Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Khadijah Ibrahim cedera ringan dalam kemalangan di Sabah

Oct 1, 2024 | 6:21 PM
Datuk Khadijah Ibrahim cedera ringan dan berdarah sedikit di tangan selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan dari Brunei Darussalam ke Kota Kinabalu di Beaufort, Sabah, pada petang 30 September.
Datuk Khadijah Ibrahim cedera ringan dan berdarah sedikit di tangan selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan dari Brunei Darussalam ke Kota Kinabalu di Beaufort, Sabah, pada petang 30 September. - Foto BHM

Penyanyi veteran Malaysia, Datuk Khadijah Ibrahim, 65 tahun, dilaporkan terbabit dalam kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan dari Brunei Darussalam ke Kota Kinabalu di Beaufort, Sabah, pada petang 30 September.

Sungguhpun begitu, beliau memberi jaminan keadaannya baik sahaja dan tiada kecederaan serius.

Khadijah, yang juga Pengerusi Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), bahkan berkata kepada Berita Harian Malaysia (BHM) beliau akan meneruskan tugas seperti biasa biarpun ditimpa musibah.

“Saya akan terus bekerja seperti biasa,” katanya menerusi aplikasi WhatsApp.

Difahamkan, Khadijah berada di Brunei Darussalam dan Kota Kinabalu kerana menguruskan soal tajaan dan pembelian meja untuk Konsert Amal Legends di Pusat Persidangan Antarabangsa Sabah (SICC) di Kota Kinabalu, pada 1 November.

Selain Khadijah, konsert itu menampilkan penyanyi rok, Datuk Ramli Sarip, Datuk Jamal Abdillah, gitaris terkenal, Man Keedal, serta penyanyi kelahiran Sabah seperti Azharina dan Ayu Damit.

Sementara itu, Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez, lega selepas dimaklumkan Khadijah berada dalam keadaan baik.

“Khaty hubungi saya dan beritahu dia dalam keadaan baik.

“Dia berjanji akan hubungi saya untuk memaklumkan perkembangan terkini. Mungkin sekarang dia sibuk uruskan soal kemalangannya itu.

“Jadi, saya tunggu sahaja panggilannya,” katanya.

Pada kejadian yang berlaku pada 5.28 petang itu, kereta pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang Khadijah naiki dilaporkan bertembung dengan Toyota Avanza, dekat Taman Kinamas, Jalan Beaufort, Kota Kinabalu.

Selain Khadijah, dua lagi turut cedera dalam kenderaan pikap terbabit.

Bagaimanapun, media melaporkan Khadijah hanya mengalami cedera ringan dan berdarah sedikit di tangan.

Ketiga-tiga mereka dapat keluar sendiri daripada kenderaan sebelum anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat tiba membantu mangsa.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg