Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Kenangan manis Zaiton apabila 'dihampiri' Elvis dalam acara San Francisco

Meskipun sudah lama meninggalkan bidang seni secara professional, kededua bintang veteran ini masih mengekalkan identiti sebagai anak seni yang disiplin dan menjaga mutu penyampaian apabila diwawancara.Apakah kisah silam yang menyentuh jiwa ketika berurusan dengan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang disifatkan sebagai mentor? Bagaimana keadaannya apabila berada di khalayak ramai sama ada setelah menutup tirai kerjaya seni atau sewaktu menjalankan amanah sepenuh masa dalam bidang lain? Ikuti perkongsian seniwati kelahiran Singapura Zaiton Abdullah dan biduanita Suhaily Shamsuddin bersama BERITA MINGGU.
Jan 08, 2023 | 05:30 AM



SETIAP kali menonton televisyen dan terpampang pula wajah Raja 'Rock And Roll' Elvis Presley menyanyikan lagu It's Now Or Never, anak-anak seniwati Zaiton Abdullah akan mengusiknya, "Mak...itu mak punya 'boyfriend'!"



Tertawa Zaiton, 85 tahun, dibuatnya mengenang peristiwa silam di mana Elvis betul-betul menyanyi di depannya dalam satu acara yang dihadiri sekitar San Francisco, Amerika Syarikat.



Sebagaimana kongsi pelakon filem klasik era P. Ramlee seperti Bujang Lapok, Ibu Mertuaku dan Anakku Sazali itu dalam sesi podcast Berita Harian, #NoTapis:



"Entah macam mana dalam ramai orang di situ, Elvis boleh menuju ke arah saya yang pakai baju kebaya. Mungkin dia tak pernah nampak baju tradisional ini dan tertanya-tanya 'perempuan ni bangsa apa'?



"Lagu It's Now Or Never itu didendangkan sambil dia seakan mengharap kita datang pada dia. Tapi seganlah. Macam mana terpaku pun kita dengan bintang macam Elvis, kita cuma bangun tanda hormat. Tak adalah sampai nak menari sama.



"Sampai sekarang, kenangan Elvis nyanyikan saya itu akan terpahat di ingatan. Asal buka tv dan nampak muka Elvis, saya tersenyum-senyum sendiri sambil anak saya mengusik!"



Zaiton adalah satu-satunya pelakon Melayu yang dipilih bagi mewakili Malaya (Malaysia dan Singapura) ke Pesta Pacific di San Francisco, Amerika Syarikat, selama sebulan di atas tajaan syarikat penerbangan antarabangsa terbesar, Pan American Airways (kini Pan American World Airways).



Undangan sebagai Duta Filem Melayu itu diterima buat dua tahun berturut-turut.



Menurut Zaiton lagi, pengurus Malay Film Productions (MFP) yang memaklumkannya bahawa beliau dipilih setelah pejabat di Kuala Lumpur melihat gambarnya.



"Pendek kata, saya puas melancong ke Amerika. Saya melawat hab filem di Hollywood dan Hawaii. Sempat pergi Guam dan Jepun.



"Saya jumpa Rock Hudson, Elizabeth Taylor, John Wayne, Tony Curtis, Gregory Peck dan macam-macam pelakon lagi.



"Mat Salih ni susah nak sebut nama saya Zaiton. Jadi, mereka panggil dengan nama singkatan Zaza. Tapi saya puji mereka sebab hormatkan wanita," jelasnya lagi.



Pada usia 85 tahun, Zaiton masih kelihatan sihat berjalan tanpa bantuan tongkat atau kerusi roda.



Keanggunannya ketika bergambar masih menyerlah.



Beliau dilahirkan pada 2 April 1937 dan membesar di kawasan Still Road.



Tawaran moyang dua cicit ini menggalas amanah sebagai bintang filem terjadi ketika beliau belajar menjahit dan menyulam di Geylang Serai.



Suami seniwati Mariani ketika itu, H.M. Rohaizad, adalah yang sering datang ke situ untuk meninjau sesiapa yang dirasakan sesuai untuk dijadikan bintang filem.



Zaiton menjalani sesi uji bakat dan muncul dalam filem Kipas Hikmat pada 1955 sebagai pencerita pada awal dan penghujung cerita.



Beliau kemudian berpasangan dengan Yusof Latiff dalam filem Jubah Hitam.



Pada 1955 juga, Zaiton menjayakan filem Abu Hassan Penchuri.



"Saya beritahu Rohaizad saya memang tak pandai berlakon. Apabila tanya mak, mak izinkan saya cuba nasib sebagai bintang filem di Studio Jalan Ampas.



"Saya jalani ujian layar perak atau 'screen test' bagi Abu Hassan Penchuri. Dua tiga hari selepas itu, dipanggil untuk Jubah Hitam pula.



"Selepas itu, satu demi satu filem ditawarkan kepada saya. Yang bikin saya teruja adalah berlakon dengan nama besar, Tan Sri P. Ramlee.



"Saya perlu jalani ujian layar perak bersama Ramlee. Dapat peranan sebagai Tun Teja...ingatkan Hang Tuah suka kita, rupanya Hang Tuah nak kita jadi milik raja!" ceritanya sambil tertawa.



Peranan tersebut membawa pada Anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik di Pesta Filem Asia Pasifik 1957 di Jepun.



"Tak sangkalah watak Tun Teja membawa kejayaan. Selepas itu, saya diberi watak-watak lain lebih mencabar dalam Ibu Mertuaku dan Anakku Sazali yang memerlukan saya menangis," jelasnya.



Apa yang menggalakkan adalah walaupun kerjaya lakonan Zaiton cuma selama 13 tahun sahaja, ramai yang mengingatinya kerana watak ikonik Zaiton (Jeton) dalam Bujang Lapok; Chombi dalam Ibu Mertuaku; Tun Teja dalam Hang Tuah dan Mahani dalam Anakku Sazali.



Dengan pendapatan $500 sebulan dan tambahan $1,000 setelah selesai sesebuah filem, Zaiton berupaya membeli kereta yang beliau pandu dari rumahnya ke Studio Jalan Ampas ketika itu.



"Saya tak tahulah apa yang membuatkan orang pilih saya sebagai pelakon dalam pelbagai filem 'pecah panggung' ini. Mungkin muka saya nampak Melayu benar atau perwatakan saya kena dengan filem itu.



"Saya tandatangani kontrak tiga tahun bersama MFP. Setiap filem akan bawa kenangan manis atau melucukan.



"Semasa bikin filem Ibu Mertuaku, Ramlee ingatkan saya agar tidak tinggalkan kesan gincu bibir pada bajunya dalam adegan Chombi menangis dan memeluk Abang Kassim.



"Kata dia, 'ada ke nanti dia dan Norizan (isteri Ramlee ketika itu) bergaduh pula!" tambah Zaiton.



Dalam filem Anakku Sazali, walaupun babak menyanyi Mahani tidak dilakukan sendiri, beliau tetap perlu menghafal lirik dan mengkumat-kamitkannya ibarat beliau nyanyikan sendiri lagu itu.



Berlakon memang banyak godaannya tetapi Zaiton tegas tidak membiarkan hero gandingannya mengambil kesempatan setiap kali mereka ingin mendekatinya untuk ajak keluar atau bercinta.



"Detik paling mengejut adalah ketika saya sedang menjalani penggambaran 'Raja Bersiong' di Kedah. Tak sangka itulah filem terakhir. Kami diberitahu Studio Jalan Ampas akan ditutup ketika itu.



"Saya lebih kasihankan pekerja studio yang terpaksa bawa teksi atau mencari kerja lain sebab studio ditutup.



"Bagi saya, tak mengapa sebab kita perempuan dan sudah bersuami. Kita ambil sahaja ketentuan Tuhan ini untuk luangkan lebih masa di rumah bersama anak-anak.



"Selalu sibuk tinggalkan keluarga untuk bekerja sampai ibadah pun ketinggalan. Saya pun dah tawar hati nak berlakon walaupun ada pihak minta saya berhijrah ke Malaysia atau sertai Cathay-Keris.



"Ada yang minta saya kembali berlakon drama televisyen. Tapi saya memang dah tak nak lagi. Alhamdulillah, saya dan suami mengerjakan haji pada 1980 dan dapat juga melancong ke Mesir," tambah Zaiton yang mempunyai lima anak hasil dua perkahwinan dengan sasterawan Abdullah Hussain dan usahawan Syed Abdullah Alkaff.



Kini, setiap kali menonton filem klasik di televisyen, beliau menitiskan air mata bukan kerana mengenang lakonannya tetapi lebih kerana mengingati sahabat seni yang sudah meninggal.



"Sedih bila tengok Pendekar Bujang Lapok dan terpandang muka Kak Momo Latiff. Ramai teman saya yang sudah tiada," jelasnya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >