Acara Raikan ilmu anjuran Yayasan Mendaki kembali pada Julai ini di tiga kawasan kejiranan iaitu di Our Tampines Hub (OTH), Jurong Point dan Kampung Admiralty.
Raikan Ilmu ialah gerakan utama masyarakat Melayu/Islam yang bertujuan meraikan ilmu dan mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat.
Terdapat lebih 80 kegiatan menarik diadakan dengan kerjasama lebih 40 badan korporat, komuniti dan pertubuhan Melayu/Islam. Kegiatan itu dibahagikan kepada empat pavilion yang bertemakan kreativiti, inovasi, penerokaan dan kesejahteraan.
Antara tarikan di acara itu ialah pengunjung boleh menyertai pertandingan robotik dan meneroka laluan kerjaya dalam sektor pertumbuhan.
Tarikh, waktu dan tempat: 29 hingga 30 Jun, 10 pagi hingga 8 malam di Our Tampines Hub (OTH); 20 hingga 21 Julai, 11 pagi hingga 9 malam di Jurong Point; dan 27 hingga 28 Julai, 10 pagi hingga 6 petang di Kampung Admiralty.
Masuk percuma.
Kini, anda boleh mengunjungi pusat beli-belah Parkway Parade dengan lebih mudah dengan pembukaan stesen MRT Marine Parade.
Bagi menyambut pembukaan stesen MRT itu, Parkway Parade bakal mengadakan promosi dan aktiviti menarik hingga 30 Jun.
Pada 28, 29 dan 30 Jun, orang ramai boleh menikmati manisan seperti ‘popcorn’, gula-gula kapas dan aiskrim untuk meraikan pembukaan stesen MRT Marine Parade itu. Anggota Lendlease Plus boleh menerima 25,000 Plus$ dengan perbelanjaan $50 dalam satu resit.
Tarikh: 21 hingga 30 Jun
Waktu: 10 pagi hingga 10 malam
Tempat: Pusat beli-belah Parkway Parade
Masuk percuma
#SGFASHIONNOW kembali dengan edisi terakhir dan terbesar di Muzium Tamadun Asia mulai 27 Jun.
Sebelum ini, ia telah dipamerkan di Korea Selatan. Dianjurkan bersama pelajar dari Sekolah Fesyen Maktab Seni Lasalle, siri ini menghimpunkan hasil kerja 28 pereka terkenal dan baru muncul, dengan rekaan mampan yang menggunakan bahan kitar semula.
Ia meraikan fesyen kontemporari Singapura menerusi lensa kepelbagaian budaya. Menerokai tema ketukangan, inovasi dalam tradisi dan gaya bandar, antara reka bentuk busana yang akan dipamerkan termasuk hasil rekaan Benny Ong, Time Taken to Make a Dress, dan Harry Halim, yang pernah dipakai oleh mendiang Puteri Diana, pelakon Singapura Constance Lau, dan penyanyi Lee Chaelin (CL), daripada kumpulan pop Korea, 2NE1.
Tarikh: 27 Jun hingga 1 September
Waktu: Setiap hari: 10 pagi hingga 7 malam, Jumaat: 10 pagi hingga 9 malam
Tempat: Muzium Tamadun Asia
Masuk percuma
Pesta buku kanak-kanak, Kids Bookfest 2024, anjuran The Safaa Safiyyah Publication bersama Arabic Edu Hub dan Maktaba Hammoud, menyatukan 18 vendor dan peniaga kecil berkaitan pendidikan yang menawarkan sumber pendidikan dalam bahasa Melayu, Inggeris, Arab dan pengajian Islam.
Acara sehari ini membolehkan masyarakat mendapatkan bahan pendidikan bermanfaat buat ibu bapa, kanak-kanak dan pendidik. Ada juga pelbagai acara yang akan disediakan seperti ceramah Kanak-kanak Kami dan Bahasa Melayu oleh Cik Maria Mahat, pengasas Ungu Pen. Layari Instagram The Safaa Safiyyah Publication untuk maklumat lanjut.
Tarikh: 29 Jun
Waktu: 9 pagi hingga 5 petang
Tempat: Paya Lebar Quarter (PLQ3) Tingkat 5 (CSuites)
Masuk percuma
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg