Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lagu baru Michael Learns To Rock

SUSUR JALAN KENANGAN
Nov 11, 2024 | 5:30 AM
Michael Learns To Rock (MLTR), yang dianggotai (dari kiri) oleh Mikkel Lentz, Jascha Richter dan Kare Wanscher, masih mengusahakan lagu baru yang tetap mengekalkan identiti MLTR seperti, ‘A Life to Remember’.
Michael Learns To Rock (MLTR), yang dianggotai (dari kiri) oleh Mikkel Lentz, Jascha Richter dan Kare Wanscher, masih mengusahakan lagu baru yang tetap mengekalkan identiti MLTR seperti, ‘A Life to Remember’. - Foto INSTAGRAM MLTR

Artis solo mahupun berkumpulan biasanya mempunyai misi untuk mendekati peminat mereka dan mendidik mereka tentang pelbagai genre muzik.

Inilah yang dilakukan band legenda Denmark, Michael Learns To Rock (MLTR), yang banyak menyumbang pada penghargaan dan usaha memperkenalkan banyak lagu rok, pop dan balada cinta kepada penduduk Asia.

Pada 25 Oktober, MLTR melancarkan lagu terbaru mereka, A Life To Remember.

Meskipun sudah mempunyai banyak lagu hit yang malar segar seperti, Paint My Love, That’s Why (You Go Away) dan 25 Minutes, MLTR tetap berasa terdapat keperluan menjana lebih banyak karya baru buat peminat mereka.

Ketika dihubungi laman web, The Star, gitaris MLTR, Mikkel Lentz, berkata:

“Sebenarnya, kami diberi lima lagu baru untuk kami pilih sewaktu rakaman.

“Ada sesuatu tentang lagu, A Life To Remember, ini yang menarik perhatian teman, keluarga dan rakan sekerja kami.

“Biasanya, kami akan dapatkan pandangan mereka. Kata mereka, lagu ini mengingatkan mereka pada lagu-lagu lama MLTR.

“Kami terfikir, bagus juga kalau ia dirakamkan.

“Seberapa gigih kami cuba mempelbagaikan genre muzik kami, kami perlu pilih lagu yang orang ramai suka daripada mencuba sesuatu yang baru dan belum diteroka tetapi hasilnya mengecewakan.”

Kebanyakan lagu MLTR bukan sahaja mempunyai irama santai yang boleh dihadam tetapi lirik yang biasanya mengena pada jiwa peminat sebab ia menggambarkan pengalaman cinta hampa atau kasih bahagia.

Selama 36 tahun berada di persada hiburan dunia, MLTR memiliki daya tarikan luar biasa.

Suara vokalis dan pemain papan nada, Jascha Richter, tetap sama walau sudah mencecah usia 61 tahun kini.

Masih kekal dalam MLTR ialah, Kare Wanscher, yang bermain dram.

Ditanya mengenai kandungan lagu, A Life To Remember, Lentz menjelaskan ia mengisahkan tentang usaha merakam kenangan indah yang sentiasa terpahat di ingatan.

“Ia merupakan gambaran seorang individu yang mengimbas balik nostalgia dari sudut pemikiran yang baru berbanding ketika masih muda remaja dan ghairah mengejar cita-cita dengan tekad ingin mencapainya segera.

“Tapi sekarang, situasinya berbeza. Apabila sudah berusia, kita rasa semua sudah kita cuba dan yang baiknya, kita masih kekal dalam apa yang kita lakukan dari awal. Perjalanan hidup ini panjang,” jelasnya.

Menurutnya, kehidupannya dan dua rakannya kini lebih santai dengan penuh kesyukuran.

“Umur saya baru 19 tahun apabila MLTR ditubuhkan. Sekarang, saya mula ada janggut putih!

“Banyak telah berubah tetapi kami bersyukur kerana mempunyai peminat setia yang menyokong kami dan membantu kami capai satu demi satu album hit,” kongsinya.

MLTR akan menggegarkan Resorts World Ballroom di Singapura bagi konsert jelajah, ‘Take Me To Your Heart’, yang dibawakan oleh Unusual Entertainment, mulai 8 malam, 16 November ini. Tiket antara $128 dengan $198 boleh ditempah di laman web, Sistic melalui pautan, https://bh.sg/z6Yx

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg