SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Kenang nenek yang tiada pada majlis tunang

Kenang nenek yang tiada pada majlis tunang

Sep 11, 2022 | 8:11 AM

Kenang nenek yang tiada pada majlis tunang

HARI BAHAGIA: Afrah Athasha (duduk di kanan) gembira melangkah ke fasa pertunangan bersama jejaka pilihan, Muhammad Muazzin (duduk di kiri). Bersama mereka keluarga Muazzin.
HARI BAHAGIA: Afrah Athasha (duduk di kanan) gembira melangkah ke fasa pertunangan bersama jejaka pilihan, Muhammad Muazzin (duduk di kiri). Bersama mereka keluarga Muazzin. -

WALAUPUN hati penyanyi, 'rapper' dan penggubah lagu Singapura, Afrah Athasha Aman Shah, berbunga-bunga cinta dek pertunangannya dengan jejaka idaman, Muhammad Muazzin Midzamuddin, baru-baru ini, sekelumit kesedihan tidak dapat disembunyikan.

Beliau yang dikenali dengan nama pentas Zalelo, 23 tahun, rindukan kehadiran arwah neneknya, Cik Shaikha Noor Sheikh Hussein Alkhatib, yang meninggal dunia pada usia 95 tahun kerana Covid-19 baru-baru ini.

Turut berkongsi kesedihan yang sama ialah Muazzin, 26 tahun, seorang jurutera, yang kehilangan neneknya, Cik Khairon Mohd Ishak, 87 tahun, kerana koronavirus juga pada Ramadan lalu.

"Saya rasa lengkap dengan kasih sayang hari ini tetapi tidak dapat melupakan nenek yang menjadi tunggak dan pendorong pertama saya dalam bidang muzik.

"Alangkah indahnya kalau beliau masih bersama kami. Saya ingat begitu terujanya nenek menanti hari bahagia saya dan Muazzin. Nenek letakkan baju biru yang dirancang untuk dipakai di atas katilnya mengikut tema majlis pertunangan saya.

"Sebak di dada saya Allah sahaja yang tahu. Nenek agak prihatin tentang jodoh saya tetapi senang dengan keperibadian dan budi baik Muazzin. Namun, saya hanya mampu mendoakan beliau dan nenek Muazzin berada dalam kalangan mereka yang beriman. Allah lebih menyayangi mereka," jelas Afrah ketika ditemui pada majlis pertunangannya di Into The Woods@213 Lavender Street.

Mengulas tentang pertunangannya bersama bekas rakan pelajar di Politeknik Temasek dahulu, Afrah tertawa dan berkata:

"Kami berkenalan di Lapangan Terbang Changi lebih enam tahun lalu. Dia di Starbucks, saya di Kopitiam selepas bikin lagu 'cover' dengan kawan saya.

"Di sekolah, saya tak jumpa Muazzin. Tapi dia adalah rakam video saya menyanyi di sekolah senyap-senyap dahulu! Agaknya terpikat dengan suara saya!

"Tapi saya hargainya sebagai tunggak kehidupan yang amat memahami kerjaya seni saya, mendorong saya ke arah kebaikan dan mendekatkan saya dengan agama."

Muazzin pula sukakan personaliti ceria, ramah, lucu dan kegigihan Afrah yang menjadikannya insan lebih baik hari demi hari.

"Apabila berbual dengannya, saya rasa selesa dan terhibur. Kita boleh bersembang panjang dan saling mendengar keluh-kesah satu sama lain. Kami saling mempercayai.

"Beliau ada kerjayanya sendiri, saya pun ada minat saya sendiri. Kasih sayang kami pupuk sekian lama dan kami berusaha untuk kenali cita rasa masing-masing sepanjang enam tahun berkenalan," ujarnya.

Majlis pertunangan tempoh hari buat Afrah adalah yang paling menggembirakan kerana beliau melihat buat kali pertama selepas hampir 20 tahun, ibu bapanya (artis 1980-an, Aman Shah dan Farah Diba) yang sudah berpisah bertemu semula.

"Saya risau dan gementar bagaimana keadaannya. Sebab mereka memang sudah lama tidak berjumpa. Alhamdulillah, mereka mampu mengetepikan masa silam dan berinteraksi seperti dua kawan lama.

"Kerukunan keluarga walau apa jua keadaan menjadi harapan saya agar komunikasi kita berterusan.

"Covid-19 banyak mengajar saya untuk hargai setiap orang dalam hidup saya sebab keadaan memang tidak menentu. Kita boleh kehilangan sesiapa dalam sekelip mata.

"Ibarat saya dan nenek. Saya di Malaysia bagi satu persembahan dan terpaksa bergegas pulang untuk melihatnya di balik kaca wad kerana langkah keselamatan Covid-19. Ketika jenazahnya dikebumikan pun, saya hanya dapat lihat dari kejauhan," tambahnya.

Afrah dan Muazzin merancang mendirikan rumah tangga tahun depan.

Bagi Afrah yang gembira melihat lagunya Cinta Vintaj mampu menembusi pasaran Malaysia, lebih banyak projek menarik menantinya tahun depan.

"Saya akan terus bekerja keras atas usaha sendiri dan bukan kerana saya merupakan anak Aman Shah. Saya tidak akan menggunakan kepopularan bapa saya dahulu untuk dikenali dalam persada seni. Biarlah ia atas keringat saya sendiri," jelasnya.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg