Sesiapa yang menonton babak Raja Bollywood, Shah Rukh Khan, menari bersama gandingannya Preity Zinta dalam lagu Jiya Jale yang dijadikan runut bunyi filem Dil Se, pastinya anda terpegun dengan keindahan alam menghijau di Thekkady, Kerala dan pinggir sungai Alappuzha
Sama juga jika anda menonton betapa lemah gemalainya tarian Ratu Dunia, Aishwarya Rai, di depan air terjun Athirapally yang cukup gah dan menenangkan. Aishwarya mengikut rentak Barso Re dalam filem Guru. Beliau juga gigih menari sambil membiarkan ombak memukul pantai di Bekal Fort sekitar Kasargod, Kerala. Irama yang berkumandang adalah Tu Hi Re.
Pemerintah Kerala pula merancang satu projek pelancongan filem bagi orang ramai yang ingin mengunjungi ke tempat-tempat sekitar Kerala yang pernah dipaparkan dalam filem Bollywood popular. Projek baru ini adalah cara baru pemerintah Kerala menarik pelancong untuk berkunjung dengan mengekalkan kecantikan dan kebersihan tempat bersejarah yang pernah menjadi lokasi penggambaran.
Landksap yang cantik dan diketengahkan dalam filem India ikonik ini akan menjadi sebahagian bahan bagi projek pelancongan itu. Kalau mereka terpegun dengan pemandangan yang dipaparkan dalam filem Bollywood, ini bererti mereka berkemungkinan besar teruja untuk melawat Kerala.
Laman India Today melaporkan bahawa pengarah filem Mani Ratnam melahirkan sokongannya bagi projek yang diperkenalkan Jabatan Pelancongan Kerala ini apabila Menteri Pelancongan dan Jabatan Kerja Awam, Encik Muhammad Riyas, mengadakan perbincangan dengannya.
Mani Ratnam menambah terdapat banyak lokasi cantik di Kerala dengan ramai kru filem akan datang semula ke lokasi tersebut bagi mengenang kembali kenangan manis menjalani penggambaran di situ.
Salah satu tarikan projek itu adalah penglibatan Bekal Fort di kawasan Kasaragod dalam senarai pihak yang akan bekerjasama kelak. Di situlah, Mani Ratnam, merakam filem Bombay. Satu acara khas yang melibatkan pelakon filem itu dan kru filemnya akan diadakan bagi meraikan nostalgia di Bekal Fort.
Harapan pemerintah Kerala adalah pelancong dapat menyerap magis dunia perfileman dengan mereka sendiri dapat merasakan suasana di lokasi penggambaran yang sangat menenangkan dan indah. Projek ini juga meraikan warisan budaya yang kaya dan kecantikan semula jadi Kerala, menjadikannya destinasi ‘wajib kunjung’ buat penggemar filem dan pelancong umum.
Ditanya mengenai Kerala yang dikunjungi sebelum pandemik, peminat filem Bollywood, Cik Rahmah Jumali, 52 tahun, berkata:
“Saya amat suka dengan ketenangan alam semesta di Kerala. Saya tahu beberapa filem Bollywood seperti Dil Se, Madras Cafe dan Raavan dibuat di Kerala kerana pemandangannya yang cantik.
“Kalau kita dah biasa dengan kesibukan kota kosmopolitan yang sibuk di Singapura, kita pastinya seronok menjelajah kawasan desa di Kerala serta merasakan segala macam sajian teh rempahnya” – HARYANI ISMAIL
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg