Subuh
5:31
Syuruk
6:54
Zuhur
12:56
Asar
4:20
Maghrib
6:57
Isyak
8:11
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

ARTIS SEBERANG

Kenangan L. Ramli tentang 'Dara Pujaan', S'pura dan peminat

Penyanyi lagu 'Ayahku Kawin Lagi' penyeri 'Malam Pop Yeh Yeh' di Esplanade
Mar 01, 2022 | 05:30 AM



BAK pucuk dicita, ulam mendatang. Setelah lapan tahun tidak berkunjung ke Singapura untuk membuat persembahan, biduan dari seberang yang dikenali dengan lagu pop yeh yeh Dara Pujaan, Datuk L. Ramli dapat mengubati kerinduan menyanyi buat peminatnya di sini.



Jumaat ini, L. Ramli atau nama sebenarnya Ramli Lazim, 80 tahun, bakal mewarnai pentas konsert Malam Pop Yeh Yeh di Dewan Konsert Esplanade.



Konsert sejam setengah yang turut dijayakan penggiat muzik pop yeh yeh (era 1960-an) iaitu Asmah Atan, Asmuri Lawi (Kugiran The Hornets), June Abdullah dan Rudi Salim merupakan sebahagian program PopLore - A Year of Singapore Popular Music.



Program Esplanade ini meneroka dan meraikan semarak persada muzik pop Singapura seawal tahun 1960-an.



Ketika dihubungi Berita Harian melalui panggilan jauh ke Alor Setar, Kedah, Ramli yang turut dikenali kerana lagu Siapa Bilang Aku Tak Sayang dan Ayahku Kawin Lagi, berkata:



"Sememangnya saya terasa rindu untuk membuat persembahan di Singapura. Lagi-lagi beberapa tahun ini tak dapat menyanyi di luar kerana Covid-19.



"Kali terakhir diundang untuk menghibur peminat di Singapura pun sudah agak lama sekitar 2014.



"Seronok dibawa jalan-jalan dan makan di Pasar Geylang Serai ketika itu. Pastinya sebagai 'orang lama' atau 'otai', perasaan takut naik pentas tu dah tak ada. Kita biasa sahaja sebab sudah berpuluh tahun menghibur. Cuma sedihlah ramai penggiat pop yeh yeh sudah tiada atau uzur. Dah tinggal segelintir sahaja."



Mengimbas kembali detik beliau mula menyanyi, Ramli yang dilahirkan di Sungai Nibong Besar, Pulau Pinang, menjelaskan Orkes Sri Melur merupakan pancaragam pertama yang dianggotainya.



"Pada era 1960-an, ramai anak muda yang terpengaruh dengan pukulan muzik bintang barat, Cliff Richard, yang kami tonton di kaca televisyen hitam putih. Itulah antara pengaruh muzik pop yeh yeh selain The Beatles.



"Orkes Sri Melur pula terbentuk dengan memainkan irama Hindustan berupa lagu-lagu Mohammed Rafi dan Lata Mangeshkar. Mereka nyanyi Hindustan. Kami buat versi Melayunya.



"Saya banyak menyanyi di jemputan atau kenduri kahwin serta 'funfair'. Kita muda lagi, suka merayap-rayap sana sini. Seronok menyanyi di 'funfair'," jelasnya.



Sepanjang kerjayanya, Ramli turut membuat persembahan bersama Kumpulan Delima dan Orkes Teruna Ria.



Bersama Teruna Ria, terakam lagu ikonik Dara Pujaan yang pernah menduduki tangga 'Nombor 1' carta lagu popular selama 14 minggu berturut-turut di Malaysia.



Menurut Ramli, di Singapura, lagu ini juga bertahan selama enam minggu dalam program kendalian juruhebah yang sinonim dengan muzik pop yeh yeh, Mohd Ismail Abdullah (MIA).



Kerana itu, beliau menghargai jasa beberapa temannya di Radio Televisyen Singapura (RTS), MIA dan Osman Abdullah yang membantu mempromosikan lagu ciptaan bersama dirinya dan Allahyarham Ismail Aziz dari Orkes Sri Melur.



"Lagu Dara Pujaan ini memang tiada kena mengena dengan hidup sesiapa. Ia pemerhatian si anak muda tentang teruna yang memuja si dara.



"Kebanyakan masa, saya dan band diminta membuat persembahan di RTM Pulau Pinang hinggalah disunting untuk rakam lagu ke piring hitam di Kuala Lumpur hasil lamaran seorang pengusaha Cina dari Ipoh, Perak," jelasnya.



Dalam era baru, Ramli juga pernah merakam album Kenangan Bersama Dara Pujaan yang menampilkan 100 peratus lagu berirama 1960-an, yang mengandungi 12 lagu yang diberi nafas baru oleh Rosli Selasih.



Ditanya mengenai betapa ramainya penyanyi bernama Ramli, Ramlee dan Ramlie sehingga perlu membezakannya dengan meletak huruf, misalnya L. Ramli, P. Ramlee dan A. Ramlie, beliau berkata:



"Huruf-huruf tu bukan kerana apa... nak glamor. Pakai nama tu masa menyanyi di RTM Pulau Pinang. Saya sekolah sampai darjah enam, bukan sekolah tinggi atau sekolah Inggeris.



"Tapi kerana nama Ramli tu ibarat bawa tuah, dapat juga buat persembahan '3 Ramli/Ramlee/Ramlie' bersama Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan Allahyarham A. Ramlie.



"Kami buat persembahan di Dewan Bahasa dan Pustaka pada 1972, setahun sebelum P. Ramlee meninggal dunia. Setiap seorang menyanyi dua lagu.Saya kenali anak saudara P. Ramlee yang sama-sama bergiat dalam band, Bashir Ahmad.



"Pernah juga dijemput menyanyi bersama Puan Sri Saloma. Ada orang kata suara saya boleh bawa lagu P. Ramlee. Tapi saya tekankan, saya bukan ikut-ikut suara P. Ramlee atau nak jadi klon. Tapi saya menyanyi mengikut lenggok lagu asal beliau. Sebab itu kedengaran macam mirip...sama tapi tak serupa," kongsinya lagi.



Ketika itu, Ramli tidak menyanyi sahaja malah bertugas sepenuh masa sebagai penolong makmal x-ray di Hospital Pulau Pinang dan selanjutnya sebagai atendan pergigian di klinik kerajaan sekitar Estet Perindustrian Mak Mandin di Butterworth sehingga bersara.



"Saya sudah biasa dengan keadaan pesakit datang nak bergambar atau ada yang nak belanja makan sarapan atau tengah hari di gerai berdekatan tempat kerja atau kantin. Tak perlu kita nak sombong.



"Kerana peminat, kita dapat rezeki. Macam-macam yang saya terima daripada peminat sebagai hadiah seperti cincin, rantai, baju dan sut. Ada juruterbang yang ke luar negara dan sempat belikan topi 'cap' dari mana-mana destinasi yang dikunjungi.



"Kerana kerjaya seni, saya juga diundang ke acara seperti majlis kahwin dan majlis hari lahir orang kenamaan. Judul lagu seperti Dara Pujaan pun turut diabadikan pada kapal peribadi milik seseorang ini. Semua rezeki saya syukuri," tambahnya.



Ramli mempunyai empat anak dan 15 cucu serta menghabiskan usia persaraannya kini dengan hobi memikat burung tekukur dan merbuk di hutan bersama sebuah kumpulan pemikat burung.



Pada Oktober 2020, beliau kehilangan isterinya, Datin Kamariah Yatin, yang mengusahakan perniagaan Nasi Lemak Dara Pujaan yang dikendalikan anak bongsunya kini.



Selain nasi lemak, nasi minyak, nasi tomato dan nasi hujan panas turut dijual.



"Isteri saya mengalami angin ahmar selama 10 tahun. Dalam keadaannya sakit, berkerusi roda dan terlantar, beliau meminta saya berumah tangga buat kali kedua agar ada yang dapat menguruskan makan pakai saya khususnya apabila perlu menghadirkan diri ke persembahan.



"Justeru pada 2015, saya berumah tangga dengan isteri saya kini, Ramlah Man, yang akan menemani saya buat kali pertama di Singapura nanti," jelasnya.




Tiket $30 bagi 'Malam Pop Yeh Yeh' pada 8.30 malam, 4 Mac ini boleh ditempah di laman Esplanade dan Sistic.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >