Kumpulan Kotak pastinya diselubungi dilema apabila bekas pemain dram band itu, Posan Tobing, ingin melaporkan kepada polis berkenaan penggunaan lagu yang dicipta bersama.
Peguam Posan, Encik Jerys Napitupulu, memberitahu laman DetikHot bahawa pihak Posan akan meneruskan langkah melaporkan perkara ini kepada polis kerana band itu seakan-akan tidak mengendahkan permintaan Posan agar lagu yang dibawa dan dicipta bersama atau hasil ciptaan Posan sendiri tidak lagi dipersembahkan Kotak pada acara awam dan korporat.
Kotak yang dianggotai Tantri, Cella, dan Chua melayangkan surat amaran terbuka sebagai menjawab surat amaran yang lebih dahulu diberikan Posan.
Kotak meminta Posan agar menarik balik larangan bagi band itu menyanyikan lagu-lagu Kotak yang dicipta bersama-sama.
Dalam surat amaran Posan yang disampaikan pada 7 Julai lalu, beliau melarang Kotak membawakan lagu-lagu karyanya, baik yang diciptakan sendiri mahupun bersama-sama.
Posan mengaku hanya menerima royalti kecil dari hak cipta Kotak.
Encik Jerys pula menegaskan pihak Posan tidak akan menarik balik surat yang sudah dilayangkan. Beliau selanjutnya berkata Tantri, Cella, dan Chua sudah melanggar Undang-Undang Hak Cipta khususnya dalam perihal menghilangkan nama pencipta dari sebuah lagu yang diterbitkan bersama.
Encik Jerys merujuk pada foto daftar lagu yang dimuatnaikkan salah seorang pegawai belakang tabir Kotak dalam Instagram. Tidak ada nama Posan dalam pos itu.
“Jadi jelas dalam Undang-Undang Hak Cipta, segalanya sudah dilanggar. Satu lagu yang diciptakan bersama-sama adalah satu kesatuan dan tidak dapat dihilangkan,” kata Encik Jerys.
Isu hak cipta lagu Kotak ini mula hangat dibincangkan sejak awal Julai. Pada masa itu, Posan meminta Kotak membayar royalti bahagiannya. Beliau juga mendakwa belum menerima royalti penampilan Kotak yang membawakan muzik yang beliau bantu ciptakan.
Tantri, Cella dan Chua lantas bersuara selepas dituduh sedemikian oleh Posan. Mereka menegaskan royalti penampilan milik Posan bukan tanggungjawab Kotak, melainkan Lembaga Manajemen Kolektif (LMK) yang perlu menguruskannya. Hal itu juga telah tercantum dalam aturan pemerintah mengenai hak cipta.
Peguam Kotak, Cik Sheila A. Salomo, juga menegaskan Kotak masih membayar royalti kepada Posan jika band tersebut membawakan lagu-lagu yang mereka ciptakan bersama.
“Salah satu yang Kotak sudah lakukan sebagai bentuk sokongan hak cipta adalah mengharuskan dan mengingatkan penganjur acara untuk membayar royalti sebelum Kotak membuat persembahan,” ujar Cik Sheila.
“Jadi, kesan yang ada dalam masyarakat dengan kalimah ‘mengambil hak orang’ tidak ada,” sambungnya.
Cik Sheila juga menyentuh perihal surat amaran Posan juga terkait dengan perihal nama asal band Kotak. Cik Sheila menjelaskan nama Kotak diputuskan atas persetujuan pegawai dari sebuah acara pencarian bakat.
Menurutnya, itu bukan milik Posan mahupun Julia Angelia Lepar alias Pare. Cik Sheila turut mengancam bakal melaporkan Posan ke polis jika beliau masih memainkan isu soal asal nama band tersebut.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg