Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kenderaan Peugeot buatan Stellantis guna ChatGPT bagi ‘cakap’ dengan pemandu

Feb 1, 2024 | 5:30 AM
Kereta elektrik Peugeot e-3008 bakal dilengkapi dengan pembantu suara yang dikuasai ChatGPT.
Kereta elektrik Peugeot e-3008 bakal dilengkapi dengan pembantu suara yang dikuasai ChatGPT. - Foto PEUGEOT

Pembuat kenderaan Stellantis, yang menghasilkan kenderaan seperti Peugeot, merancang menggunakan ChatGPT untuk menambah baik pembantu suara dalam kereta dan vannya, kata jenama Perancis itu pada 30 Jan, menyertai pesaing seperti Volkswagen dan Mercedes-Benz dalam menggunakan ‘chatbot’ AI yang popular.

Pembantu suara merupakan kemudahan dalam kenderaan yang membenarkan pemandu memberi arahan, bertanya soalan kepada kenderaan tanpa menekan butang atau menaip arahan.

“Kami akan memperkenalkan ChatGPT dalam semua kereta, termasuk model e-3008 baru, dan kenderaan komersial kecil,” kata Encik Jerome Micheron, pengarah Pelan Produk Peugeot.

Peugeot akan melancarkan versi perintis perkhidmatan ChatGPT, yang akan dapat menyambung kepada kawalan kenderaan dan menjawab banyak soalan umum atau berkaitan navigasi, di lima negara – Perancis, Britain, Jerman, Italy dan Sepanyol. Perkhidmatan itu dirancang menjadi peralatan asas pada 2024.

Pada 2023, Mercedes-Benz memulakan percubaan di Amerika Syarikat yang membenarkan pemandu menggunakan ChatGPT, dengan mengatakan ia sepatutnya membantu memberikan respons yang lebih semula jadi dan menangani pertanyaan daripada butiran destinasi hingga menawarkan saranan tempat makan malam.

Sebuah lagi syarikat automobil, Volkswagen, berkata pada awal Januari bahawa pembantu suaranya akan menyepadukan ciri ChatGPT menjelang pertengahan 2024 untuk memudahkan dialog interaktif dengan pemandu.

Peugeot juga berkata, ia akan memperkenalkan waranti lapan tahun baru untuk e-3008, berbanding waranti dua tahun bagi keretanya masa kini, demi menggalakkan lebih ramai pemandu beralih kepada kenderaan elektrik. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg