Bayangkan lagu balada Richard Marx kegemaran ramai seperti Right Here Waiting dan Now and Forever kedengaran di kawasan Town Square, Our Tampines Hub (OTH), pada 14 September.
Setelah sekian lama, Marx, 60 tahun, akan kembali ke Singapura dalam satu konsert amal bermula 8 malam bagi mengumpul dana untuk pertubuhan khidmat sosial, Dementia Singapore.
Konsert tersebut menyusuli kejayaan konsert amal pertama badan itu yang menampilkan kumpulan Michael Learns to Rock pada 2023.
Menurut satu kenyataan Dementia Singapore, peminat Marx pastinya akan dibawa menyusuri jalan kenangan melalui beberapa lagu terkenal seperti Hazard dan Hold On To The Night.
Konsert itu bukan sahaja bagi mengumpul dana untuk keperluan Dementia Singapore malah sebagai wadah bagi individu yang menghidap demensia serta penjaga mereka dan semua warga Singapura berhimpun menikmati muzik perpaduan yang menyatukan.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Dementia Singapore, Encik Jason Foo, berkata:
“Kami rasa berbesar hati untuk menampilkan Richard Marx sebagai anak seni yang terhubung dan juga menjadi penyokong kepada masyarakat penghidap demensia yang kian meningkat.
“Justeru, kami berharap ini akan terus meluputkan stigma yang ada berkenaan keadaan demensia ini.
“Terdapat sebab yang sesuai mengapa kami telah memilih untuk memanfaatkan penyanyi lagu hit yang karya seninya dapat dikaitkan dengan kehidupan masyarakat kita yang berusia dalam lingkungan 40-an dan 50-an tahun.
“Kami bukan sahaja secara kebetulan melihat peningkatan bilangan individu dalam kumpulan usia ini yang disahkan menghidap demensia yang menampakkan kesan pada usia muda.
“Namun, ramai dalam demografik usia yang sama sudah pun menjadi penjaga kepada insan tercinta mereka yang menghidap demensia.”
Marx adalah antara anak seni yang menghasilkan lagu yang berjaya menduduki Carta Billboard bagi setiap dekad sepanjang 40 tahun lalu. Karyanya memang digemari ramai.
Encik Foo pula menambah bahawa tidak ramai penyanyi dengan bakat serupa yang mempunyai muzik yang diingati hingga ke hari ini dan masih aktif menyumbang secara berkesan kepada arena muzik masa kini.
Marx, dalam pada itu, pernah bekerjasama dengan ramai artis seperti Barbra Streisand, Keith Urban, Kenny Rogers, Celine Dion, Chicago, Natalie Cole, Kenny Loggins, Vince Gill, Daughtry, Martina McBride, Michael Bolton dan Josh Groban.
Beliau juga pernah memenangi Anugerah Grammy untuk Lagu Tahunan Terbaik 2004 kerana menghasilkan bersama lagu Dance With My Father yang didendangkan Luther Vandross.
Acara pada 2024 itu disokong Shell Singapore, RevUp Consulting dan Logwin Air+Ocean Singapore.
Menurut kenyataan itu lagi, Dementia Singapore akan meneruskan usaha mengadakan konsert amal di kawasan kejiranan Singapura sebagai menekankan komitmen ke arah keterangkuman.
Keuntungan bersih daripada penjualan tiket bagi konsert itu akan disalurkan kepada Dementia Singapore.
Tiket bagi konsert ini yang berharga $118, $138, $178, $198, $218 dan $238 boleh ditempah di laman web Sistic mulai 11 pagi, 5 Jun 2024.
Anggota Shell GO+ pula boleh menikmati akses prajualan dari 11 pagi, 22 Mei hingga 4 Jun 2024.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg