Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Keroncong, biola datuk ilham di sebalik filem 'Yayi: Take A Bow'

Pengarah Faisal Ishak kembalikan nostalgia dalam kisah warisan 11 minit
Jun 14, 2021 | 05:30 AM



Ingatan dua sutradara prolifik Singapura ini menerawang kepada kenangan bersama datuk tersayang tatkala diberi tugas oleh pusat seni Esplanade untuk menghasilkan filem pendek buat Pesta Raya. Apakah yang membuatkan memori itu begitu dekat di hati mereka dalam menyampaikan kisah tentang warisan budaya Melayu dalam program dalam talian, Antologi Filem Pendek? BERITA HARIAN melaporkan.




KETENANGAN yang dibawa bersama irama keroncong dengan gesekan biolanya yang menusuk kalbu pada waktu petang dapat dibayangkan pengarah terkenal Singapura, Faisal Ishak.



Memandangkan beliau dilahirkan dalam keluarga yang giat memperjuangkan irama keroncong menerusi penglibatan aktif datuknya Samsuri Said serta ibunya Jamilah Samsuri, memang tidak akan hilang kepentingan irama tradisional itu daripada sanubarinya.



Terpahat di ingatan Faisal, 50 tahun, tempoh datuknya mewasiatkan biola kesayangan buat ibu dan bapa saudaranya sebelum meninggal dunia pada 2007.



Detik-detik itu menjadi cebisan kenangan yang sutradara drama fenomena Nur Kasih dan Juvana abadikan sebagai pencetus bagi filem ringkas Yayi - Take A Bow.



Filem sekitar 11 minit itu disajikan dalam program Antologi Filem Pendek sempena Pesta Raya 2021 yang keseluruhannya diadakan Esplanade dalam talian menyusuli pelaksanaan Fasa 2 (Kewaspadaan Dipertingkat).



Yayi - Take A Bow dijayakan anak kecil Faisal, Leia Safiyyah, serta pelakon remaja Dayang Nurbalqis, pemain biola Sofia Samri dan jurutari Na'aim Pani.



Ia mengisahkan tentang penggesek biola yang patah dan menjadi alat permainan apabila ia diberi kepada kanak-kanak perempuan yang mencipta dunia imaginasi dengannya.



Berlatarbelakangkan muzik keroncong, si kecil itu mula terlihat huruf yang terukir pada penggesek biola itu tanpa menyedari ia adalah nama permulaan moyangnya.



Pendek kata, Yayi - Take A Bow adalah kisah penemuan diri seorang kanak-kanak yang mula menghargai warisan yang kian hilang.



Ia ditayangkan di laman Offstage kendalian Esplanade sejak Khamis lalu hingga 27 Jun ini (11.59 malam).



Ketika dihubungi menerusi sidang Zoom baru-baru ini, Faisal berkata:



"Saya dibesarkan dalam keluarga seni dengan anggota lain condong pada muzik. Anehnya, saya sahaja yang tidak tahu main alat muzik.



"Bapa saya seorang guru tetapi pandai main seruling. Ibu menyanyi. Abang main bes manakala adik lelaki saya mampu memetik gitar utama.



"Agaknya kalau saya tiup 'recorder', sumbang bunyinya! Namun, nyala rasa saya lebih pada bidang arahan drama televisyen dan filem.



"Televisyen memang dekat di hati saya memandangkan saya merupakan antara bakat cilik yang dicungkil dalam Bengkel TV Kanak-Kanak kendalian Perbadanan Penyiaran Singapura (SBC) dahulu."



Menurut Faisal, datuknya, Pak Samsuri, yang merupakan penggiat irama keroncong yang disegani adalah orang yang tidak banyak berbicara. Mukanya garang tetapi warisan seninya begitu bermakna.



"Ibu saya mewarisi biola arwah yayi. Ibu adalah wanita berdikari yang bersemangat waja.



"Apabila biola itu diwasiatkan kepada ibu, ia adalah peristiwa yang menyentuh perasaan saya. Tiada anggota keluarga kami yang tahu menggesek biola kecuali sepupu saya yang bermain biola buat Orkestra Melayu Singapura (OMS). Jadi adalah juga yang benar-benar mewarisi kemahiran yayi," ceritanya lagi.



Lantaran itu, projek bersama Esplanade ini dianggap datang tepat bagi mengembalikan nostalgianya pada kisah peribadi wasiat datuknya itu dan irama keroncong yang dikhuatiri pupus dalam kalangan generasi muda di sini.



"Saya anggap keroncong ini irama yang menenangkan fikiran dan jiwa. Kita boleh minum teh-O dan mendengarnya bagi melegakan bebanan stres.



"Filem ringkas saya ini disisipkan dengan pesanan mengenai kepentingan memelihara warisan zaman berzaman iaitu irama keroncong.



"Saya malah mendapatkan bantuan anak perempuan saya bagi membawa watak anak kecil yang menemui siapa dirinya sendiri hasil penemuan penggesek biola usang yang dijadikan barang permainan.



"Pada penghujung filem ini, saya biarkan penonton dengan bermacam soalan bagaimana si kecil temui penggesek biola ini. Mana tahu saya boleh perkembangkan cerita ini bagi filem lebih panjang?" kongsinya.



Antara cabaran yang dihadapi Faisal adalah memastikan bagaimana ia dapat menyentuh jiwa penonton dalam masa tayangan filem yang padat dan ringkas.



Beliau, yang sudah lama tidak menulis naskhah program televisyen atau filem kerana tugas itu biasanya diserahkan kepada isterinya, kini kembali menulis.



"Saya sudah terlalu manja dan malas nak menulis sebab isteri yang giat melakukannya sebelum ini.



"Tapi kali ini, semua saya buat sendiri tanpa minta isteri bantu," katanya.



Beliau juga lebih berhati-hati mengendalikan biola arwah datuknya yang lama, tetapi masih kekal terjaga dengan pelekat di mana tertera nama Pak Samsuri dan tarikh beliau membeli biola itu masih ditampal rapi.



"Saya pentingkan unsur kemanusiaan dalam filem ringkas ini. Saya ambil contoh iklan Hari Raya Petronas yang ringkas, tetapi tetap mampu membuat anda tersentuh menontonnya," katanya yang kini teruja dengan projek drama terbaru Suria.



Beliau akan bekerjasama dengan syarikat penerbitan Poetry In Motion (penerbit drama Hilang Kasih Di Sarajevo) bagi membina set kampung Orang Asli di Singapura.



"Walaupun tak dapat mengembara ke luar negara seperti ke Bosnia dulu, kami cuba wujudkan set luar negara di Singapura.



"Sebelum ini, saya juga terlibat dalam projek penstriman aplikasi Viu Malaysia yang meminta kepakaran saya dalam bidang televisyen untuk diterapkan dalam drama Isteri Misteri.



"Ia tercetus daripada inspirasi filem P. Ramlee, Madu Tiga. Komedi digunakan bagi mengupas perihal poligami yang sensitif. Dalam enam episod drama, watak yang dibawa Sharnaaz Ahmad itu ingin cari isteri manakah yang dimimpikan menyimpan hasrat membunuhnya," kata Faisal lagi.



Satu sesi perbincangan filem bersama Faisal dan dua lagi pengarah, Sanif Olek dan M. Raihan Halim, akan disiarkan secara langsung dalam talian Offstage pada 8 malam, Khamis ini.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >