SEBAGAI seorang wanita, saya dapat rasakan 'tamparan wanita' dan isu pemerkasaan kaum Hawa dalam filem Marvel Comic Universe (MCU) terkini, Black Panther: Wakanda Forever.
Selaku si kaki wayang yang dewasa dengan pelbagai filem yang mengenakan stereotaip antagonis pada pelakon kulit hitam (misalnya Grace Jones sebagai May Day dalam filem James Bond, A View To A Kill), menyaksikan filem kedua adiwira Black Panther ini memberi gambaran Hollywood kian memperjuangkan inklusiviti.
Sesiapa sahaja baik orang Cina, Amerika Latin, Islam atau India layak bergelar pejuang dan adiwira.
Dalam filem ini, anda dapat lihat ramai pelakon kulit hitam yang sudah menempah nama dalam bidang lakonan tampil membawa watak unik dan bersemangat waja.
Antaranya adalah Angela Bassett yang pernah menjulang piala Oscar bagi filem What's Love Got To Do With It, dan Lupita Nyong'o yang meraih Anugerah Academy bagi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik dalam filem 12 Years A Slave.
Cuma apa yang saya harus pesan kepada penonton sebelum menyaksikan filem ini adalah bersiap sedia untuk tahan mata dan tahan perut agar tidak terlena atau terbiar kelaparan dek tempoh tayangan hampir tiga jam ini.
Boleh dikatakan Black Panther: Wakanda Forever ini adalah filem paling sedih MCU.
Pertama, kekosongan terasa sebab peneraju watak Black Panther atau T'Challa iaitu Chadwick Boseman telah meninggal dunia pada 28 Ogos 2020 pada usia 43 tahun kerana barah usus.
Kedua, terdapat beberapa babak sedih apabila perjuangan berakhir dengan tumpasnya darah si pejuang yang bermati-matian mempertahankan kedudukan dan nyawanya.
Black Panther: Wakanda Forever menceritakan tentang satu misi perjuangan melindungi kerajaan Wakanda daripada ditakluki kuasa luar di tengah-tengah kematian Raja T'Challa.
Satu ancaman baru dari negara tersembunyi di dasar lautan kota purba Talokan yang diperintah oleh Namor pula dirasakan.
Wira Wakanda yang kebanyakannya wanita perlu mendakap fasa baru dalam kehidupan mereka bertemankan bantuan pegawai perisik The War Dogs, Nakia, (lakonan Nyong'o) seorang pegawai perisik yang menyamar diri serta Everett Rose (Martin Freeman) daripada Agensi Risikan Pusat.
Tumpuan ramai adalah pada watak utama Puteri Shuri, adik raja, watak yang dimainkan dengan penuh emosi oleh Letitia Wright, pelakon kelahiran Guyana yang sudah bermastautin ke Britain.
Wright mempunyai kewibawaan seorang puteri yang lasak dan tangkas dalam mencipta teknologi baru untuk Wakanda.
Pemilihannya tepat dan beliau perlu menggantikan Boseman sebagai teraju utama selepas pemergian yang tidak diduga itu.
Black Panther: Wakanda Forever menunjukkan bagaimana lain orang menangani kehilangan dengan cara yang berbeza.
Shuri mengisi kekosongan tanpa abang yang disayangi dengan menumpukan perhatiannya pada gajet-gajet dan teknologi.
Bassett sebagai Ratu Ramonda, ibu yang kehilangan anaknya pula menyerlah dalam filem ini.
Beliau menghidupkan peranan ibu yang menangisi pemergian si anak dan mendakap kehilangan dengan cuba melindungi Wakanda daripada ancaman kuasa-kuasa yang mengambil kesempatan menyerang pada tempoh sukar.
Yang menarik dalam filem ini adalah pengenalan sebuah kerajaan di dasar lautan.
Pelakon Mexico, Tenoch Huerta, selaku Namor dapat membawa watak seorang ketua lidah bercabang yang ingin membalas dendam untuk melindungi dirinya.
Namor adalah jejaka yang manis mulutnya tetapi mempunyai muslihat menakluki Wakanda. Wataknya dicorak berkepak dan mempunyai telinga yang panjang dan tirus.
Kata-katanya pada Shuri pada awalnya adalah seperti memujuk tetapi niatnya memperdaya.
Antagonis lautan ini memberi Shuri keyakinan untuk mengambil alih kepimpinan Wakanda dengan menyatakan:
"Setiap yang pernah remuk redam jiwa dan semangatnya dapat menjadi pemimpin terbaik".
Dalam diam, beliau ingin membinasakan Shuri dan Wakanda dalam satu pertempuran kerajaan laut dan darat.
Banyak persoalan tentang kemanusiaan, persahabatan, perebutan kuasa, keberanian menentang yang salah, membangun semangat waja wanita serta pencarian damai yang diselongkar dalam filem ini.
Walaupun yang dipaparkan adalah kerajaan Wakanda tetapi ia dekat di hati sesiapa sahaja, di mana-mana pelosok dunia yang melalui proses untuk hidup dan bertahan dalam situasi tidak semua di sekeliling kita boleh dipercayai pada situasi ramai mementingkan diri sendiri.
Namun, semangat satu hati Wakanda itulah yang akhirnya dapat dijadikan peneguh dan penyelamat sesebuah kerajaan.
"Banyak persoalan tentang kemanusiaan, persahabatan, perebutan kuasa, keberanian menentang yang salah, membangun semangat waja wanita serta pencarian damai yang diselongkar dalam filem ini. Walaupun yang dipaparkan adalah kerajaan Wakanda tetapi ia dekat di hati sesiapa sahaja, di mana-mana pelosok dunia yang melalui proses untuk hidup dan bertahan dalam situasi tidak semua di sekeliling kita boleh dipercayai pada situasi ramai mementingkan diri sendiri.
Namun, semangat satu hati Wakanda itulah yang akhirnya dapat dijadikan peneguh dan penyelamat sesebuah kerajaan."
- Penulis.