Kepentingan cuci berus solekan secara berkala

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kepentingan cuci berus solekan secara berkala

Mar 2, 2026 | 5:30 AM

Kepentingan cuci berus solekan secara berkala

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Minyak, sel kulit mati, sisa produk dan bakteria boleh terkumpul di dalam berus solekan selama tempoh penggunaan, sekali gus menjadikan alat kecantikan itu kurang bersih.
Minyak, sel kulit mati, sisa produk dan bakteria boleh terkumpul di dalam berus solekan selama tempoh penggunaan, sekali gus menjadikan alat kecantikan itu kurang bersih. - Foto hiasan PIXABAY

Dalam kita sibuk mengelap habuk dan mengemas rumah, terdapat satu barang yang sering kita terlepas pandang untuk bersihkan meskipun ia digunakan hampir setiap hari.

Berus solekan kita mungkin kelihatan bersih di mata kasar, namun, menurut ahli mikrobiologi Singapura, Encik Flander Mo, 27 tahun, berus solekan boleh menjadi lebih kotor daripada yang disangka, memandangkan banyak mikrob atau kuman tidak dapat dilihat di bawah mikroskop cahaya biasa.

Minyak, sel kulit mati, sisa produk dan bakteria boleh terkumpul selama tempoh penggunaan berminggu-minggu atau berbulan-bulan, sekali gus menjadikan alat kecantikan itu kurang bersih.

Menurut tinjauan pengguna 2025 oleh pereka dan pengeluar berus kosmetik dari Amerika Syarikat, Anisa International, meskipun 76 peratus responden berkata mereka membersihkan berus mereka, hampir separuh responden membersihkannya hanya sekali sebulan atau lebih jarang daripada itu.

Tinjauan itu turut mendapati 24 peratus responden tidak membersihkan berus mereka, dengan alasan proses itu dianggap menyusahkan, lapor The Straits Times (ST).

Meskipun kini ramai wanita menitikberatkan rutin penjagaan kulit, kebersihan alat solekan sering diabaikan.

“Situasi ini kerap berlaku,” kata pakar perunding dermatologi di klinik The Skin Drs, Pusat Perubatan Gleneagles, Dr Liew Hui Min, 48 tahun.

“Ramai pesakit sangat tekun membersihkan wajah mereka, tetapi tidak memberi perhatian yang sama kepada berus solekan mereka. Apabila saya bertanya tentang kekerapan mereka mencuci berus, ramai berkata hanya sekali setiap beberapa bulan atau tidak ingat kali terakhir mereka membersihkannya.”

Kesan pengumpulan kotoran terhadap kulit

Sel kulit mati, minyak, sisa produk, habuk dan hama habuk boleh terkumpul secara perlahan di bulu berus, kata Dr Liew.

Jika berus solekan dibiarkan tanpa dicuci untuk tempoh yang panjang, pengumpulan ini boleh menjadi tempat pembiakan bakteria dan kulat.

“Terdapat organisma seperti staphylococcus aureus, yang boleh menyebabkan jangkitan kulit seperti impetigo,” jelasnya.

Impetigo ialah sejenis penyakit kulit yang mudah berjangkit, dengan simptom seperti nanah dan keruping, disebabkan jangkitan bakteria.

“Terdapat juga hama Demodex, yang hidup secara semula jadi di folikel rambut dan kulit manusia. Hama ini boleh menyumbang kepada jerawat dan memburukkan keadaan kulit sedia ada seperti rosacea (penyakit melibatkan kulit hidung, dahi dan pipi).”

Dr Liew berkata masalah jerawat berkaitan berus biasanya mengikuti corak tertentu.

“Kami lazim melihat jerawat pada kawasan di mana solekan paling kerap digunakan – iaitu di pipi, hidung dan dahi. Jika rutin penjagaan kulit seseorang tidak berubah tetapi jerawat mula muncul, ketika itulah (faktor) kebersihan berus perlu dipertimbangkan.”

Bagi mereka yang mempunyai ekzema atau kulit sensitif, kesannya boleh menjadi lebih teruk.

“Menggunakan berus yang tidak dicuci untuk tempoh lama boleh memburukkan lagi serangan ekzema dengan ketara,” tambahnya.

Menurut Encik Mo, berus solekan boleh menjadi tempat pembiakan ‘patogen oportunis’, iaitu mikroorganisma yang lazimnya tidak berbahaya kepada individu sihat, namun boleh menyebabkan jangkitan dalam kalangan mereka yang mempunyai sistem imun yang lemah.

Penggunaan berus tidak bersih secara berulang boleh mengganggu keseimbangan semula jadi kulit dengan memasukkan semula minyak, sisa produk dan mikroorganisma ke dalam liang wajah, sekali gus meningkatkan risiko keradangan dan jerawat.

Selain itu, berus yang digunakan untuk produk cecair atau berasaskan krim seperti bedak asas, penutup noda dan pemerah pipi cenderung menjadi lebih kotor kerana sisa produk mudah melekat pada bulu berus dan memerangkap kelembapan apabila digunakan berulang kali, jelas Encik Mo.

“Bakteria dan kulat mudah membiak dalam persekitaran yang panas dan lembap. Apabila berus kekal basah untuk tempoh lama, mikrob akan tumbuh lebih pantas, terutama jika ia disimpan dalam ruang tertutup,” kata Encik Mo.

Amalan terbaik

“(Pengguna) disyorkan untuk mencuci berus sekali seminggu. Gunakan air suam dan sedikit sabun. Anda boleh menggunakan syampu bayi, syampu biasa ataupun sabun pencuci pinggan,” kata Dr Liew.

“Letakkan sabun di tapak tangan yang basah, kemudian gosok berus pada sabun selama satu hingga dua minit. Bilas dan keringkan.”

Berus yang disimpan sebelum benar-benar kering boleh memerangkap kelembapan, sekali gus mewujudkan keadaan yang menggalak pertumbuhan bakteria dan kulat, terutama apabila disimpan di dalam beg atau kantung solekan tertutup.

“Kelembapan dan kekurangan pengudaraan adalah masalah utama,” kata Dr Liew.

“Oleh itu berus perlu dipastikan benar-benar kering sebelum disimpan.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg