Kisah jatuh bangun Whitney Houston sentuh jiwa

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kisah jatuh bangun Whitney Houston sentuh jiwa

'I Wanna Dance With Somebody' papar ironi hidup penghibur yang cari bahagia
Dec 28, 2022 | 5:30 AM

Kisah jatuh bangun Whitney Houston sentuh jiwa

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
SUARA HATI BINTANG: Naomi Ackie (atas) secara meyakinkan membawa watak Whitney Houston dalam filem biopik 'I Wanna Dance With Somebody' yang menyelongkar pasang surut emosinya ketika berada di tangga atas mahupun bawah kehidupan. - Foto SONY PICTURES
SUARA HATI BINTANG: Naomi Ackie (atas) secara meyakinkan membawa watak Whitney Houston dalam filem biopik 'I Wanna Dance With Somebody' yang menyelongkar pasang surut emosinya ketika berada di tangga atas mahupun bawah kehidupan. - Foto SONY PICTURES -

SEANDAINYA anda peminat setia bintang legenda bersuara buluh perindu Whitney Houston, pastinya nostalgia menerawang di fikiran ketika menyaksikan filem kisah riwayat atau 'biopik' I Wanna Dance With Somebody.

Filem arahan Kasi Lemmons dan lakonan Naomi Ackie (sebagai Whitney Houston) ini membuatkan ramai yang meninggalkan pawagam pada sesi pratonton tempoh hari terasa sebak.

Apakan tidak? Di sebalik senyum dan tawa bintang yang dikenali kerana beberapa lagu 'hit' seperti I Will Always Love You, Saving All My Love For You, How Will I Know dan Didn't We Almost Have It All, wujud kisah perit perjuangan hidup, alam rumah tangga, pertarungan dengan dadah dan hubungan getir bersama bapanya yang dirahsiakan selama ini.

Filem ini sekali lagi mengukuhkan persepsi dan ironi bahawa dunia sang penghibur sebenarnya tragik.

Lihat sahaja kisah biopik ikon dunia hiburan seperti Elvis Presley (Elvis), Freddie Mercury (Bohemian Rhapsody) atau Marilyn Monroe (Blonde) - kesemuanya memiliki persamaan iaitu kesudahan yang memilukan di sebalik populariti yang dikecapi.

I Wanna Dance With Somebody menjejak hidup Houston daripada awal sebagai remaja yang menyanyi di gereja dan mengikut jejak ibunya Cissy Houston yang tegas dan berdisiplin ketika membimbing anak gadisnya itu.

Cissy (lakonan Tamara Tunie) jarang mengeluarkan kata-kata pujian bahkan berasakan anaknya belum cukup hebat dan perlu bekerja lebih keras untuk menajamkan kemahiran vokalnya.

Bagaimana bakat Houston dicungkil penerbit rakaman handalan ketika itu, Clive Davis (Stanley Tucci), disingkap.

Si ibu yang mengadu sakit tekak memberi laluan buat anaknya yang belum yakin dan masih gementar untuk menyanyikan lagu The Greatest Love of All sehingga ia memukau Davis.

Kehidupan si remaja langsung berubah apabila dibimbing Davis untuk menjadi artis rakaman berpotensi besar sesudah kontrak rakaman ditandatangani bersama label besar Arista Records, anak syarikat Sony Music.

Jalan cerita filem ini tidak sukar difahami. Segalanya dibuat secara kronologi atau mengikut garisan masa, tidak seperti sesetengah 'biopik' yang kerap mengimbas peristiwa sehingga penonton sukar mengenal pasti apakah ini adegan terkini atau masa silam.

Ia menyorot kisah persahabatan Whitney bersama Robyn Crawford (Nafessa Williams) dari zaman persekolahan sewaktu satu sesi kem kaunselor hinggalah teman itu menjadi penolong dan pengarah kreatifnya yang mempertahankannya daripada dibuli mereka yang ingin menindas atau mempergunakannya.

Perkenalan si bintang dengan penyanyi lebih muda enam tahun daripadanya dan berimej 'bad boy' (budak nakal) Bobby Brown (Ashton Sanders) yang awalnya setakat untuk suka-suka sahaja sebelum ia berubah menjadi serius kemudian dibentangkan.

Kecurangan Brown, sikapnya yang mudah berang dan cemburu (termasuk dengan kejayaan isterinya yang melebihi dirinya) serta tidak berfikir dua kali untuk mendera Houston secara fizikal turut menjadi inti pati filem ini.

Anda dibawa menyelami hati sarat hiba seorang penyanyi kesukaan ramai yang terguris oleh lelaki yang sangat dicintai.

Dari filem ini, dapat dilihat bagaimana Houston ingin jadi tunggak kejayaan suaminya yang mempunyai personaliti menunjuk yang jauh beza daripada dirinya yang dambakan kesederhanaan.

Satu perkara yang diperbetulkan adalah salah anggapan ramai bahawa Bobby yang membuat Houston terjerat dengan dadah.

Dari filem ini, diketahui bahawa kokain sudah menjadi 'makanan' kecil-kecilan Houston sebelum popularitinya memuncak. Ia menjadi semacam trend buat artis Barat.

Di sebalik kejayaan Houston, wujud pelbagai perkara yang sebelum ini kurang diperbesarkan disajikan di depan mata.

Ini termasuk kisah bapanya yang pada saat akhir kehidupan ingin mengikis pulangan yang diperolehinya sebagai penghibur 'Nombor 1' Amerika untuk kepentingan peribadinya.

Kesulitan isu perkauman dalam muzik turut disajikan. Houston berdepan dengan kecaman apabila muziknya dianggap tidak selari dengan muzik penyanyi kulit hitam. Beliau dituduh membelot dan menyebelahi tuntutan industri muzik 'kulit putih'.

Lamaran pelakon Kevin Costner untuk Houston menjadi bintang utama filem The Bodyguard menjadi penyelamat kerjayanya yang merudum di tengah-tengah berita dia bakal menamatkan zaman bujangnya dengan Bobby.

Ackie sebagai pelakon dengan latar belakang teater muzikal adalah pilihan tepat untuk menggalas watak Houston.

Walaupun suara yang berkumandang dalam filem ini adalah milik Houston, Ackie yang membawa watak Jannah dalam filem Star Wars: Episode IX: The Rise of Skywalker mampu meniru gaya bintang pujaan ramai itu dari segi tonasi suara, gaya pertuturan dan tarian.

Walhal, beliau yang dilahirkan di Walthamstow, United Kingdom, memiliki telo Britain yang 'pekat' bahkan perlu menjalani latihan dialog dengan jurulatih bahasa selama enam bulan.

Beliau juga perlu menggunakan pendakap gigi khas untuk membawa peranan ini kerana gigi asalnya renggang.

I Wanna Dance With Somebody mengubati kerinduan pada Whitney Houston sesudah lebih sedekad beliau meninggalkan kita. Yang tinggal hanyalah lagu-lagunya yang menjadi teman tatkala jatuh cinta, putus cinta atau setakat untuk hiburkan hati yang lara.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg