Topik diikuti
Pergi ke BHkuKerjaya Pat Sajak di ‘Wheel of Fortune’ tamat selepas 41 musim
Kerjaya Pat Sajak di ‘Wheel of Fortune’ tamat selepas 41 musim
Pengacara program permainan paling panjang pernah disiarkan dalam sejarah televisyen sehingga mencecah 41 musim, Wheel of Fortune, akhirnya mengucapkan “Selamat Tinggal” pada 7 Jun.
Pat Sajak, yang cukup ikonik sejak mengacara rancangan itu pada 1981, terharu dapat menjadi sebahagian daripada kehidupan ramai orang merata dunia.
Lebih 8,000 edisi program ini dijayakan Sajak, 77 tahun.
“Masanya sudah sampai untuk saya ucap selamat tinggal. Ia adalah satu nikmat sebab wajah saya sentiasa ‘ada’ muncul di ruang tamu jutaan orang merata dunia malam demi malam, tahun demi tahun dan dekad demi dekad,” jelasnya dalam satu klip rakaman awal episod Wheel of Fortune.
Sajak menganggap program itu sebagai ruang selamat untuk seisi keluarga sebab tiada isu sosial, politik atau yang memalukan berlaku. Segalanya hanyalah permainan santai.
“Terima kasih kerana izinkan saya memasuki ruang hidup anda,” ujarnya.
Beliau dan temannya dalam program itu, model Vanna White, 67 tahun, menjadi terkenal kerana rancangan itu di mana peserta perlu memutar roda, mengisi huruf dan meneka perkataan yang tertera untuk memenangi wang tunai lumayan atau hadiah istimewa lain.
Pada 2019, Buku Rekod Guinness 2019, menganugerahkan Sajak dengan gelaran pengacara program permainan dengan kerjaya paling lama.
White pula berkata:
“Pat seperti abang saya dan sahabat sepanjang hayat. Persahabatan yang terbina lebih bermakna daripada kolaborasi profesional kami.”
Sajak mengumumkan persaraannya pada Jun 2023 dengan pengacara American Idol, Ryan Seacrest, menggantikan tempatnya.
White pula terus menjadi pengacara bersama Seacrest sepanjang musim 2025-2026, berdasarkan lanjutan kontrak yang beliau tandatangani pada September.