SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Bina jenama sendiri berkat dorongan keluarga

Bina jenama sendiri berkat dorongan keluarga

Penyanyi Mansor Warren bangun tukikan dalam lagu balada, enggan dibayangi kepopularan abang 'rocker' legenda Hanafie Warren
Oct 2, 2020 | 5:30 AM

Bina jenama sendiri berkat dorongan keluarga

SUMBER MOTIVASI: Penyanyi Mansor Warren (kiri) banyak mendapat galakan berseni hingga ke hari ini hasil kata-kata perangsang isteri, Harianti Abdul Hamid, dan anak-anaknya yang juga suka berkaraoke, Nur Afriena dan Muhd Aniq Danish. - Foto BH oleh KEVIN LIM
SUMBER MOTIVASI: Penyanyi Mansor Warren (kiri) banyak mendapat galakan berseni hingga ke hari ini hasil kata-kata perangsang isteri, Harianti Abdul Hamid, dan anak-anaknya yang juga suka berkaraoke, Nur Afriena dan Muhd Aniq Danish. - Foto BH oleh KEVIN LIM -

Mereka datang daripada keluarga seni dengan adik-beradik yang juga berkecimpung aktif dalam dunia muzik. Di sebalik kepopularan abang-abangnya, Joe Salim dan Hanafi Warren dalam persada muzik Nusantara, Mansor Warren ingin mencipta jenama sendiri dan aktif di aplikasi karaoke Smule. Kalau abangnya Fazli Sapuan lebih ke depan sebagai penyanyi kumpulan rok Klutz, Faizal Sapuan pula lebih senang berada di belakang tabir sebagai penggubah lagu dan penulis lirik lagu buat bakat muda dan pelawak. BERITA HARIAN melaporkan kisah mereka.

DARAH seni mengalir dalam diri bakat tempatan Mansor Warren yang merupakan anak bongsu dalam 13 adik-beradik.

Abangnya Joe Salim, daripada kumpulan Matahari yang popular dengan lagu Hati Luka.

Seorang lagi abangnya yang memiliki suara emas hingga ke hari ini adalah 'rocker' Hanafie Warren daripada kumpulan Unwanted dan dikenali kerana lagu seperti Penyesalan dan Terperangkap Dalam Sinaran.

Ada juga pemain bes legenda daripada kumpulan Sweet Charity, Allahyarham Wahib Warren, dalam kalangan adik-beradiknya. Wahib juga adalah qari pertandingan musabaqah peringkat kebangsaan.

Mansor, yang menyambut ulang tahun ke-48 hari ini, menjadikan perjalanan seni abang-abangnya itu sebagai sumber inspirasi.

Beliau, yang bangga dengan pencapaian mereka, sering juga dibandingkan dengan Hanafie, tetapi bahagia mencipta jenama sendiri khususnya menerusi aktiviti menyanyi di aplikasi Smule.

Baru-baru ini, Mansor, ayah dua anak remaja, Nur Afriena, 14 tahun; dan Muhd Aniq Danish, 16 tahun, turut muncul dengan 'single' terkini, Cinta Setengah Mati.

Lagu ini dipertandingkan dalam rancangan carta lagu Melayu Singapura di dalam talian, Carta Dasyat Giler.

Masa hujung minggu Mansor juga banyak terluang bersiar-siar dan menyanyi karaoke dengan isteri, Harianti Abdul Hamid, 40 tahun, dan dua anak mereka.

Ikuti wawancara berikut dengannya.

Soalan (S): Bilakah Mansor mula aktif menyanyi?

Mansor (M): Saya mula aktif menyanyi ketika di Sekolah Menengah Dunearn Technical.

Abang Hanafie dan Abang Joe memberi saya semangat dan merupakan inspirasi saya hingga ke hari ini.

Mereka memang idola saya. Orang biasanya akan banding-bandingkan saya dengan Abang Hanafie.

Sungguhpun begitu, saya enggan dibayangi imej Abang Hanafie yang memang disegani dalam persada muzik Nusantara.

Beliau ada cara sendiri, saya pun ada gaya sendiri. Kami tiada persamaan kerana konsep dan genre muzik kami berbeza.

Saya lebih pada lagu balada, beliau pula memang condong pada genre rok.

S: Pernahkah Mansor memasuki pertandingan?

M: Dari dahulu lagi, saya memang tidak suka memasuki peraduan menyanyi kerana saya agak pemalu berdendang di khalayak ramai.

Namun, pada 1995 saya mencuba nasib memasuki peraduan karaoke radio, Karaoke Ria 95, bersama deejay Hafeez Glamour. Peraduan itu dikendalikan menerusi telefon dari rumah.

Kerana tiada orang yang menonton saya, hilanglah rasa malu! Rezeki saya jatuh tempat ketiga dalam peraduan ini. Saya gunakan nama pentas Aduka Mansor sebab tak nak orang tahu saya adik Hanafie Warren.

Pada 1997 pula saya dipaksa rakan dan anak saudara memasuki peraduan nyanyian stesen Ria 897, Kreatif 897.

Saya dinobatkan sebagai juara nyanyian dan persembahan, lantas membawa pulang $3,000 dan piala. Saya anggap pencapaian itu sebagai kejayaan besar sebab ia diadakan di auditorium Mediacorp.

Artis undangannya pula Datuk Seri Siti Nurhaliza. Saya kemudian diundang menyanyi dalam Konsert High Tea Siti Nurhaliza Purnama Merindu pada 1998.

Itulah rezeki saya bertemu dengan penyanyi tersohor Malaysia itu buat kali kedua. Sempat berborak di belakang pentas bagaikan kenalan lama.

S: Apakah cabaran bergelar anak seni?

M: Tidak mudah menjadi anak seni kerana ia memerlukan disiplin dan kerja keras.

Kalau kita ingin berkarya kita harus komited pada sesebuah projek. Kita tak mampu bersikap sambil lewa sekiranya tiada disiplin.

Dalam berseni pun kita harus pandai jaga nama keluarga. Jangan sampai nama baik keluarga terjejas kalau kita terjebak dengan kegiatan negatif seperti mengambil dadah atau mencuri.

Orang pasti akan jaja cerita kita ke sana sini. Kerana itu, saya dididik agar merendah hati dan jangan heboh sana sini. Kita berilah teladan yang baik kepada masyarakat.

S: Ceritakan tentang 'single' terbaru, 'Cinta Setengah Mati'.

M: Lagu ini ciptaan Kenny Saputra dengan lirik dihasilkan bersama saya dan Kenny.

Ia menceritakan tentang pasangan bercinta, tetapi kasih sayang yang diberi tidak sepenuhnya sehinggalah mereka ke jenjang pelamin sebagai suami isteri yang sah.

Saya mengenali Kenny, seorang warga Indonesia, ketika saya bercuti di Batam. Saya juga inginkan pembaharuan, lantas bergabung dengannya. Tercapai cita-cita bekerjasama dengan karyawan muzik di luar Singapura.

S: Seandainya anak-anak Mansor ingin menceburi bidang seni, apa pesanan anda?

M: Saya akan berpesan kepada mereka agar komited, disiplin dan bekerja keras. Tapi, jangan abaikan pelajaran. Kalau kita ada kelulusan yang baik, ia adalah jaminan kemantapan ekonomi kita dan masa depan cerah.

S: Apakah tiga perkara yang menggembirakan anda?

M: Pertama, hajat bertemu Siti Nurhaliza tercapai. Saya memang meminati suaranya sejak album pertama.

Kedua, menjejakkan kaki ke tanah suci Makkah. Alhamdulillah, saya berpeluang menunaikan umrah pada 2001 dan 2012. Betapa gembiranya payah diluah dengan kata-kata menjadi tetamu Allah.

Ketiga, saya gembira melalui muzik. Sejauh ini, sudah sembilan lagu dirakam dalam album kompilasi mahupun 'single' berasingan sejak 1995 sampailah sekarang.

S: Namakan tiga makanan kegemaran anda.

M: Makanan laut khususnya ketam, siput sedut dan siput gong gong. Saya juga suka kuih Melayu tradisional seperti onde-onde, nagasari, puteri salat dan kuih lopes

Masakan arwah ibu dan masakan isteri tersayang juga sedap khususnya kuah singgang, asam pedas dan asam rebus.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg