Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Khai Bahar ‘berkampung’ di S’pura, rai kemenangan ‘Penyanyi Lelaki Popular’

Dari ‘Budak Baru Nak Up’ M’sia, pelantun lagu ‘Bayang’ ke pentas Pesta Lagu TV Kesatuan Penyiaran Asia di Turkey
Oct 20, 2024 | 5:30 AM
Penyanyi dan pelakon popular Malaysia, Khai Bahar, 30 tahun, disampaikan dengan Anugerah Penyanyi Lelaki Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian Malaysia (ABPBH) Ke-36 pada 11 Oktober.
Penyanyi dan pelakon popular Malaysia, Khai Bahar, 30 tahun, disampaikan dengan Anugerah Penyanyi Lelaki Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian Malaysia (ABPBH) Ke-36 pada 11 Oktober. - Foto BM oleh NUR DIYANA TAHA

Bermula sebagai ‘Budak Baru Nak Up’ (BBNU) dari aplikasi Smule, kejayaan Khai Bahar atau nama sebenar, Muhammad Khairul Baharudin, 30 tahun, terus dikecapi sehingga dikenali di merata Nusantara.

Ketika diwawancara Berita Minggu (BM) pada 11 Oktober di satu acara ulang tahun Kelab Peminat Khai Bahar di Singapura (KBSpore) yang diadakan di Lolly Space di 217 Rangoon Road, Khai mengatakan:

“Itulah, rezeki saya ’kan? Saya tidak sangka dapat jadi penyanyi sehingga dikenali dan disambut baik oleh masyarakat seperti sekarang.

“Awalnya, saya ingatkan menjadi penyanyi hanya sekadar angan-angan sahaja.

“Saya berjuang untuk melakukan video karaoke di Smule, membuat persembahan di jalanan atau ‘busking’ dan mengambil peluang untuk bernyanyi pada skala kecil seperti di acara makan-makan dan sebagainya.

“Alhamdulillah, perjuangan itu semua membuahkan hasil.”

Menyingkap tentang bagaimana Khai mampu keluar daripada kepompong rasa malu, anak keempat dari enam beradik yang berasal dari Perlis itu menjelaskan beliau pantang dicabar.

“Saya sebenarnya tidak boleh dicabar orangnya. Sekali dicabar, saya akan buktikan pada mereka sebaliknya. Tapi kita lakukan dengan cara yang baik dan beralas,” tambahnya lagi.

Namun begitu, manusia tidak lari daripada ujian hidup.

Setelah pemergian ibunya, Allahyarhamha Rosnah Mohamad, 62 tahun, yang meninggal dunia dalam tidur akibat pelbagai komplikasi kesihatan pada Januari 2024, Khai benar-benar merasakan kekosongan menghimpit benaknya.

Beliau terus membereskan kerja seni yang telah dijadualkan sebelum mengambil masa untuk berkabung dan berehat dari dunia hiburan untuk sementara waktu.

Khai akur bahawa beliau ingin memastikan emosinya kembali stabil kerana tidak mahu peristiwa kelam itu menjejas profesionalismenya dalam bekerja.

“Sebelum ini, saya mengambil masa untuk pulihkan semangat saya kembali. Tentunya bukan mudah untuk saya terima kenyataan pada waktu itu.

“Setelah berehat, saya mulakan dengan kerja lakonan. Dari situ, ia banyak membantu saya untuk ingin kekal berkarya dan melakukan kegiatan lain seperti mengeluarkan single dan sebagainya.

“Saya mengambil kesempatan itu untuk memberi tumpuan yang penuh pada projek yang saya kerjakan.”

Dalam usaha berdamai dengan takdir, Khai melahirkan rasa syukur terhadap adanya penyokong termasuk golongan ibu-ibu yang sentiasa mendoakan kesejahteraan dan kejayaannya dalam bidang hiburan serta hadir di sisi dalam jatuh bangunnya sebagai seorang penyanyi dan pelakon.

Apa yang menarik, Khai memilih untuk bersama peminatnya di Singapura pada hari bersejarah (11 Oktober) dan pasti dikenang apabila diumumkan sebagai pemenang Anugerah Penyanyi Lelaki Popular pada malam kemuncak, Anugerah Bintang Popular Berita Harian Malaysia (ABPBH) Ke-36, di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Peminat di Singapura dapat sama-sama meraikan kemenangannya itu tatkala mereka beramai-ramai menonton siaran langsung penyampaian anugerah berkenaan melalui wadah penstriman di tablet.

Khai menyingkap bahawa kemenangan menerusi kategori berkenaan selama dua tahun berturut-turut adalah hasil sokongan dan perjuangan yang dilakukan peminatnya.

Bahkan, ini juga merupakan kali kelima Khai menangi kategori Anugerah Penyanyi Lelaki Popular ABPBH.

Khai Bahar meraikan kemenangan kategori Penyanyi Lelaki Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian Malaysia (ABPBH) bersama peminat Singapura di Lolly Space SG pada 11 Oktober.
Khai Bahar meraikan kemenangan kategori Penyanyi Lelaki Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian Malaysia (ABPBH) bersama peminat Singapura di Lolly Space SG pada 11 Oktober. - – Foto BM oleh NUR DIYANA TAHA

Meskipun tidak hadir dalam siaran langsung ABPBH Ke-36, Khai tidak melepaskan peluang meraikan kemenangannya dengan penuh meriah bersama peminat dari KBSpore.

Kelab peminat tersebut baru menyambut ulang tahun ketujuh sejak penubuhannya pada 2017.

Dengan kemenangan itu, Khai menerima trofi dan kepingan emas seberat 50 gram.

Menyentuh tentang perkembangan drama terbarunya, Khai berkata:

“Penggambaran bagi drama Cinta Bukan Milikku, gandingan saya dengan Sharifah Rose, sudah tamat sejak sebulan lalu. 

“Ini bukan kali pertama saya berlakon dalam drama bersama beliau. Jadi sebenarnya mudah bagi saya untuk bekerjasama dengan Sharifah Rose.

“Saya juga rasa watak yang saya bawakan dalam drama ini sangat serasi dengan diri saya. 

“Ia menceritakan tentang seorang lelaki yang sangat bertanggungjawab terhadap keluarganya dan memperjuangkan cinta sejatinya.”

Drama ini sedang ditayangkan di slot Akasia di TV3.

Dalam pada itu, ada beberapa lagi projek baru Khai yang pastinya akan menggembirakan peminatnya.

Ramai yang merasakan Khai memiliki suara lunak yang serasi dipadankan dengan rakan seangkatannya, juga dari Smule, Wany Hasrita.

Setelah lama menanti lagu duet daripada dua sahabat karib ini, akhirnya lagu dengan sisipan bahasa Korea, Makan Cintaku, bagi jenama mi segera Nongshim, sudah dilancarkan. Mereka duta Nongshim.

Khai juga sedang dalam proses merakam lagu duet ciptaan Amylea Azizan bersama Wany.

Jadual Khai juga sibuk sebab mewakili Malaysia bagi Pesta Lagu TV Kesatuan Penyiaran Asia (ABU) di Istanbul, Turkey pada 20 Oktober.

Negara yang terlibat dalam pesta ini ialah China, Jerman, India, Indonesia, Jepun, Korea, Macau, Turkmenistan, Uzbekistan, Turkey dan Malaysia.

Khai akan mempertaruhkan lagu ‘berhantunya’, Bayang.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg