauh dengan EDM dan kerja penerbitan seni.
"Inflake (panggilannya buat Ilham) adalah sahabat baik yang saya yakini akan menjadi seorang penerbit hebat suatu hari nanti.
"Gembira saya dapat mengenalinya dan melihat perkembangannya dari tahun ke tahun serta mengusahakan projek seni bersama," tambah Haidi.
Ilham pula menyifatkan kerjasama yang tidak mengenal sempadan negara ini banyak dibantu kecanggihan teknologi masa kini.
TAK PERLU TEMU EMPAT MATA
Tanpa perlu bertemu empat mata di ruang yang sama dan hanya menggunakan panggilan video, sebuah lagu bersama mampu dicipta.
"Hanya perbezaan masa di negara masing-masing kadangkala menyukarkan panggilan video kami.
"Alhamdulillah, tahun lalu, saya dan teman-teman saya, Kubic, nshvll, Marty Lietz dan Milosz Adeszko berjaya menghasilkan pesta muzik dalam talian, Pesta Muzik Nolence.
"Kami dari negara berbeza seantero dunia. Urusannya memang sangat sukar. Ada kesulitan masa, undangan artis, kerja promosi dan banyak lagi kepayahan.
"Namun, kami gembira acara itu berjaya dengan penyertaan lebih 400 penonton menerusi khidmat penstriman langsung Twitch walaupun ia tempoh paling tertekan buat kami. Ada beberapa artis hebat yang ikut serta," jelasnya.
Pada masa yang sama, rezeki datang mencurah buat Ilham apabila karyanya diterima label rakaman dan syarikat kreatif bebas yang berpangkalan di Belanda, bitbird.
"Saya adalah peminat setia bitbird sejak mula meneroka dunia muzik elektronik. Apabila mereka umumkan acara Create Together V2 di mana artis perlu menghasilkan keratan lagu dalam tempoh sebulan dan mengirimkannya kepada bitbird bagi merebut peluang lagu berkenaan disertakan dalam satu album kompilasi, saya enggan ketinggalan menyertainya," tambahnya.
Ilham bertanya kepada teman-temannya dalam persada EDM sejagat jika berminat menghasilkan lagu bersama. Seorang temannya pula mengundangnya agar ikut serta dengan kolaborasi besar bersama lapan penerbit lain.
"Ini adalah kali pertama saya bekerjasama dengan ramai orang bagi satu lagu. Saya tak pasti bagaimana keadaannya, tetapi selepas kami berbincang, segalanya berjalan lancar.
"Kami kerap buat panggilan video menerusi platform digital Discord bagi mengarang lagu bersama, menyusun dan menerbitkannya serta bermain permainan dalam talian apabila perlu berehat.
"Apabila diberitahu lagu kami terpilih, saya benar-benar teruja. Baru nak mulakan kelas dalam talian seawal 8 pagi... tahu-tahu dapat e-mel yang menggembirakan. Menggeletar tangan saya, tetapi saya cuba tenangkan diri sebab enggan anggota keluarga saya yang sedang tidur terkejut!
"Bagi saya, inilah peluang terbaik bagi bakat muda seperti saya yang mempunyai impian mengeluarkan lagu di bawah label bitbird. Sebabnya, label ini sentiasa berusaha mendekati masyarakat dan membuka lebih banyak pintu rezeki buat golongan kreatif paparkan bakat kami," jelas Ilham.
Memandangkan lagu 'I Need U' ini hasil ilham ramai penerbit berbeza, setiap orang memiliki idea berlainan untuk disisipkan. Justeru, mereka mengikut contoh projek kolaborasi pemilik label bitbird, San Holo, yang bertajuk If Only sebagai rujukan.
Ilham juga tersentuh melihat lagu-lagunya, For You, Your Love dan Something About You disusun semula atau diberi sentuhan 'remix' oleh ramai artis lain serata dunia.
TERSENTUH
"Saya tersentuh apabila beberapa artis hebat ini sanggup luangkan masa memberi versi mereka sendiri pada hasil ciptaan saya. Betapa muzik itu menyatukan dunia.
"Apabila lagu pertama saya tahun ini, Magic, disertakan dalam senarai lagu pilihan Editor Spotify, ia juga satu kesyukuran.
"Saya ingin perhalusi kemahiran saya memetik gitar dan enggan berlengah-lengah dengan proses membereskan lagu ciptaan saya.
"Salah satu impian terbesar saya adalah membuat persembahan di pesta muzik di Bali. Saya juga ingin kembara dunia dengan muzik saya serta bertemu semua teman seni dari serata dunia yang selama ini berbicara di alam maya," ujar Ilham lagi.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg