LEBIH 60 tahun lamanya, pelukis cat air veteran di Singapura, Idris Ali, menyajikan karya yang memaparkan seni bina bangunan bersejarah mahupun landskap saujana mata memandang.
Namun buat julung-julung kalinya, mata pengamat seni berpeluang menjamah karya dan sketsa hitam putih yang dihasilkannya dari tahun 1970-an hinggalah kini.
Sekitar 20 kerja seni ini dipamerkan di balai seni Maya Gallery sempena pameran solo Hitam Putih sejak 6 Januari lalu hingga 6 Februari ini.
Pameran yang disokong Majlis Seni Kebangsaan (NAC) ini adalah sebahagian acara Minggu Seni Singapura yang diadakan dari 6 Januari lalu hingga Ahad ini.
Kurator pameran ialah Cik Vanessa Yeo.
Ketika ditemui Berita Harian di Maya Gallery baru-baru ini, Idris, 79 tahun, yang mula melukis pada usia 10 tahun ketika membesar di Kampong Wak Tanjong, berkata:
"Dalam pameran kali ini, saya kembali pada asas lukisan atau lakaran sketsa saya yang bermula dengan garisan sahaja.
"Daripada garisan, terhasillah lukisan hitam putih yang juga boleh menjadi bahasa seni untuk berkomunikasi dengan mereka yang menyaksikan kerja seni saya.
"Kebiasaannya saya palit warna-warni cat air pada kertas untuk lukisan cat air pemandangan dan bangunan.
"Tapi mata orang akan lebih tertumpu pada warna yang terang benderang daripada mengamati bentuk asas lukisan saya seperti bangunan pencakar langit atau jalanan yang sibuk dengan orang membeli-belah seperti di Chinatown atau Little India."
Secara perlambangan juga, judul pameran Hitam Putih ini juga menunjukkan kisah 'hitam putih' kehidupan yang penuh suka duka dan pahit manisnya.
Di atas desakan kewangan pada masa mudanya, Idris tidak dapat menghadiri latihan seni formal tetapi bertuah dapat belajar daripada pelukis veteran seperti S. Mahdar, Mas Ali Sabran dan S. Mohdir.
Sebagaimana katanya:
"Sekitar usia saya 20 tahun, saya rajin ke balai rakyat di Sims Avenue untuk belajar asas lukisan daripada S. Mahdar. Bayarannya cuma 10 sen bagi setiap kelas yang dikendalikan selama dua jam.
"Selebihnya, saya perlu belajar sendiri daripada buku seni lukis atau mengamati karya orang lain dan berlatih."
Dalam pameran Hitam Putih ini, beliau turut mendedikasikan satu sudut dengan lukisan potret hitam putih tiga mentornya yang sudah tiada iaitu pengasas Angkatan Pelukis Aneka Daya (Apad), Abdul Ghani Abdul Hamid, S. Mohdir dan Rohani Ismail.
Beliau menyertai Apad pada usia 18 tahun pada 1962.
"Saya bersyukur dapat kenali tiga insan seni ini yang banyak mempengaruhi lukisan saya.
"Saya mengenali mereka sewaktu saya masuk Apad dan turut kendalikan kelas lukisan buat pelajar. Masing-masing memiliki kemahiran tersendiri.
"Mohdir bagus dalam lukisan cat air dan ilustrasi manakala Rohani pula tangkas dalam menghasilkan potret yang disiapkan dengan menggunakan cat air, pastel atau arang.
"Ghani pula serba boleh dalam soal seni. Beliau pelukis dan penulis, menghasilkan buku dan naskhah drama. Lukisannya lebih pada seni abstrak yang ditakrifkan mengikut daya tatapan si pemerhati," cerita Idris.
Sewaktu mudanya, kemahirannya membantunya untuk melaksanakan tugas terperinci sebagai pelakar ilustrasi dan pereka visual selama 20 tahun dalam industri pengiklanan Singapura.
Beliau membina kerjaya di agensi iklan ACE Advertising dan Ted Bates Singapore.
Coretan produk untuk kempen iklan turut kelihatan dalam beberapa buku sketsa Idris yang turut beliau pamerkan.
"Mata perlu awas memerhatikan setiap sudut terperinci subjek yang ingin dilukis. Kena tahan cuaca panas atau bersiap sedia kalau hujan turun sewaktu khusyuk melukis secara langsung bangunan atau lorong sibuk di depan mata.
"Kalau apa yang dilukis dapat merakam sejarah lama dan jadi bahan rujukan atau menggembirakan orang, itulah detik manis buat saya," katanya yang menerima Hadiah Warisan, yang julung kalinya disampaikan Yayasan Warisan Melayu (MHF) pada 2021.
Lebih 80 pameran berkumpulan di Singapura, Malaysia dan Indonesia sudah disertainya.
Antara detik manis buatnya adalah menghasilkan potret mantan Presiden Singapura, Encik Wee Kim Wee dan isteri.
Kini, beliau bersyukur dapat bergerak bersama pengasas dan pemilik bersama Maya Gallery, Encik Jeffrey Wandly dan isteri, Cik Masturah Sha'ari, yang membantunya memasarkan karyanya dan mendapatkan projek ilustrasi buku.
Lakaran ilustrasi Idris boleh dilihat dalam beberapa buku seperti Siri Cerita di Geylang Serai, The Mango Tree dan Leluhur: Singapore's Kampong Glam, yang memenangi Hadiah Sejarah Singapura NUS 2021.
Selaku kurator, Cik Yeo mengulas:
"Saya berbesar hati dapat mengamati karya seni Pak Idris yang kaya nilai sejarah dan boleh menjadi rujukan bagi generasi muda.
"Ini memandangkan beberapa karya yang beliau lukiskan memaparkan bangunan atau jalanan lama pada era 1970-an yang tidak lagi wujud di Singapura. Saya anggap Pak Idris sebagai sejarawan."
Encik Jeffrey pula berkata beliau dan isteri akan menyokong segala usaha Idris dalam menyampaikan intipati seni asas daripada lukisan hitam putihnya.
"Beliau adalah legenda seni yang harus kita ketengahkan dan hargai kerana ilmu dan pengalamannya yang berharga," kata Encik Jeffrey.
► Pameran Hitam Putih diadakan dari 12 tengah hari hingga 6 petang (Selasa hingga Sabtu) di Maya Gallery, 57 Genting Lane #05-00. Satu sesi perbincangan bersama Encik Idris juga diadakan antara 3 hingga 4 petang di Maya Gallery esok. Sesi 'masterclass' pula berlangsung pada 11 pagi hingga 1 petang, 28 Januari ini.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg