SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Khairul Azmi hanya sempat sentuh anak tiga hari

Khairul Azmi hanya sempat sentuh anak tiga hari

Oct 2, 2021 | 5:30 AM

Khairul Azmi hanya sempat sentuh anak tiga hari

ANAK SYURGA: Azmi menimang Khairul Afnan, yang meninggal dunia kelmarin, tiga hari selepas dilahirkan. - Foto AZMI SAAT/INSTAGRAM
ANAK SYURGA: Azmi menimang Khairul Afnan, yang meninggal dunia kelmarin, tiga hari selepas dilahirkan. - Foto AZMI SAAT/INSTAGRAM -

VOKALIS Caliph Buskers, Khairul Azmi Mohd Saat, dan isterinya, Nazira Muhammad, menanti 10 tahun untuk menimang cahaya mata.

Setelah hajat mereka kesampaian, Azmi, 34 tahun, yang cacat penglihatan, dan Nazira hanya sempat bergelar bapa dan ibu selama tiga hari.

Bayi sulung mereka meninggal dunia kelmarin.

Berita duka itu dikongsikan sendiri Azmi menerusi satu pos terkini di Instagram miliknya, lapor laman Kosmo! Online.

"Allah lebih menyayanginya. Khairul Afnan tunggu kami di syurga, ya," luah Azmi.

Sebelum itu, kesihatan Khairul Afnan dilaporkan tidak stabil kerana masalah fungsi otak.

Menurut Azmi, Afnan terpaksa dipakaikan alat bantuan pernafasan sejak dilahirkan pada 27 September selepas doktor mengesyaki otak bayi itu tidak berfungsi kerana dia tidak bergerak.

Ikutkan perancangan, doktor sepatutnya melakukan ujian Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) untuk melihat keadaan otak bayi itu, namun perancangan Tuhan mengatasi segala-galanya, ujar Azmi.

Beliau menerima ucapan takziah daripada beberapa rakan selebriti.

"Salam takziah buat Azmi sekeluarga. Moga tabah melalui ujian Allah. Anak syurga," tulis pelakon dan penyanyi asal Singapura Hannah Delisha.

Pengacara dan pelawak Zizan Razak pula berkata: "Al-fatihah. Rancangan Allah pasti yang terbaik."

Penyanyi Kaka Azraff menulis: "Allahuakbar! Anak syurga, Insya-Allah akan menanti kamu di sana. Tabah dan yakin dengan rancangan Allah."

Detik kelahiran Afnan disambut Azmi dengan penuh kesyukuran.

Dalam satu catatan Instagram, beliau menulis: "Apa pun anugerah atau kejayaan yang pernah saya terima sebelum ini tidaklah terlalu menyentuh hati. Itu hanyalah sekadar warna yang indah dalam kehidupan saya.

"Namun, pengalaman semalam benar-benar luar biasa. Takkan mungkin saya lupakan. Air mata kesyukuran meluncur keluar saat kali pertama mendengar suara Afnan yang baru sahaja dikeluarkan dari perut ibunya.

"Saya dapat sentuh Afnan dalam keadaan badannya masih basah melekit. Ya Allah, terima kasih atas anugerah ini."

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg