Topik diikuti
Pergi ke BHkuKolaborasi terbaik sniker sukan bersama jenama fesyen pada 2026
Gaya dan fungsi bergabung dalam kolaborasi sniker edisi terhad yang menjadi tumpuan musim ini
Kolaborasi terbaik sniker sukan bersama jenama fesyen pada 2026
Daripada bola pikel hingga Hyrox (perlumbaan yang menggabungkan larian dengan latihan fungsional), satu lagi gelombang trend kecergasan kini semakin mendapat perhatian ramai.
Menyertai keahlian gim dan kelas kecergasan juga bermakna anda perlu melabur dalam peralatan yang sesuai. Namun, apa yang diutamakan pada masa kini bukan sekadar pakaian sukan berprestasi tinggi.
Estetika turut memainkan peranan, dan ramai individu yang peka fesyen mencari kasut sukan yang boleh dipakai terus dari sesi bersenam ke makan tengah hari atau membeli-belah di bandar.
Jenama fesyen seperti Dolce & Gabbana benar-benar berada di landasan yang tepat dengan gerakan ini, menerusi kerjasama dengan jenama sukan terkemuka yang menyatukan elemen gaya dan fungsi.
Beams x Hoka Bondi 7
Siluet Bondi 7 daripada jenama kasut sukan popular Hoka mendapat sentuhan gaya jalanan Jepun dalam kolaborasi pertamanya dengan Beams.
Sempena ulang tahun ke-50 Beams, kasut berprestasi tinggi itu diperkenalkan dalam dua pilihan warna edisi terhad. Reka bentuknya menampilkan corak ringkas yang diinspirasikan oleh warna semula jadi di taman zen tradisional Jepun.
Kusyen tapak yang tebal dan selesa turut dikekalkan, memastikan setiap langkah terasa lebih empuk dengan penyerapan hentakan yang baik, walaupun ketika melakukan kegiatan amat lasak.
Pilih antara warna cerah, Turtledove/Tidal Foam, dan warna perang, Chestnut/Black Bean, pada harga $289.
Dolce & Gabbana x Diadora, kasut kulit anak lembu
Kolaborasi terbaharu Dolce & Gabbana x Diadora menggabungkan keistimewaan dua jenama Italy menerusi koleksi kasut sukan yang diperbuat daripada kulit anak lembu, dengan reka bentuk ikonik Diadora Brasil.
Dan sekiranya anda terlepas maklumat ini: corak harimau bintang kembali bergaya. Dihasilkan daripada bulu, corak itu meliputi bahagian sisi kasut dan sekeliling tumit tanpa terlalu menonjol, memberikan sentuhan lebih menarik kepada kulit hitam atau putih yang biasa.
Namun, jika anda mahu lebih bergaya, terdapat versi Pony Leo ($625) yang diselaputi sepenuhnya dengan corak haiwan itu, manakala versi bola sepak turut tersedia bagi mereka yang mahu menendang bola dengan penuh gaya. Harganya ialah $545.
Cecilie Bahnsen x Asics: Gel-Quantum 360 I
Cecilie Bahnsen semakin menyerlahkan tenaga feminin tersendiri di mana-mana sekarang, dan kami sangat menyukainya.
Selain kerjasama baharunya dengan Uniqlo untuk Musim Bunga/Musim Panas 2026, pereka itu bekerjasama dengan Asics sekali lagi untuk satu lagi pelancaran kasut sukan bercorak bunga.
Kali ini, Gel-Quantum 360 I yang mendapat sentuhan ‘couture’ dalam warna Sakuragai, iaitu yang pertama seumpamanya dalam warna merah jambu pastel sepenuhnya. Anda boleh mendapatkannya pada harga $359.
Skims x Nike: kasut sukan NikeSkims Rift Mesh
NikeSkims akhirnya tiba di Singapura. Ia merupakan barisan kolaborasi antara jenama sukan Nike dengan jenama pakaian milik Kim Kardashian.
Selain pakaian sukan yang menjadikan tubuh anda kelihatan ramping menawan, satu item yang menarik perhatian ramai ialah kasut sukan, NikeSkims Rift Mesh, iaitu kasut balet flat Mary Jane daripada jaringan nipis dengan hujung kaki gaya tabi.
Walaupun tersedia dalam warna neutral seperti putih, hitam dan perang, kami paling tertarik dengan kasut yang berwarna merah jambu psychedelic. Harganya ialah $229.